BUTTERWORTH: Nostalgia menunggang basikal tua ke sekolah pada zaman remaja mendorong seorang warga emas untuk mengumpul koleksi basikal klasik yang diperoleh hasil pencarian dari seluruh negara.
Ahmad Fauzi Ismail, 61, mula membeli basikal-basikal klasik itu sejak 1990-an dan sehingga kini mempunyai lebih 40 buah basikal klasik yang kesemuanya masih boleh ditunggang dengan baik.
“Semuanya bermula dengan sebuah basikal tua peninggalan arwah ayah yang saya gunakan ketika ke sekolah dulu … seterusnya pada 1990-an, saya telah bekerja jadi ada duit lebih sikit. Ketika itu saya mula mencari basikal-basikal klasik ini sebelum membelinya untuk dijadikan koleksi.
“Dari situ mula timbul hobi untuk terus mengumpul basikal-basikal klasik dan saya terus mencari serta membeli. Sekarang ada lebih 40 buah basikal klasik yang dikeluarkan sekitar 1940-an dan 1960-an kebanyakannya berjenama Hercules dan Raleigh buatan England,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Sungai Dua, di sini.
Bekas pekerja kilang itu berkata beliau membeli basikal-basikal berkenaan dari beberapa negeri termasuk Kelantan, Johor dan Pahang dengan kesemuanya dipos menggunakan khidmat syarikat kurier malah ada dibeli di sekitar Pulau Pinang yang dalam keadaan rosak sebelum dibaikinya.
Tambahnya, penyelenggaraan perlu sentiasa dilakukan bagi memastikan kesemua basikal klasiknya itu berada dalam keadaan baik serta boleh ditunggang pada bila-bila masa.
Beliau yang lebih mesra disapa Pak Lang G berkata sekarang ini alat ganti untuk penyelenggaraan atau menukar barang rosak pada basikal klasik itu agak mudah diperoleh kerana ia dibawa masuk dari China berbanding 20 tahun lepas berikutan basikal model tersebut tidak lagi dijual ketika ini.
Menurut Ahmad Fauzi, dari segi kos membeli basikal klasik, ia berharga RM200 hingga RM1,000 namun kos penyelenggaraan agak tinggi berikutan alat ganti yang sedikit mahal berbanding basikal biasa.
Berikutan sukar diperoleh, ada peminat barang antik ‘memujuk’ Ahmad Fauzi agar menjual basikal klasik dalam simpanannya, malah ada yang sanggup menawarkan harga beberapa kali ganda lebih tinggi berbanding harga asal demi memiliki basikal antik itu.
“Sejak mula mengumpul koleksi basikal klasik ini baru sekali saya jual, itu pun kepada kawan baik. Selepas basikal itu dijual, saya jadi tidak senang duduk malah tidak boleh tidur hingga beberapa malam kerana memikirkan kenapa saya jual basikal tersebut…sayang basikal itu hanya Allah saja yang tahu.
“Alhamdulillah kawan saya jaga dengan baik basikal tersebut sehingga sekarang. Sejak itu, saya memang tidak jual lagi koleksi-koleksi basikal yang ada, biarlah saya jaganya sendiri,” katanya yang bekerja sebagai penggali kubur sejak 30 tahun lepas.
Ahmad Fauzi berkata setiap basikal klasik miliknya itu mempunyai sejarah dan ‘peranan’ tersendiri dan beliau sendiri mengingati peranan tersebut supaya mudah untuk menceritakan kepada sesiapa yang bertanya.
Katanya, ada dalam koleksi basikal klasik miliknya itu pernah digunakan oleh posmen di Jepun dan Singapura pada zaman dahulu untuk mereka menghantar surat yang mana kedua-dua basikal tersebut memang mendapat permintaan tinggi daripada peminat.
“Ada pernah tawarkan sebuah basikal klasik sehingga harga RM3,000 tapi saya memang tak jual, lagipun anak-anak saya iaitu tiga lelaki dan dua wanita juga menunjukkan minat untuk bersama-sama menjaga semua koleksi basikal klasik yang ada ini,” katanya yang sering mengayuh basikal bersama isterinya Jamaliah Soud, 58.
Beliau berkata, semua basikal klasik yang ada kini sering digunakan dalam aktiviti bersama komuniti di Sungai Dua selain menerima jemputan untuk membawa pengantin dan penggambaran terutama musim perayaan serta perkahwinan.
“Untuk Hari Raya nanti pun ramai yang dah tempah bagi penggambaran, dari segi kos sewa memang saya tidak tentukan kadarnya sebaliknya penyewa membayarnya dengan ikhlas dan seterusnya saya cuma ambil duit untuk kos penyelenggaraan sahaja manakala bakinya didermakan ke tabung masjid berhampiran rumah,” katanya. – Bernama