KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam Ahad lalu meluangkan masa berkunjung ke Festival StarVendors Mega Raya 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bagi meninjau jualan sempena Aidilfitri dan kepatuhan orang ramai kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).
Perdana Menteri, yang tiba pada 11.00 malam, disambut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan kehadiran beliau di festival itu lebih setengah jam menarik perhatian ramai pengunjung.
Ismail Sabri turut berbual dengan peniaga dan sempat beramah mesra dengan pengunjung yang hadir untuk membeli kelengkapan bagi persiapan Aidilfitri.
Beliau turut menasihati Keluarga Malaysia yang berkunjung ke festival itu atau mana-mana bazar Aidilfitri agar sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan kawalan kendiri pencegahan Covid-19.
“Tak sangka begitu ramai yang hadir malam iniā¦ dan seperti yang selalu saya ingatkan Keluarga Malaysia perlu sentiasa mematuhi SOP ditetapkan sepanjang Fasa Peralihan ke Endemik.
“Saya nasihatkan agar mereka yang membeli-belah untuk persiapan raya ini berbelanjalah dengan bijak,” katanya kepada Bernama.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Suriani Ahmad dan Pengarah Urusan serta Pengasas StarVendors Event Sdn Bhd yang juga artis versatil popular Ifa Raziah. – Bergambar