JAWAB MEDIA… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahmad Luqman Mohd Azmi dan Roslan Ismail ketika ditemui media selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung Firefly dari Pulau Pinang ke Kuching, semalam.
KUCHING: Kerajaan perlu menetapkan siling ke atas harga tiket penerbangan antara Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah untuk menangani isu harga tiket penerbangan mahal apabila tibanya musim perayaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, buat masa ini, tiada harga siling ditetapkan.
Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa melihat isu kenaikan harga tiket penerbangan secara mendalam dan telah berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk mencari penyelesaian.
“Mesti ada harga siling, kerana ia tidak boleh kalau dari Kuala Lumpur ke Kuching sehingga RM2,000 hingga RM3,000 itu memang tidak munasabah, ia perlu dilihat dari pelbagai sudut agar ia memberi situasi menang-menang kepada masyarakat dan syarikat penerbangan.
“Perbincangan kita berterusan tetapi kita kena praktikal juga, jika harga tiket murah dan sesetengah penerbangan hanya mempunyai 20 atau 30 penumpang maka operator akan rugi.
“Tetapi daripada apa yang saya lihat, ia (harga) belum lagi ke harga itu malah harga tiket masih dalam kadar ratusan ringgit,” katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung Firefly dari Pulau Pinang ke Kuching, semalam.
Mengenai kenaikan harga tiket penerbangan, Karim berkata orang ramai perlu bijak membeli tiket penerbangan untuk mengelak daripada membayar tiket penerbangan yang mahal dengan membeli tiket dengan lebih awal.
“Jangan beli tiket penerbangan pada saat akhir yang mana semua orang nak balik pada masa yang sama, mestilah harganya lebih tinggi.
“Misalnya di Semenanjung tidak ada Gawai, mungkin sebelum Gawai penerbangan akan ditambah dari Johor ke Kuching,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, orang ramai perlu menempah tiket lebih awal sebelum tibanya musim perayaan.
“Kalau tempah awal, kita boleh tambah penerbangan tapi kalau tempah dua atau tiga hari sebelum perayaan, memang tidak sempat dan baki kerusi yang ada akan melonjak harga sehingga RM2,000 atau RM3,000 kerana semua orang berebut kerusi.
“Selain itu, isu harga tiket sering timbul setiap tahun dan hanya melibatkan baki satu atau dua kerusi dalam sesebuah penerbangan. Bila tidak ada kerusi lagi, harga itu terus pergi harga siling,” katanya.