TERIMA KASIH… Dato Mohd Azman Ahmad Sapri menyampaikan cenderamata kepada Kapitan Dato Law Sie Lok.
KUCHING: Sempena sambutan Aidilfitri bakal menjelang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi tumpuan ke atas
56 lokasi di 28 daerah dikenal pasti sebagai kawasan panas pada Op Selamat 18, bermula 27 April hingga 8 Mei.
Langkah mengenal pasti kawasan tersebut terdiri daripada 36 jalan raya persekutuan dan selebihnya jalan raya negeri bagi memastikan orang awam mengharungi perjalanan balik kampung dengan selamat.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri hadir merasmikan Ops Selamat 18 seluruh Sarawak di Boulevard di sini, semalam.
Turut hadir, timbalannya, Deputi Komisioner Polis (DCP) Dato Mancha Ata dan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John.
Menurut Dato Mohd Azman, sejumlah 750 anggota daripada pelbagai jabatan akan terlibat dalam operasi berkenaan dan pihak mereka bukan hanya menumpu keselamatan atas jalan raya akan tetapi jenayah indeks lain termasuk pecah rumah dan kecurian semasa Aidilfitri.
Dalam pada itu, beliau juga menyaran pengguna jalan raya untuk berhati-hati bukan hanya untuk mereka sendiri tetapi juga terhadap pengguna lain.
Beliau berkata, pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya atau trafik.
Ia perlu, ujarnya, kerana pergerakan di jalan raya pada musim perayaan sebegini akan bertambah dan menyaran pengguna untuk sabar semasa di jalan raya.
Difahamkan 56 lokasi `hotspots’ adalah Kuching (3), Padawan (2), Bau (3), Lundu (1), Sri Aman (2), Lubok Antu (2), Saratok (2), Betong (3), Sarikei (2), Meradong (2), Julau (1), Kanowit (2), Sibu (2), Mukah (2), Dalat (2), Daro (1), Kapit (2), Song (1), Belaga (2), Bintulu (3), Tatau (1), Miri (4), Marudi (2), Limbang (1), Lawas (2), Kota Samarahan (3), Serian (1), dan Simunjan (2).
Operasi akan melibatkan 28 ibu pejabat polis daerah dipertanggungjawabkan untuk memantau dan mengadakan rondaan di kawasan `hotspots’ melibatkan 36 jalan raya persekutuan dan 20 jalan raya negeri tersebut
Mengenai penjagaan harta benda penduduk, Azman menyarankan pemilik rumah memaklumkan kepada pihak polis apabila mereka meninggalkan rumah masing-masing.
Tambahnya, mereka juga boleh memberitahu jiran atau ahli keluarga untuk melihat atau menjaga rumah sebagai langkah berjaga-jaga dan pihak polis juga akan membuat rondaan lebih kerap di kawasan.
Selain itu, Azman menyatakan pemilik rumah juga boleh mengisi borang di balai polis berdekatan atau muat naik `Volunteer Smartphone Patrol’ untuk memaklumkan polis meronda di kawasan mereka.