PERTUMBUHAN nilai jualan pada Februari 2022 dipacu oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (16.4 peratus) terutama dalam industri pembuatan produk makanan.
KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Februari 2022 berjumlah RM131.6 bilion, tumbuh sebanyak 11.2 peratus berbanding bulan yang sama 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut kenyataan, DOSM menjelaskan bagaimamapun, nilai jualan ini susut sebanyak 5.3 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan nilai jualan pada Februari 2022 dipacu oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (16.4 peratus) terutama dalam industri pembuatan produk makanan.
“Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (12.6 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis, dan subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik (9.8 peratus) terutama dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal,” katanya bagi mengulas laporan Perangkaan Pembuatan Bulanan, Malaysia, Februari 2022 yang dikeluarkan DOSM pada Isnin.
Beliau berkata, nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 71.2 peratus kepada jumlah nilai jualan merekodkan peningkatan 12.7 peratus manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 7.6 peratus pada Februari 2022 berbanding bulan yang sama 2021.
“Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan trend eksport perdagangan luar negara serta faktor harga yang kekal memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata, bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport merekodkan penurunan 5.1 peratus manakala industri berorientasikan domestik turut susut 5.7 peratus.
Mohd Uzir berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan pada Februari 2022 adalah 2,275,927 orang, meningkat 2.1 peratus berbanding 2,228,415 orang pada Februari 2021
Beliau berkata, peningkatan ini disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik (4.7 peratus); produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (3.2 peratus); dan produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (1.7 peratus).
Laporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah RM7.81 bilion meningkat 3.9 peratus atau RM293.0 juta pada Februari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Di samping itu, nilai jualan per pekerja meningkat 8.8 peratus kepada RM57,838 berbanding bulan yang sama 2021 (Februari 2021: RM53,138).
Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah RM3,429 pada Februari 2022, jelas DOSM. – Bernama