CENDERAMATA…Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga, kiri) menerima replika Kapal Terbang Firefly
daripada Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Malaysia Airlines Berhad Ahmad Luqman Mohd Azmi sambil
disaksikan oleh tetamu yang lain.
KUCHING: Penerbangan sulung Firefly Airlines dari Pulau Pinang ke Kuching mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LATK) kira-kira 3.58 petang semalam.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, hari ini adalah satu lagi sejarah penting kepada Sarawak terutamanya mereka yang berada dalam industri pelancongan juga kepada Malaysia Airline (MAS).
“Kita baharu sahaja menerima penerbangan sulung dari Firefly sebentar tadi dari Pulau Pinang ke Kuching. Penerbangan ini akan terbang ke Kuching setiap hari.
“Jika sebelum ini, MAS hanya beroperasi tiga kali seminggu jadi sekarang, kita mendapat penerbangan harian dari Pulau Pinang ke Kuching dan pada 24 April penerbangan ini akan dua kali sehari,” katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), semalam.
Abdul Karim berkata, penerbangan Pulau Pinang adalah destinasi yang sangat penting untuk negeri ini malah ia juga akan menghubungkan dua pulau di Malaysia iaitu kepulauan borneo serta Pulau Pinang.
Katanya, penerbangan sulung Firefly telah membawa 82 penumpang dari Pulau Pinang ke Kuching.
Tambahnya lagi, dengan adanya penerbangan dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan bahagian lain dari Malaysia melalui pelbagai syarikat penerbangan ia diharapkan dapat meningkatkan bilangan pelawat yang datang ke Sarawak.
Pada masa ini, Sarawak telah meningkatkan kekerapan penerbangan domestiknya daripada 562 penerbangan kepada 615 penerbangan berkuat kuasa 8 April.
“Pelawat dari Malaysia barat boleh mengambil penerbangan terus dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Johor Bahru, Langkawi, Kota Bahru ke Kuching, manakala mereka boleh mengambil penerbangan terus dari Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang ke Sibu dan penerbangan terus dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke Miri.
“Manakala mereka boleh mengambil penerbangan terus dari Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang ke Sibu dan penerbangan terus dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke Miri,” ujarnya.
Katanya lagi, penyambungan semula pengembara domestik dan antarabangsa ke Sarawak merupakan langkah penting untuk memberikan industri pelancongan Sarawak rangsangan yang diperlukan.
“Setakat ini Sarawak telah merekodkan 229,678 ketibaan pelawat ke Sarawak dari Januari hingga Mac 2022, ini merupakan peningkatan sebanyak 569.25 peratus dalam ketibaan pelawat berbanding tempoh yang sama tahun lepas dari Januari hingga Mac pada 2021 dan Januari hingga Mac 2022 terdapat peningkatan sebanyak 569.
“Ini merupakan kejayaan besar dalam usaha kita untuk mencapai sasaran 1.2 juta pengunjung untuk tahun ini.
“Kita percaya dengan jumlah pelawat yang dianggarkan dari Januari hingga Mac, saya yakin dan percaya kita boleh mengulangi 1.2 juta pengunjung yang datang ke Sarawak.
“Malah jumlah ini adalah masih jauh berbeza daripada jumlah yang kita ada sebelum covid-19 melanda, yang mana kita mencecah kira-kira 4.5 juta pelawat setiap tahun,” katanya lagi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO