WALAUPUN berdepan cabaran tersendiri, skuad gimnastik artistik dan berirama kebangsaan berazam enggan pulang dengan tangan kosong pada penyertaan di Sukan SEA Hanoi, Vietnam yang dijadual berlangsung 12 hingga 23 Mei ini.
Pada temasya sukan dwitahunan itu, kedua-dua skuad masing-masing menyasarkan untuk meraih dua pingat emas selepas mengambil kira saingan getir bakal ditempuhi selain disebabkan faktor pengurangan jumlah acara dipertandingkan.
Ketua jurulatih gimnastik artistik wanita negara Ng Shu Wai menjangka Sukan SEA Hanoi akan menjadi edisi temasya paling sukar buat anak buahnya apabila bakal berdepan tentangan pasukan Filipina yang diperkuatkan dengan kehadiran empat bekas gimnas Amerika Syarikat.
Selain itu ketiadaan bekas ratu gimnastik Farah Ann Abdul Hadi dalam skuad kebangsaan sedikit sebanyak memberi kesan kepada peluang negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi terdahulu.
“Ketiadaan Farah beri impak besar juga tetapi jika kali ini Farah bersama kita pun masih agak susah untuk menang sebab pasukan Filipina kuat. Saya tak pernah jumpa pasukan selengkap itu sepanjang lima tahun saya bimbing pasukan negara. Sukan SEA kali ini akan menjadi yang paling sukar bagi kita,” katanya.
“Berdasarkan senarai nama yang telah keluar, kita tengok dan memang kenal nama-nama itu, memang bekas atlet Amerika. Ia menjadikan saingan lebih sukar tetapi kita yakin boleh capai sasaran,” katanya pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil di Kuala Lumpur, semalam.
Shu Wai berkata 10 atlet terdiri daripada empat lelaki dan enam wanita akan menggalas cabaran Malaysia di Hanoi dengan sandaran emas bagi kategori wanita diletakkan di bahu Rachel Yeoh menerusi acara palang tidak sejajar individu.
Sebagai rekod, Rachel yang bakal membuat penampilan Sukan SEA keduanya di Hanoi berjaya merangkul pingat gangsa acara palang tidak sejajar individu pada edisi Sukan SEA 2019 di Filipina manakala pingat emas ketika itu diraih Farah Ann.
Rachel juga akan mengambil bahagian dalam acara ‘all-around‘ di Hanoi.
Sementara itu pengurus skuad gimnastik berirama negara Toh Ai Lee berkata pengurangan jumlah acara menyaksikan hanya acara ‘all-around‘ individu dan ‘all-around‘ berpasukan sahaja dipertandingkan di Hanoi.
Katanya pasukan negara tidak mempunyai pilihan selain berjuang bersungguh-sungguh untuk mencapai misi ditetapkan demi meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara itu.
Sebagai persiapan terakhir, Ai Lee berkata kesemua atlet negara beraksi dalam acara individu iaitu Koi Sie Yan, Izzah Amzan, Ng Joe Ee dan Lai Yun Jo akan menjalani latihan intensif di Baku, Azerbaijan bermula 14 April sebelum mereka menyertai sebuah kejohanan di Romania hujung bulan ini.
“Untuk atlet acara berpasukan juga sama, mereka akan bertolak lebih awal ke Baku iaitu pada 9 April dan turut akan menyertai kejohanan di Romania sebelum bersama-sama pulang ke Baku. Kesemua mereka (individu dan berpasukan) akan berlepas ke Hanoi dari Baku,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran dari negara lain, Ai Lee berkata kekurangan kejohanan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini menyukarkan barisan kejurulatihan membuat penilaian prestasi, namun menegaskan pasukan negara sentiasa berusaha mengekalkan prestasi pada tahap terbaik.
Pada edisi 2019 di Filipina, skuad gimnastik artistik berjaya meraih lima pingat emas sementara skuad gimnastik berirama menuai empat emas.-Bernama