STOCKHOLM: Polis Sweden memaklumkan tiga orang cedera di bandar timur Norrkoping ketika penunjuk perasaan membantah tindakan seorang pemimpin politik membakar kitab suci al-Quran dan rancangan parti sayap kanan untuk meneruskan perbuatan keji itu.
Menurut polis, pasukannya melepaskan beberapa das tembakan amaran dan tiga orang dipercayai terkena peluru yang melantun itu.
“Mereka kini menerima rawatan di hospital dan keadaan ketiga-tiganya akan terus dipantau dari semasa ke semasa,” jelas polis dalam kenyataan.
Rusuhan di Norrkoping merupakan kali kedua berlaku dalam tempoh empat hari sejak pemimpin parti Stram Kurs berhaluan kanan anti-Islam, Rasmus Paludan bertindak biadab membakar kitab suci itu di bandar Linkoping.-AFP
Beliau malah dengan angkuh tidak menghiraukan bantahan sekumpulan 200 orang awam dari pelbagai agama yang mendesak pihak polis tempatan agar menghentikan perlakuan itu.
Pemimpin kelahiran Denmark yang berusia 40 tahun itu pernah mencetuskan kemarahan umat Islam apabila membakar al-Quran di Malmo, sebuah kota di selatan Sweden pada 2020.
Polis memberitahu, sejak tunjuk perasaan berlangsung, sekurang-kurangnya 17 orang ditahan dengan lebih 150 yang lain berhimpun serta berarak bagi menyuarakan bantahan.
Jelas polis, penunjuk perasaan turut melemparkan batu ke arah anggota dan membakar sejumlah kereta.
Sementara itu, Arab Saudi juga tidak ketinggalan mengecam sekeras-kerasnya tindakan kumpulan pelampau tersebut yang disifatkannya sebagai sengaja menjadikan agama sebagai usaha menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat.
Memetik laporan Arab News, Kementerian Luar Riyadh menerusi kenyataan menekankan kepentingan untuk menolak kebencian dan tindakan ekstremisme.
Jelas kenyataan itu, Arab Saudi turut menegaskan penyalahgunaan semua agama dan tempat suci harus dicegah. –AFP