BAJU tradisional seperti kurung dan kebaya gaya klasik dengan perincian ringkas atau ‘minimalis’ terus menjadi pilihan ramai untuk digayakan pada lebaran tahun ini.
Walaupun busana tradisional kini kian mendapat sentuhan moden, tidak kurang juga altenatif lain seperti jubah dan kaftan, busana tradisional ternyata mempunyai nilai istimewa dan tersendiri untuk Aidilfitri.
Berkongsi pandangan berhubung fesyen pilihan tahun ini, pengasas jenama pakaian Tujoh Kuntom Amelin Asri berkata baju kurung Pahang antara yang mendapat permintaan dan jualan tertinggi daripada koleksi ditawarkan.
“Ramai suka baju kurung Pahang kerana potongan yang ‘terletak’ pada badan, selain itu kami juga mengetengahkan konsep klasik tapi minimum, sesuai dengan selera masa kini yang gemarkan pakaian ringkas, polos dan selesa tapi masih tampak ‘mahal’,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Amelin berkata pihaknya mula mengeluarkan pakaian edisi raya pada 1 Mac lepas dengan harga bermula RM169 dan setakat ini telah menghasilkan lebih 15,000 pasang pakaian.
TREND TAHUN INI
Turut senada, pereka fesyen terkenal yang juga pemilik butik Azura Couture Azura Mazaruddin yang menyifatkan trend tahun ini sebagai ‘back to basic’ apabila kebanyakan pakaian siap (‘ready to wear’) ditawarkan pelbagai jenama menampilkan baju kurung dan baju kebaya seperti kurung riau sebagai taruhan.
“Tetapi tidak kurang juga yang memilih ‘modern look’, namun masih mengekalkan elemen tradisional, cuma rekaan dimodenkan sedikit,” katanya yang turut menasihatkan orang ramai untuk memilih material dan rekaan yang selesa sebagai pilihan pada Syawal ini.
Azura juga mendapati warna-warna terang seperti jingga, ‘turquoise’ (biru firus) dan merah hati yang ‘menang’ di dalam gambar menjadi trend pada tahun ini.
Pemilik butik D’na Risik Noralina Amiruddin yang beroperasi di Pertama Complex, pula berkata teknik sulaman seperti sulam biku dan sulam tampal yang terakhir kali mendapat banyak permintaan sekitar 2002 juga kini kembali hidup dan mendapat tempat di hati pemakai.
“Kalau tiga tahun lepas ramai yang tempah ‘dress’ (gaun), tapi tahun ini kebanyakannya tempah baju kurung tradisional dan klasik, tak terlalu berfesyen,” katanya.
LEBIH GEMARI REKAAN PRAKTIKAL
Pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail juga mengakui masyarakat hari ini lebih menggemari rekaan yang praktikal dengan mengutamakan keselesaan pada busana tersebut.
“Sekarang, orang dah tak suka memakai busana yang terlalu sarat atau glamor. Zaman itu sudah berakhir.
“Kini, busana dengan gaya ringkas menjadi pilihan. Walaupun begitu, busana itu tetap kelihatan elegan dan eksklusif ketika digayakan,” katanya sambil menambah warna pastel masih akan mendominasi pada lebaran kali ini.
Ezuwan berkata bagi lelaki pula, baju Melayu cekak musang dan baju Melayu teluk belanga, terus menjadi pilihan golongan itu yang gemarkan gaya kemas namun ingin kelihatan segak pada hari raya.
Tinjauan Bernama di beberapa portal beli-belah turut mendapati selain baju tradisional, baju kurung moden atau kontemporari sama ada potongan singkat atau labuh dalam pelbagai warna pastel selain rona gelap seperti merah hati, juga menguasai pasaran. – Bernama