SOKONGAN PADU… Biah (tengah) menghantar tempahan tudung saji yang telah siap ke Pusat Khidmat PBB N41 Kuala Rajang untuk diserahkan kepada Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh.
DI MANA ada kemahuan, di situ ada jalannya. Kesungguhan untuk belajar membawa kejayaan kepada Biah Rambor, 48, seorang penghasil kraf tangan di Sarikei.
Daya kreativiti yang ada pada Biah dan kraf tangan yang dianyamnya sememangnya memukau, malah menjadi rebutan peminat kraf tangan tempatan.
Bermula dengan tudung saji dianyam menggunakan reben, kini Biah menghasilkan anyaman tudung saji menggunakan bekas penutup kipas terpakai yang tidak digunakan lagi.
Menurut Biah, pada mulanya ingin menggunakan bekas penutup kipas terpakai untuk membuat anyaman talam atau ‘Tabak’ dalam bahasa Iban.
“Minat menghasilkan tudung saji dari bekas penutup kipas terpakai yang tidak digunakan ini dah lama.
“Idea menganyam tudung saji dari bekas penutup kipas terpakai ini datang setelah saya melihat makcik saya menganyam.
“Setelah anyaman makcik saya siap….saya membeli daripadanya untuk digunakan sebagai panduan saya menghasilkan tudung saji menggunakan bekas penutup kipas terpakai,” katanya ketika ditemu bual penulis.
Tambahnya, tudung saji ini tidak dapat dihasilkan sekiranya tiada bekas penutup kipas terpakai.
“Selepas menghasilkan tudung saji dari penutup kipas terpakai ini, saya bercadang nak menghasilkan anyaman ‘Tabak’ menggunakan bekas penutup kipas lama.
“Tudung saji menggunakan bekas penutup kipas terpakai ini dianyam menggunakan tali PVC plastik berwarna-warni.
“Berbeza dengan menggunakan reben, tali ini lebih keras dan agak sukar untuk dianyam,” ujar Biah.
Katanya, kesukaran menganyam kraf tangan ini ketara sehingga kukunya pecah akibat tali PVC plastik yang digunakannya.
“Jari juga memang sakit semasa menganyamnya, tetapi disebabkan minat menganyam, saya teruskan juga dan tidak berputus asa.
“Tempoh masa menganyam satu tudung saji penutup kipas terpakai ini juga mengambil masa agak lama iaitu lebih kurang dua minggu sekiranya dianyam setiap hari.
“Proses menganyamnya lebih rumit dari menggunakan reben dan selain perlu menunggu mencari bekas penutup kipas terpakai,” katanya lagi.
Jelasnya, kos untuk menghasilkan tudung saji dianyam menggunakan tali PVC plastik dalam anggaran lebih kurang RM50 hingga RM60 mengikut saiz bekas penutup kipas terpakai.
“Buat masa ini, saya menerima tempahan tudung saji jenis ini daripada peminat di Bintulu, Song dan Kuching.
“Saya memperoleh bekas penutup kipas terpakai dari kawan-kawan dan juga stok saya selama ini yang pada mulanya ingin digunakan untuk membuat anyaman ‘Tabak’,” jelasnya.
Dalam pada itu, Biah mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh kerana sentiasa menyokongnya dengan membeli setiap jenis anyaman dihasilkannya.
“Saya sangat terharu dan sokongan ini menyebabkan saya bertambah semangat untuk menghasilkan anyaman lain pada masa akan datang,” katanya lagi.
Harga anyaman tudung saji menggunakan bekas penutup kipas terpakai ini mengikut saiz iaitu RM90 hingga RM140.
Pelbagai corak dan warna yang dianyam hasil kreativiti Biah Rambor ini pastinya menarik minat peminat kerana hasil anyamannya cukup cantik dan unik.
Oleh EARL ANEK