SEBUAH lagi buku yang merakamkan sejarah dan warisan penempatan awal Sarawak yang cukup signifikan berjaya diterbitkan pada 2021. Buku yang dimaksudkan berjudul “Kuching Old Bazaar: Its History and Changes” yang diterbitkan oleh Kuching Old Market Community Association.
Buku itu menyusul penerbitan yang lebih awal berjudul “Negeri Santubong: Sejarah Awal Sarawak” yang ditulis oleh Sanib Said dan diterbitkan oleh Yayasan Budaya Melayu Sarawak.
Kedua-dua buku tersebut dicetak oleh InfoGrafik Press Sdn Bhd pada tahun yang sama.
Fakta yang penting yang diserlahi kedua-dua buku tersebut ialah: (i) Santubong adalah sebuah pelabuhan terhebat di Kepulauan Melayu dari tahun 300 Era Sebelum Sekarang (ESS). (ii) Pasar Lama Kuching merupakan pusat politik dan ekonomi yang meninggalkan sejarah dan wairsan era peninggalan Rejim Keluarga Brooke pada abad ke-19.
Dalam tullisan ini buku Kuching Old Bazaar: Its History and Changes diserlahi selepas buku tulisan Sanib Said mengenai negeri Santubong pernah disiarkan di Utusan Sarawak dalam keluaran 26 Jun 2021 dalam ruangan “Dari Naskhah Ke Naskhah”.
Pasar Lama Kuching bermula 1860
Pasar Lama Kuching telah dibangunkan oleh masyarakat Cina pada tahun 1860. Ia meliputi kawasan-kawasan yang kita dapat kenali sehingga ke hari ini seperti Main Bazaar, Carpentar Street, China Street, Bishop’s Gate, Ewe Hai Street, dan beberapa nama kawasan dalam persekitarannya yang kini diangkat sebagai Jejak Warisan oleh Kementerian Pelancongan, Seni Kreatif dan Seni Persembahan.
Menteri Pelancongan, Seni Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Karim Rahman Hamzah, dalam kata pengantarnya dalam buku berkenaan memuji usaha Persatuan Masyarakat Pasar Lama Kuching yang dipengerusikan oleh Kapitan Lim Chuan Chan atas usaha menerbit buku tersebut sebagai sebahagian dari Program Pemetaan Kebudayaan Pasar Lama Kuching dan Promosi Pelancongan.
Karim puas hati bahawa promosi kebudayaan dan pelancongan yang dilibatkan secara proaktif melalui penyertaan komuniti meringankan beban kumpulan yang terlibat secara langsung dalam industri kebudayaan dan pelancongan semata-mata.
Beliau menganggap badan bukan kerajaan (NGO) seperti yang dipimpin oleh Kapitan Lim Chuan Chan itu sebagai ‘duta’ kebudayaan dan pelancongan yang cukup berkesan.
Monograf pertama
Menurut pengarang Chai Yu, yang mengetuai sekumpulan anggota editorial buku Kuching Old Bazaar ini, hasil kajian, penyelidikan, wawancara dan kerja-kerja pengumpulan fakta dari pelbagai pihak merupakan monograf pertama yang memfokuskan ke atas sejarah sosial dan oral Pasar Lama.
Banyak bantuan diperolehi untuk menghasilkan bahan-bahan buku berkenaan, termasuklah kaji selidik yang dilakukan oleh Dr Elena Chai Chin Fern dan anggota pasukannya dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); rujukan bahan-bahan dari Sarawak Gazette serta beberapa orang individu dalam pelbagai lapisan masyarakat dan dari kalangan pelbagai etnik di Sarawak dalam menjejaki susur-galur sejarah dan peninggalan warisan Pasar Lama Kuching.
1820: Penemuan lombong emas, antimoni di Bau
Pada ketika Sarawak masih di bawah Kesultanan Brunei, penemuan lombong emas dan antimoni telah berlaku dalam kawasan Bau. Pada ketika itulah masyarakat Cina, yang sudah wujud seperti yang terbukti dengan kewujudan Tua Pek Kong di persimpangan Main Bazaar dan Temple Street yang masih megah berdiri sehingga ke hari ini, mulai bergiat aktif dalam aktiviti ekonomi.
Pada ketika itu, kegiatan perlombongan di Bau merupakan kegiatan huluan manakala di Pasar Lama Kuching kegiatan hiliran seperti penjualan emas di kedai-kedai (yang kellihatan masih banyak wujud sehingga ke hari ini sekitar Main Bazaaar dan Carpentar Street).
Berlaku banyak kekecohan dan ketegangan sivil di Sarawak pada ketika penemuan perlombongan itu, terutama sekali sekitar 1830-an.
Kegiatan pada Era Brooke
Pada 1841 James Brooke tiba di Kuching dan dijemput oleh Sultan Brunei ketika itu untuk menteramkan ketegangan dan kekecohan itu sehingga ditawarkan sebagai Raja pertama.
Pada ketika pemberontakan memuncak di Bau pada 1857 kegiatan perniagaan di Pasar Lama Kuching dikatakan terjejas teruk dan kejadian itu berlaku sehingga era Raja Charles Brooke sebagai Raja ke-2 pada 1868.
Rentetan daripada itu diwujudkan Mahkamah Cina di Main Bazaar pada 1912 dengan Ong Tiang Swee dilantik sebagai Ketua Majistretnya bagi mengadili kes-kes sivil dalam kalangan masyarakat Cina ketika itu. Pada tahun 1886 deretan kedai dibina di Ewe Hai Street.
Pada 1884 satu tragedi besar berlaku apabila sebuah kedai di persimpangan Carpentar Street dan China Street terbakar. Oleh kerana kedai-kedai yang dibina rapat-rapat antara satu sama lain pada ketika itu, dan berdindingkan papan dan beratap daun palma, akhirnya ia menjadi kebakaran besar yang memusnahkan 160 buah kedai.
Untuk membina semula kedai-kedai baharu Raja Charles Brooke telah memerintah agar semua kedai baharu dibina daripada konkrit.
Pada tahun 1880 pasar basah dipindahkan ke Gambier Street, kawasan yang kemudiannya dilabelkan sebagai kawasan Pasar Baharu manakala kawasan Main Bazaar, Carpentar Street dan kawasan-kawasan berjiranan sebagai Pasar Lama.
Pada 1874 bangunan Mahkamah Lama dibina, pada mulanya menempatkan bangunan kerajaan. Bangunan ini masih tersergam megah dan dijadikan bangunan untuk pusat pelancongan.
Pada 1870 Sarawak Gazette dilancarkan, memulakan kerja-kerja rakaman rasmi yang bersistematik tentang pentadbiran awal Rejim Brooke.
Pada 1917 Rajah ke-3 orang putih adalah di bawah Raja Charles Vyner Brooke terkenal dengan penganjuran 100 tahun pemerintahan Brooke secara besar-besaran pada 1946. Namun kegahan sambutan perayaan itu terjejas oleh Penaklukan Jepun selama tiga tahun 8 bulan, menyebabkan Raja Charles Vyner Brooke terpaksa menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British sebagai tanah jajahan.
Jepun tewas selepas pengeboman Pearl Harbour di Hiroshima, dan British memerintah terus sehinggalah Sarawak menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia.
Pasca Merdeka
Pada 1963 ketika penubuhan Persekutuan Malaysia, sebahagian Jalan Rock dinamakan sebagai Jalan Tun Abang Haji Openg bersempena dengan nama Yang di-Pertua Negeri pertama Sarawak.
Selepas itu rumah kedai dibina di Green Hill, selain pembinaan Tebingan Sungai Kuching pada 1993.
Pada 1995 Persatuan Masyarakat Pasar Lama Kuching pun ditubuhkan. Badan ini bergiat proaktif membantu kerajaan Sarawak dalam pengwujudan aktiviti-aktiviti besar seperti Festival Kuih Bulan Rentas Budaya Kuching pada 2003 dan pelancaran Program Pemetaan Kebudayaan dan Promosi Pelancongan Pasar Lama Kuching pada 2020.
Begitulah, catatan-catatan pentiing usaha melestarikan Pasar Lama Kuching yang kini dilihat sebagai tapak jejak warisan dan sejarah Sarawak yang cukup bererti dari aspek sumbangan masyarakat Cina dalam sama-sama membangunkan Sarawak sehingga ke hari ini.
Penutup
Begitulah rakaman sejarah dan warisan penempatan awal Pasar Lama Kuching yang cukup signifikan dalam perkembangan ekonomi dan warisan budaya Sarawak yang cukup bermakna untuk tatapan generasi penerus serta untuk dinikmati para pelancong.
Penampilan buku ini amat bermakna dan wajar dibaca kita semua.