ULASAN… Dato’ Seri Tiong King Sing melawat kawasan pedalaman di Bintulu, baru-baru ini.
BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing meminta penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung kenaikan harga barang keperluan yang melampau di kawasan pedalaman.
Menurutnya, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan kerajaan telah memperuntuk lebih RM100 juta setahun untuk menyediakan elaun pengangkutan dan kuota bekalan keperluan di pedalaman Sarawak seperti beras, minyak masak, tepung, gula, tong gas, minyak diesel, petrol dan lain-lain barangan keperluan.
“Namun apabila saya melawat rumah panjang di kawasan pedalaman hari ini, ramai penduduk merungut kerana harga barangan keperluan di tempat mereka sering naik dan telah mencecah paras tertinggi baru-baru ini.
“Lebih-lebih lagi era pasca pandemik, ramai yang masih bergelut meneruskan kehidupan dan kini terpaksa menanggung beban harga barang yang tinggi pula.
“Sudah tentu keadaan ini memberi kesan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook beliau semalam.
Justeru, Dato’ Seri Tiong meminta penjelasan mengenai subsidi yang telah disediakan oleh kerajaan selama ini telah pergi ke mana.
“Kenapa masih ada penduduk di rumah panjang perlu membayar sehingga dua tiga kali ganda lebih mahal berbanding harga yang dijual di kawasan bandar?
“Bagi memastikan harga barang keperluan di kawasan pedalaman adalah seragam di seluruh negara, maka kerajaan perlu membantu dari segi aspek logistik dan pengangkutan,”jelasnya.
Bagaimanapun tambah beliau, insiden subsidi dan peruntukan yang berkaitan tidak sampai atau tidak memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh ini bukanlah perkara baharu.
“Sebaliknya ia sering terjadi sejak saya menjadi wakil rakyat di sini selama lima penggal,” tegasnya yang turut mempersoal adakah pihak berkuasa telah menjalankan pengawasan yang ketat?
Maka, Dato’ Seri Tiong menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar memberi penjelasan yang munasabah dalam hal tersebut.
“Adakah subsidi diesel, beras, minyak dan gula ini benar-benar sampai ke kawasan pedalaman ini? Jika soalan ini tidak dapat dijelaskan dengan munasabah, Ketua Cawangan
KPDNHEP Bintulu harus bertanggungjawab dan meletakkan jawatan.
“Saya turut menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar dapat menjalankan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu kerana penduduk rumah panjang ingin tahu siapa sebenarnya yang menguruskan perkara mustahak ini?
“Adakah anda fikir ini kawasan pedalaman, dikelilingi gunung ganang dan berada jauh dengan pusat pentadbiran kerajaan, maka anda boleh buat sesuka hati dan merasakan tiada siapa tahu?,” ujarnya.
Hakikatnya, tambah beliau, aduan sedemikian telah dilaporkan berulang kali yang mana ia menunjukkan bahawa pegawai berkenaan tidak dapat melakukan sesuatu dengan serius.
“Sejak saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bintulu selama lima penggal, isu ini tidak dapat diselesaikan dengan baik, malah ia menjadi lebih teruk lagi! Ini sesuatu yang tidak boleh diterima,” ujarnya lagi.