KUCHING: Platform e-dagang terbesar Asia Tenggara, Shopee berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Sarawak bagi mempromosikan e-dagang dalam kalangan usahawan teknologi tempatan.
Menurut Pakar Pemasaran (Dasar Awam & Hal Ehwal Kerajaan) Shopee, Mistika Idris, terdapat pelbagai bidang kerjasama dapat dijalinkan antara kedua-dua pihak yang turut memberi manfaat kepada orang ramai.
“Kerjasama kami adalah untuk memperkasakan penjual tempatan jadi ia akan dilakukan dalam pelbagai cara sama ada berkaitan dengan latihan, program pemerkasaan dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) strategik.
“Ia bertujuan membantu mereka yang memerlukan dan juga untuk melatih mereka yang tidak tahu cara memuat naik produk menggunakan platform Shopee,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat ke Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) semalam.
Sementara itu kata Mistika, platform Shopee turut menyediakan jurulatih, modul, asas, kelas talian Shopee pertengahan, iklan Shopee, dan sebagainya kepada usahawan tempatan.
Ini kerana pihanya mahu menggalakkan orang ramai untuk terus belajar dan meningkatkan kesedaran tentang cara menggunakan Shopee sebagai platform (dalam talian), katanya.
“Perniagaan dalam talian telah memuncak terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila banyak perniagaan beralih menggunakan sistem dalam talian.
“Malah kita turut menerima penyertaan yang sangat menggalakkan daripada rakyat Sarawak. Ini terbukti semasa PKP apabila perniagaan luar talian ditutup, mereka tidak dapat meneruskan operasi. Jadi, mereka meneruskan peniagaan secara atas talian,” katanya.
Jelas Mistika, inisiatif tersebut secara tidak langsung membuka peluang perniagaan tempatan di Sarawak dapat membekalkan produk kepada penduduk di Kuala Lumpur, lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang.
Perniaagaan atas talian sangat menguntungkan dan memberi kemudahan kepada kedua-dua pihak kerana mereka tidak perlu membayar sewa dan keuntungan boleh dimasukkan (kembali) ke dalam perniagaan mereka, dedahnya.