GURUN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) optimis Malaysia berpotensi menjadi hab terbiodegradasi terkemuka di Asia Tenggara melalui kerjasama antara syarikat Free The Seed Sdn Bhd (Free The Seed) dengan Hotpack Packaging Industries LLC (Hotpack) dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerjasama itu melibatkan pembinaan 10 kilang pembuatan pembungkusan terbiodegradasi baharu di Gurun bernilai RM400 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Pelaburan ini bernilai RM100 juta atau (ASD25 juta) dalam tempoh tiga hingga lima tahun yang pertama dan Hotpack merancang untuk meningkat nilai pelaburan ini ke RM400 juta (ASD100 juta) dalam tempoh 10 tahun.
“Pembinaan kilang pengeluaran pertama seluas 3,200 meter persegi akan bermula pada Mei 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2022,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah untuk kerjasama itu di sini, semalam.
Menerusi kerjasama itu, Free The Seed, sebuah syarikat bioteknologi Malaysia yang mengeluarkan produk terbiodegradasi daripada jerami padi menjadi rakan kongsi teknologi dan operasi bagi Hotpack dengan menyediakan bahan mentah, kepakaran, tenaga kerja dan pengetahuan teknikal kepada syarikat dari UAE itu.
Sementara itu, Hotpack pula mengeluarkan dan menyediakan produk terbiodegradasi baharu untuk pasaran global termasuk negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Menerusi pembinaan kilang pertama itu pula ia dijangka menghasilkan 70 juta unit produk pembungkusan barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dalam setahun.
Kerjasama yang terjalin antara Free The Seed dengan Hotpack itu adalah melalui bantuan daripada Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation).
Dalam pada itu, Ronald berkata, pelaburan itu juga dijangka mewujudkan 300 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun pertama sebelum meningkat kepada 1,200 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun bagi tenaga kerja mahir dan separa mahir serta menghasilkan pembungkusan terbiodegradasi daripada pelbagai jenis sisa pertanian seperti daun nanas dan jerami padi.
“Model mampan dan kitaran seperti ini akan membawa kepada pendapatan yang lebih baik untuk lebih ramai komuniti petani di Malaysia, di samping menarik lebih ramai pelabur asing, melindungi alam sekitar, dan menambah nilai kepada pertanian lestari di Malaysia mahupun UAE,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama itu bakal mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara dengan kepercayaan dan keyakinan ditunjukkan syarikat dari UAE itu terhadap inovatif dan nilai pertanian Malaysia.
“Saya percaya bahawa automasi dan bioteknologi yang digunakan dalam persediaan pembungkusan makanan terbiodegradasi antara Free The Seed dan Hotpack akan menyumbang kepada kemampanan sistem makanan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.
“Ini selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) iaitu kedua-duanya menggalakkan penerapan teknologi baru dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) untuk memacu pemodenan dan pembangunan mampan dalam negara,” katanya.
Ronald berkata, MAFI akan terus memberikan sokongan untuk projek pelaburan seumpama itu yang sudah pastinya akan meningkatkan lagi nilai pertanian Malaysia dan memacu kemampanannya sekali gus terus memperkukuhkan lagi Sekuriti Makanan Negara demi kesejahteraan rakyat. – Bernama