DATO’ Seri Tiong King Sing hadir menyaksikan ketua masyarakat menerima sijil pelantikan di Bintulu baru-baru.
BINTULU: Ketua masyarakat adalah ‘jambatan komunikasi’ yang berperanan membawa suara rakyat kepada kerajaan, kata Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing.
Justeru itu, menurutnya ketua masyarakat perlu sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan penduduk setempat.
“Saya berasa amat bertuah kerana dapat menyaksikan seramai 33 ketua masyarakat menerima sijil pelantikan yang secara rasminya akan berkhidmat kepada orang ramai.
“Saya berharap semua ketua masyarakat dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan rakyat tempatan kerana ia merupakan jambatan komunikasi untuk membawa suara rakyat kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau juga berharap mereka (ketua masyarakat) dapat menunaikan kewajipan menjaga kebajikan dan memajukan rakyat agar lebih sejahtera, harmoni dan bersatu padu.
“Pelantikan ini dipilih tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang politik. Perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat juga tidak kira siang dan malam.
“Sekiranya anda tidak dapat hadir ke mesyuarat tanpa sebab yang munasabah, meninggalkan komuniti dan gagal menunjukkan prestasi perkhidmatan yang memuaskan sehingga mencetuskan kegusaran serta kritikan orang ramai, maka pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk menarik balik jawatan tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dato’ Seri Tiong yang lebih 20 tahun berkecimpung dalam arena politik memberitahu, ia tidak keterlaluan jika kepercayaan dan kebebasan diberikan kepada pemimpin masyarakat untuk mengendalikan perkara berkaitan hal ehwal dan sara hidup rakyat.
“Jarang sekali saya campur tangan dalam hal tersebut bagi mengelakkan sebarang konflik yang tidak patut berlaku.
“Jika terdapat sebarang pertikaian atau permasalahan yang tidak dapat diselesaikan, pemimpin masyarakat boleh memberi nasihat atau berbincang dengan pegawai di pejabat wilayah atau daerah.
“Sekiranya masalah itu benar-benar tidak dapat diselesaikan, datanglah berjumpa dengan saya kerana saya sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dan memberikan cadangan kepada anda dalam pelbagai aspek,” ujarnya lagi.