KENANGAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merakam gambar bersama Kumpulan Kulleh Comrades di
Bangunan Baitulmakmur II, semalam.
KUCHING: Kumpulan Kulleh Comrade akan membawa nama Sarawak di pentas dunia apabila mereka akan memperagakan persembahan dalam acara berprestij di Venice Biennale, Itali pada 21 hingga 26 April 2022.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini merupakan satu pencapaian tinggi dan menjadi kebanggaan apabila membawa nama Sarawak di pentas antarabangsa.
“Saya berharap kumpulan Kulleh Comrades akan dapat membuat persembahan dan pertunjukkan yang baik di Venice nanti.
“Saya difahamkan mereka diberi keutamaan untuk membuat persembahan pada hari pembukaan persembahan iaitu pada 22 April ini.
“Ini menunjukkan pencapaian mereka ini amat dihargai oleh pihak penganjur,” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada Kumpulan Kulleh Comrades di Bangunan Baitulmakmur II, semalam.
Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menambah, ia sekali gus dapat membantu dalam mempromosikan aktiviti pelancongan yang bakal diadakan di Sarawak.
“Pada masa sama ini dapat mempromosikan aktiviti-aktiviti pelancongan yang berkaitan dengan seni dan budaya Sarawak yang akan diadakan. Antaranya adalah Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia, Festival Jazz Borneo yang akan diadakan Jun nanti,” jelas beliau lagi.
Sementara itu, salah seorang daripada wakil kumpulan berkenaan, Stanny Benedict menzahirkan perasaan bangga apabila dapat membuat persembahan di pentas Itali.
“Kami berasa bangga kerana kami bukan sahaja membawa nama Kulleh Comrade bahkan turut membawa nama Sarawak dan Malaysia ke Venice. Ini merupakan satu pencapaian dan pengalaman besar untuk kumpulan yang baharu digabungkan ini.
“Selain daripada mempersembahkan muzik Sarawak, Melayu dan Iban, kami juga akan membuat persembahan berkaitan dan Kesusasteraan Sarawak dan Malaysia,” ujar beliau.
Dalam pada itu Stanny turut merakam ucapan penghargaan atas sumbangan dan sokongan semua pihak yang membantu memudahkan urusan mereka kelak.
Kulleh Comrade merupakan kumpulan yang terdiri daripada enam Ahli Seni Bumiputera Sarawak iaitu tiga pemuzik dan tiga penyanyi.