SEJAK Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016, PRS Berjaya mendominasi kerusi yang dipertandingkan dengan memenangi 11 kerusi DUN.
PARTI Rakyat Sarawak (PRS) adalah parti berteraskan etnik Iban yang diasaskan oleh TanSri James Jemut Masing dan turut dibantu oleh Sng Chee Hua. Meskipun diasaskan pada 2004, namun banyak sejarah konflik berlaku dalam kepimpinan tersebut. Konflik terbesar ialah penyingkiran Sng Chee Hua dan Larry Sng Wei Shun daripada PRS.
Pergolakan ini berlaku akibat persaingan kuasa dan pengaruh masing-masing yang mahu menentukan hala tuju parti dan menguasai parti tersebut. Akibatnya, kumpulan Sng Chee Hua dan Larry Sng terkeluar daripada PRS. Krisis ini berlarutan dan menjadikan persaingan pengaruh di kawasan-kawasan yang diwakili PRS. Sejak Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016, PRS Berjaya mendominasi kerusi yang dipertandingkan dengan memenangi 11 kerusi DUN. Begitu juga pada PRN Sarawak 2021 membuktikan PRS berjaya mengekalkan kuasa mereka.
Namun berlainan dengan kerusi parlimen, PRS gagal dalam dua kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya umum lalu. Lanjutan daripada itu, terdapat seorang ahli parlimen Sri Aman pula melompat parti. Sebab itu, formula dalam PRS menjelang pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa adalah untuk memastikan politik kompromi berlaku.
Dengankata lain, semua ahli dan pemimpin PRS perlu kemenangan parti terlebih dahulu dan mengenepikan sebarang persaingan dalam perebutan jawatan dalam parti.
Formula Menang
Bagi memenangi pada PRU akan datang maka, semua pimpinan dan akar umbi PRS Bersatu padu dan melupakan dahulu pemilihan parti.
Hal ini kerana PRU akan datang sangat kritikal kepada PRS kerana bakal menentukan jangka hayat parti tersebut dan memastikan kelangsungan parti tersebut terus bertapak kukuh. Maka, sekiranya mereka kuat dan menang semua kerusi parlimen yang dipertandingkan, maka PRS akan lebih dihormati oleh komponen dalam dan luar PRS. Sudah pasti, jawatan Timbalan Menteri atau Menteri akan bertambah jika mereka memenangi semua kerusi yang dipertandingkan nanti.
Atas semangat tersebut, Datuk John Sikie Tayai membuat keputusan tidak meneruskan keputusan untuk bertanding presiden walaupun kedudukan John Sikie dalam pentadbiran Kerajaan Sarawak sangat tinggi khususnya apabila ahli DUN Kakus dilantik sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri. Jawatan Menteri penuh tersebut adalah satu-satu jawatan tertinggi yang disandang oleh pemimpin PRS dalam Kabinet Sarawak. Sudah tentu berdasarkan logik politik, John Sikie wajar bertanding presiden berdasarkan senioriti jawatan dalam kerajaan.
Persaingan Joseph Salang
Pemangku Presiden PRS pula, iaitu Joseph Salang pula tidak ada jawatan dalam kerajaan, malah pernah tewas pada Pilihan Raya Umum 2018 di Parlimen Julau. Larry Sng menewaskan Joseph Salang dengan memperoleh 55 peratus undi manakala Salang mendapat 45 peratus undi. Berdasarkan situasi ini, Joseph Salang dilihat kurang kelebihan berbanding kedudukan politik John Sikie. Tidak hairanlah, penyokong-penyokong John Sikie di peringkat akar umbi mahukan Sikie bertanding jawatan Presiden sesuai dengan jawatan tinggi dalam kerajaan. Namun dari satu aspek, Salang sebelum ini adalah Timbalan Presiden PRS, sudah tentu beliau paling layak memangku dan mengambil alih peranan Presiden.
Bagi mengelak konflik tercetus dan dibimbangi akan memberikan kesan terhadap prestasi parti, maka Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) telah bersetuju dan bersepakat untuk mengenepikan keperluan mengadakan pemilihan pada Persidangan PerwakilanTigaTahunan (TDC) kali ini. Menurut Setiausaha Agung PRS, Datuk Janang Bungsu persetujuan ini dicapai bagi memelihara kepentingan perpaduan dan keseimbangan dalam parti. Bagi menjernihkan suasana pujian diberikan kepada kedua-dua pemimpin politik tersebut yang secara rela melakukan pengorbanan besar bagi mengukuhkan parti. Selaku Naib Presiden PRS Datuk John Sikie tentulah mempunyai cita-cita politik manakala bagi Pemangku Presiden, Datuk Joseph Salang sudah pasti mahu melangkah ke satu langkah lagi sebagai presiden. Dalam mahu menstabilkan parti dan memastikan PRS tidak berpecah, maka Sikie menunjukkan sikap jiwa besar dan jadi teladan apabila menarik diri bertanding jawatan sebagai Presiden walaupun telah menerima banyak pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden parti. Pada masa yang sama, dikekalkan dalam jawatan Presiden untuk memastikan terdapat semak dan imbang dalam parti. Maka, tidak adalah pertandingan berlangsung kerana PRS melihat ada agenda yang lebih penting kepada parti tersebut. Difahamkan juga kesepakatan tersebut juga direstui oleh Pengerusi GPS, iaitu Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mahukan GPS menang besar pada pilihan raya umum dan elak perpecahan dalaman parti. Langkah ini penting untuk memastikan suara GPS di dewan rakyat semakin kuat, dan mendapat tempat dan sokongan dalam parlimen negara.
Tiada Pertandingan Semua Peringkat
Pada Persidangan perwakilan Tritahunan parti itu juga tidak ada pertandingan pada semua jawatan dalam parti PRS dan keputusan ini merupakan keputusan Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (MKT) PRS dan kesemua ahli dan pimpinan parti akur terhadap keputusan tersebut. Hanya Joseph Salang menang tanpa bertanding apabila Naib Presiden Datuk John Sikie menarik diri daripada mencabar beliau sebagaimana persetujuan dalam MajlisTertinggi Parti. Selain itu, MKT PRS juga telah membuat keputusan Salang mengambil alihjawatan presiden untuk tempoh tiga tahun atau sepenggal dan selepas itu barulah mana-mana ahli parti boleh bertanding mana-mana jawatan mereka hasratkan nanti.
Rasionalnya ialah jika diadakan pemilihan parti menjelang PRU maka ia boleh membawa kepada perpecahan parti apabila berlakunya persaingan jawatan akan berlakunya berpuak- puak sesama mereka, mempunyai kem-kem tertentu, klik dan apabila kalah ada yang merajuk, marah, kecewa, protes, sabotaj hingga terbawa-bawa dalam pilihan raya umum. Yang kalah juga akan sabotaj, protes dan juga ditarik oleh parti lain. Jadi kesemua ini akan melemahkan parti. Sebenarnya inilah juga dielakkan oleh parti besar lain seperti UMNO hingga akan meminda perlembagaan parti dalam masa terdekat ini agar pemilihan parti hanya akan diadakan selepas pilihan raya bagi elak timbulnya perpecahan dalaman parti.
Maka keputusan dan tindakan MKT PRS yang mengumumkan tidak ada pemilihan parti adalah tepat bagi mengelakkan perpecahan dalaman PRS. Sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya pada pilihan raya umum yang dijangka dalam masa terdekat pada tahun ini. Ternyata langkah memastikan kemenangan PRS pada PRU akan datang lebih penting daripada berebut jawatan. Apalah gunanya menjadi presiden parti atau naib presiden jika parti kalah pada pilihan raya akibat daripada perpecahan dalam pemilihan parti.
Sudah tentu, pada masa yang sama ini situasi menyebabkan ahli akar umbi PRS terpaksa menunggu masa yang lama untuk menukar kepimpinan mereka. Ia tidak kurang penting juga untuk memastikan kepimpinan baharu akan terserlah muka-muka baharu, idea baru, gagasan hala tuju baru dikemukakan pada pilihan raya akan datang jika pemilihan diadakan. Jika tidak muka yang sama dan lama akan bertanding, dan akan terus mengekalkan kuasa mereka. Demikian pro dan kontra penangguhan pemilihan parti sebelum atau selepas pilihan raya umum.
PROFESOR Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)