BUNGA kobis dan daun sup ditanam secara fertigasi di dalam SPH.
Dalam kegelapan malam, Yuan Amat, 54, mengangkat sarang kelulut yang diternaknya sendiri untuk di bawa masuk ke dalam rumah hijau atau lebih dikenali sebagai Struktur Pelindung Hujan (SPH) di kebun modennya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rampangi, di sini.
Kelulut-kelulut inilah yang akan bekerja untuk mendebungakan tanaman Golden Melon, terung dan tomato beliau. Proses membawa masuk sarang kelulut ini perlu dilakukan pada waktu malam ketika kelulut-kelulut sedang tidur dan sarang ini akan berada di SPH antara sembilan hingga 10 hari sebelum dipindahkan keluar, juga pada waktu malam.
“Disebabkan kami berkebun di dalam SPH, maka kami gunakan dua kaedah untuk pendebungaan iaitu dengan bantuan kelulut ataupun secara manual. Bila sampai tahap untuk pendebungaan, kami akan bawa masuk kelulut dan bawa keluar selepas buah sudah berputik,” kata Yuan, salah seorang petani moden di TKPM Rampangi.
Menurut Yuan, pendebungaan menggunakan kelulut akan menghasilkan buah yang lebih banyak, lebih cantik dan lebih 90 peratus putik akan menjadi buah.
Bagi tanaman yang tidak memerlukan khidmat kelulut pula, proses pendebungaan akan dilakukan dengan mengahwinkan bunga jantan dengan bunga betina secara manual.
Selesai proses pendebungaan, tugas para petani lebih lebih ringan kerana selepas itu semua kerja seperti membaja, menyiram dan memantau keadaan di pusat pertanian moden ini boleh dilakukan dengan bantuan Internet Bendaan atau Internet of Things (IoT) yang disediakan di sini.
Dibantu oleh teknologi moden inilah maka kualiti hasil pertanian di sini jauh lebih baik daripada cara pertanian konvensional.
“Apabila tanaman cukup nutrisinya dan tumbuh dalam persekitaran yang terkawal semua aspek pertumbuhannya, maka sudah pasti hasilnya bukan sahaja lebih banyak serta berkualiti tinggi,” kata Penolong Pegawai Pertanian Kanan, Awang Zaidel Awang Salleh.
Malah kata beliau, jenis-jenis tanaman yang ditanam di TKPM Rampangi ini adalah tanaman bernilai premium dan mempunyai harga tinggi di pasaran seperti Golden Melon, Rock Melon, cili, terung, terung Dayak, salad dan banyak lagi.
“Sebab itulah walaupun kawasan ini kecil dan jumlah keluaran belum begitu banyak tetapi nilai jualannya tinggi. Sebagai contoh,tahun lepas jumlah keluaran hanya 51,000 tan tetapi nilainya mencecah RM725,000,” kata beliau.
TINGKAT PENDAPATAN PETANI
TKPM Rampangi adalah contoh kejayaan sistem pertanian moden dengan bantuan IoT yang sedang dipromosikan oleh Kerajaan Sarawak untuk diceburi olah para petani di negeri ini.
Ia diharap dapat mencetus perubahan dan fenomena baharu dalam sektor pertanian Sarawak dengan menggunapakai teknologi moden melalui Sistem Fertigasi Komersial, IOT dan Amalan Pertanian Baik (GAP).
Usaha ini kata Awang Zaidel, sudah menunjukkan keberhasilannya apabila semakin ramai petani individu dan swasta di seluruh negeri ini yang sudah mula menggunapakai sistem IoT di dalam kerja-kerja pertanian masing-masing.
Walaupun Sarawak mempunyai banyak tanah terbiar namun keadaan dan jenis tanahnya kurang sesuai untuk pertanian. Justeru kaedah pertanian secara fertigasi dilihat sebagai alternatif berkesan bagi mengatasi masalah ini dan bantuan teknologi memberi nilai tambah kepada aktiviti pertanian yang dilaksanakan.
Di sinilah TKPM memainkan peranan penting bagi merealisasikan matlamat kerajaan bagi menambah pendapatan petani, menjamin pengeluaran yang berkekalan sepanjang masa, mengurangkan import makanan dan menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan terutama buah-buahan dan sayur-sayuran.
TKPM dibangunkan hasil kerjasama kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Kerajaan Pusat bertanggungjawab membangunkan semua infrasturuktur di TKPM, manakala Kerajaan Negeri pula menyediakan tapak dan para petani bertindak sebagai usahawan yang mengusahakan projek di sini.
TKPM mempunyai dua kategori iaitu terbuka dan tertutup. Kategori terbuka biasanya untuk tanaman secara konvensional dan petani biasanya menanam buah-buahan dan sayur-sayuran.
Di bawah projek ini, kerajaan akan menyewakan tanah kepada petani dengan kadar satu hektar RM200 setahun bagi membolehkan mereka melaksanakan pelbagai aktiviti pertanian. Setiap peserta disasarkan untuk memperolehi pendapatan bersih RM4,500 daripada kebun masing-masing.
“Bagaimanapun sasaran baharu adalah RM6,000 sebulan tetapi kadar ini belum lagi digazetkan,” kata Awang Zaidel.
Bagi kategori tertutup pula, petani akan dikenakan sewa RM150 untuk satu Struktur Pelindung Hujan (SPH) yang berfungsi seperti rumah hijau untuk tanaman. Petani boleh menanam semua jenis sayur-sayuran dan buah-buahan, kecuali tanaman jenis bermusim.
Dari segi sejarahnya TKPM di Sarawak, ia dimulakan pada 2012 dan sehingga kini terdapat tujuh lokasi yang sudah dibangunkan. Lokasi-lokasi berkenaan adalah TKPM Kabuloh Miri (250 hektar dengan 54 peserta), TKPM Kubong, Limbang (30 hektar dengan enam peserta), TKPM Penipah, Mukah (40 hektar dengan 14 peserta), TKPM Sungai Ma’aw, Sibu (10 hektar dengan empat peserta), TKPM Pejiru,Bau (20 hektar dengan tujuh peserta), TKPM Semenggok (54 hektar dengan 10 peserta).
Beberapa buah lagi TKPM bakal dibuka dalam tempoh terdekat iaitu TKPM Sungai Sibiew di Bintulu, TKPM Julau di Sarikei, TKPM Sungai Tunoh, Ulu Kapit dan TKPM Layar di Betong.
Bagaimanapun, satu-satunya TKPM moden adalah TKPM Rampangi dengan keluasan lapan hektar yang menempatkan 40 unit SPH dan diusahakan oleh 16 peserta. Daripada 16 peserta ini, enam daripadanya menggunapakai IoT sepenuhya untuk aktiviti pertanian masing-masing.
Kejayaan para petani di TKPM Rampangi mencetus fenomena sehingga permohonan untuk turut serta di sini cukup tinggi. Malangnya disebabkan kekangan infrastruktur, ia masih belum mampu membuka ruang untuk lebih ramai petani lain.
Oleh HAINI DARANI