ANTARA aksi menarik perlawanan antara Kuching City dengan Kelantan FC yang berakhir dengan kemenangan 2-1 pasukan dari Bumi Kenyalang itu dalam saingan Liga Premier 2022, malam kelmarin.
KUCHING City FC membuka tirai Liga Premier 2022 dengan langkah kanan selepas mengalahkan Kelantan FC 2-1 malam kelmarin.
Anak buah Irfan Bakti Abu Salim memulakan perlawanan dengan serangan bertali arus untuk menembusi gawang Kelantan FC.
Usaha keras pemain Kuching City FC berhasil apabila pemain import, Abu Kamara mudah menanduk masuk sepakan sudut yang diambil Mohamad Alif Hassan pada minit ke-25.
Selang tujuh minit kemudian, Kuching City FC dikejutkan dengan gol penyamaan Kelantan FC yang juga menerusi tandukan daripada Yusri Yuhasmadi.
Bermula babak kedua, pemain Kuching City FC terus bernafsu memburu jaringan pendahuluan.
Shafizi Iqmal muncul wira Kuching City FC selepas menjaringkan gol cantik pada minit ke-67 sekaligus menjadi jaringan kemenangan.
Sementara itu, Irfan berkata, sasaran Kuching City FC pada musim ini adalah untuk melayakkan diri ke saingan Liga Super.
“Kita akan fokus dari perlawanan ke perlawanan. Tumpuan kita adalah untuk layak ke saingan tertinggi (Liga Super) pada musim hadapan,” katanya.
Perlawanan seterusnya menyaksikan Kuching City FC bakal bertandang ke Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunus pada 17 April menentang JDT II.