CHARLES Leclerc telah lama disebut-sebut sebagai juara dunia Formula Satu dalam pembikinan dan pemandu Ferrari itu telah muncul sebagai pemandu yang perlu ditewaskan musim ini selepas kemenangan dominan di Melbourne.
Pemandu berusia 24 tahun dari Monaco itu mengalahkan pesaingnya pada Grand Prix Australia, Ahad lepas di Albert Park yang telah diubah suai, bermula dari petak pertama dan melintasi garisan penamat lebih 20 saat di hadapan pemandu Red Bull, Sergio Perez.
Kempen 2022 baharu berusia tiga perlumbaan, tetapi kepantasan dan kebolehpercayaan Ferrari Leclerc — ditambah pula dengan masalah Max Verstappen di Red Bull dan kesukaran Lewis Hamilton di Mercedes — telah menyaksikan dia muncul sebagai pilihan awal untuk memenangi kejuaraan pemandu sulung beliau.
Leclerc dan Ferrari akan mempunyai motivasi tambahan, tetapi juga tekanan, untuk meningkat kelebihan mereka dalam perlumbaan seterusnya pada 25 April kerana ia berlangsung di Imola di hadapan penyokong tuan rumah yang bersemangat.
Leclerc mempunyai kelebihan 34 mata dalam kedudukan keseluruhan selepas kemenangannya, yang datang selepas kemenangan pada pembukaan musim di Bahrain dan tempat kedua di Arab Saudi, di belakang juara dunia Verstappen.
“Jelas sekali kami hanya mengharungi perlumbaan ketiga jadi sukar untuk memikirkan kejuaraan,” tegas Leclerc sejurus selepas kemenangan beliau.
Tetapi dia mengakui: “Sejujurnya, kami mempunyai kereta yang sangat kuat, kereta yang sangat boleh dipercayai juga.
“Saya harap ia berterusan seperti ini dan jika ia berlaku, maka kami mungkin mempunyai peluang untuk memenangi kejuaraan, yang jelas membuatkan saya tersenyum selepas dua tahun yang sukar untuk pasukan dan jelas untuk diri saya sendiri.
“Seronok dapat kembali dalam kedudukan ini.”
Leclerc yang selama bertahun-tahun telah dianggap sebagai bakal juara dunia F1.
Setelah memenangi kejuaraan GP3 dan Formula 2, dia melangkah ke F1 pada 2018 dan setahun kemudian memenangi perlumbaan pertamanya untuk Ferrari.
Kemenangan kedua Leclerc hadir di Grand Prix Itali pada 2019, kemenangan pertama pasukan itu di laman sendiri sejak Fernando Alonso pada 2010, mencetuskan suasana kegembiraan di kalangan penyokong Ferrari.
Pada 2020 dan 2021 Ferrari gagal mencatat satu kemenangan di mana-mana litar, tetapi kini nampaknya mampu mengekalkan cabaran kejuaraan yang serius buat kali pertama dalam tempoh lebih 15 tahun.
“Pemikiran agak berbeza berbanding dua tahun lepas kerana sekarang saya tahu di bawah saya ada kereta yang mampu menang,” kata Leclerc.
Prestasi hebat beliau pada hujung minggu menyaksikan dia layak di petak pertama, mencatat pusingan terpantas dan mendahului setiap pusingan perlumbaan.
“Saya tidak perlu terlalu berlebih-lebihan atau melakukan sesuatu yang sangat istimewa dan menakjubkan untuk benar-benar mendapat satu atau dua kedudukan kerana saya tahu ia ada di dalam kereta,” katanya.
“Saya hanya perlu melakukan kerja itu.”
RED BULL ‘JAUH KETINGGALAN’
Penilaian optimis Leclerc sangat berbeza dengan pesaingnya yang turut memburu gelaran yang berusia 24 tahun, Verstappen.
Pemandu dari Belanda dan rakan sepasukannya, Perez, kedua-duanya terpaksa bersara di Bahrain ketika usaha Verstappen memulakan mempertahankan kejuaraan beliau bermula dengan buruk.
Selepas kemenangan di Jeddah, kereta Verstappen sekali lagi rosak di Melbourne apabila dia kelihatan seperti mampu menduduki tempat kedua.
“Kami terlalu jauh di belakang (Ferrari). Kami perlu menamatkan perlumbaan,” kata Verstappen yang marah dan menyifatkan ia ‘tidak boleh diterima’.
Verstappen mendapati dirinya di tempat keenam dalam kedudukan keseluruhan pemandu dan sudah ketinggalan 46 mata di belakang Leclerc.
Kedudukan mempunyai pandangan yang tidak biasa dengan George Russell dari Mercedes di tempat kedua dan Carlos Sainz di tangga ketiga bersama sebuah lagi Ferrari.
Verstappen sekurang-kurangnya berada dalam kumpulan yang baik. Juara dunia tujuh kali Hamilton, pemandu yang secara kontroversi ditewaskannya untuk merangkul mahkota dunia musim lalu, berada di tempat kelima dan bergelut dalam Mercedes yang mempunyai masalah teruk dengan melantun pada kelajuan tinggi.
Yang membimbangkan untuk Verstappen dan Red Bull, serta masalah kebolehpercayaan, mereka juga tidak dapat menandingi rentak Ferrari.
“Kami berada dalam situasi ini sebagai satu pasukan dan kami akan bangkit semula,” kata ketua pasukan Red Bull, Christian Horner.
“Ia adalah musim yang panjang dan kami mempunyai asas kereta yang pantas dan kompetitif, tetapi kami perlu menyelesaikan isu ini dengan cepat dan kami akan terus berusaha.” – AFP