DATUK Nur Azmi Ahmad
KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam Datuk Nur Azmi Ahmad menyifatkan sasaran 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa ditetapkan pada temasya Sukan dwitahunan itu mampu dicapai.
Beliau berkata sasaran diumumkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu tidak menjadi masalah kepada kontinjen negara yang dibarisi kombinasi atlet muda dan senior.
Menurutnya sasaran emas tersebut telah dijangkakan berdasarkan pemerhatian pada bengkel penetapan sasaran pingat sebelum ini dengan rata-rata persatuan sukan berhati-hati dalam memuktamadkan sasaran.
“Mungkin sebab masih dalam fasa percubaan atau mungkin (dipengaruhi) tempoh dah lama tak beraksi, tetapi saya percaya semua persatuan atau pasukan mahukan pingat emas tapi mereka pun berhati-hati.
“Jadi secara dasar kita tengok dari apa yang dikumpulkan, kita ambil yang terbaik dengan apa yang kita ada ketika ini dan mungkin masa pertandingan nanti ia (jumlah pingat) akan berubah dari hari ke hari,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, semalam.
Sementara itu, pembawa Jalur Gemilang di Vietnam Nur Dhabitah Sabri percaya jumlah sasaran itu dibuat selepas mengambil kira segala aspek kekuatan dan kekurangan kontinjen negara pada edisi kali ini.
“Saya fikir sasaran itu bukan sesuatu yang dibuat sesuka hati, mesti ada kiraannya dan mereka percaya kami (atlet) untuk capai sasaran tersebut.
“Tetapi saya pun tak nak memberi tekanan kepada rakan-rakan kontinjen sendiri, saya cuma harap mereka dapat berikan terbaik, anggap semuanya ibarat sesi latihan dan nikmati keseronokan semasa pertandingan,” kata atlet terjun negara itu.
Sukan SEA Hanoi dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.
Semasa Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina, kontinjen negara mengutip 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa, jauh tersasar berbanding sasaran 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa seterusnya menduduki tangga kelima keseluruhan berbanding sasaran tempat keempat.
Tuan rumah, Filipina dinobatkan juara diikuti Vietnam (kedua), Thailand (ketiga) dan Indonesia keempat.-Bernama