YANG saya tahu dan kenali, seorang rakan terpaksa ‘terpisah’ dua tahun selepas berkahwin dua tahun sebelum itu, gara-gara sempadan negara ditutup – Malaysia dan Australia.
Ia bukan seperti lagu ‘Antara Anyer dan Jakarta’ nyanyian Datuk Sheila Majid, tetapi ‘Antara Koala dan Orang Utan’.
Semuanya disebabkan pandemik dan kegilaan Covid-19 yang menyusahkan manusia sejagat.
Mulai esok pula, Malaysia membuka semula sempadan seperti juga kebanyakan negara lain.
Ia pasti membawa perkhabaran gembira bagi pasangan terpisah dua tahun itu, tetapi ada segmen atau sektor tertentu pasti rasa terkilan dengan perkembangan ini – terutama petugas kesihatan, takut kes Covid-19 kembali melonjak tanpa lagi sekatan melalui pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) selama ini.
Kita faham kebimbangan mereka kerana mereka juga akhirnya sibuk melayan pesakit Covid-19 di katil hospital hingga sesetengahnya sukar mendapat cuti.
Mujurlah kemunculan varian Omicron yang pada mulanya dilihat bakal memburukkan lagi situasi pandemik yang melanda seluruh dunia.
Ini kerana kadar kebolehjangkitannya disifatkan lebih cepat berbanding varian Delta, menyebabkan banyak negara merekodkan peningkatan kes jangkitan.
Namun, Omicron tidak menyebabkan gejala serius dan berdasarkan data sainfitik inilah mendorong banyak negara melonggarkan sekatan Covid-19 termasuk Malaysia.
Ia dianggap sebagai ‘faktor perubahan’ dan sesetengah pihak meramalkannya sebagai ‘pengakhiran Covid-19’.
Namun, ramai juga yang masih sinikal dan kurang yakin kerana Covid-19 adalah ‘musuh yang tidak nampak’ – boleh muncul tiba-tiba dengan pelbagai varian lain.
Tentu anda masih ingat nama-nama varian ini – Alpha, Beta, Delta, Delta Plus, Eta, Gamma, Iota, Theta, Kappa, Lambda, MU selain Omicron.
Begitu pun, benua Eropah menjadi antara negara paling banyak melonggarkan sekatan Covid-19 sejak awal tahun ini.
England merupakan negara pertama di dunia yang menarik semula semua sekatan Covid-19 dengan alasan, kemuncak jangkitan yang disebabkan oleh Omicron sudah berakhir, selain yakin dengan program imunisasi.
Selepas itu, beberapa negara Eropah lain turut mengikut jejak langkah England.
Switzerland turut mengambil keputusan untuk melonggarkan hampir semua sekatan Covid-19 selepas kerajaan negara itu yakin dengan situasi pandemik yang berlaku.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan pemansuhan semua sekatan Covid-19, termasuk tiada lagi kuarantin wajib bagi semua pengunjung ke negara itu.
Sekatan yang dimansuhkan termasuk penyerahan sijil vaksinasi Covid-19 dan ujian PCR, sebelum atau semasa ketibaan di Arab Saudi.
Mereka semua begitu yakin dengan program imunisasi yang dilakukan termasuk dos booster dan juga percaya Omicron adalah ‘varian terakhir Covid-19’.
Di United Kingdom (UK) dan beberapa negara Eropah selain Amerika Syarikat, sudah tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka.
Malah, mulai Selasa lalu, penduduk di Singapura tidak lagi perlu memakai pelitup selepas kerajaan melonggarkan sekatan Covid-19, namun masih ramai yang memilih untuk terus memakainya ketika berada di luar.
Pendek kata, kehidupan di banyak negara menghampiri seperti sebelum Covid-19 dan sesetengahnya sudah mengisytiharkan serangan Covid-19 adalah seperti selesema biasa termasuk di Malaysia – iaitu memasuki fasa endemik.
FASA ENDEMIK, RAMAI TERSENYUM GIRANG
Apapun, bila memasuki fasa endemik mulai esok, yang girang tersenyum pastinya sektor perniagaan, pelancongan dan perhotelan.
Sektor inilah yang paling teruk terjejas sejak pendemik.
Lebih perit, ekonomi kebanyakan negara menjunam, banyak syarikat termasuk di Malaysia ditutup, banyak juga rakyat di kebanyakan negara jatuh miskin dan hilang pekerjaan.
Ekonomi Malaysia menguncup pada kadar 3.4 peratus pada suku keempat 2020 berbanding berbanding penurunan 2.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Untuk setahun penuh 2020, ekonomi negara menguncup 5.6 peratus susulan kesan dan langkah kawalan pandemik Covid-19.
Namun, sesetengah daripada kita masih belum dapat menerima hakikat memasuki era endemik.
Ini kerana jika serangan Covid-19 sudah dianggap macam selesema biasa, mengapa saban hari masih ada angka kematian? Sisi inilah yang masih menakutkan.
Memandangkan virus ini akan sentiasa ada, pihak saintis menyarankan supaya kita perlu belajar untuk hidup bersama Covid-19 dengan mengamalkan apa yang kita faham mengenai koronavirus.
Hakikat yang perlu kita terima meskipun negara akan beralih ke fasa endemik esok ialah kehidupan kita kini sudah berubah, gara-gara Covid-19.
Katakanlah… penggunaan pelitup muka sudah tidak wajib (hakikatnya masih wajib), saya yakin masih ramai akan terus menggunakannya.
Ini kerana Covid-19 mengajar diri kita sendiri untuk sentiasa berjaga-jaga, berhati-hati bila berkumpul ramai-ramai, jangan bersin tanpa menutup mulut di hadapan orang, sentiasa memeriksa suhu oksigen bila demam, rujuk ke klinik/hospital apabila badan terasa lain.
Malah kehadiran Covid-19 lebih dua tahun lalu turut menghisafkan diri kita dan bermusabah diri.
Kita semua pernah merasai duduk di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Mac tetapi untuk beberapa kali dilanjut sehinggalah 12 Mei 2020.
Tetapi pada 1 Mei 2020, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan sepanjang tahun.
Bagi orang kaya, duit bukan lagi segala-galanya apabila terpaksa merengkuk dalam rumah kerana PKP, duit tidak boleh membeli ubat untuk segera pulih apabila masuk unit rawatan rapi (ICU) di hospital kerana tiada ubat untuk merawat Covid-19 di sebalik saintis masih bertungkus lumus mencari formula ubat untuk Covid-19.
Duit banyak sekali pun, tidak boleh menerbangkan seseorang untuk bercuti mewah di luar negara kerana sempadan ditutup.
Hotel dan pusat beli-belah lenggang, restoran tiada pelanggan, kapal terbang tidak boleh terbang, pelabuhan penuh dengan kapal berlabuh.
Ada duit sekali pun, nak rentas negeri dan daerah tidak boleh kecuali ada kes kecemasan dan urusan rasmi yang dibenarkan sahaja.
Itulah kenangan pahit sepanjang PKP sebelum ini.
Namun, ada sisi yang manis… lebih banyak masa bersama keluarga di rumah; mula boleh mengimamkan solat bersama keluarga di rumah; makan masakan di rumah; pandai bertanam pokok dan bunga atas tanah kecil di belakang atau tepi rumah – sesuatu yang mungkin tidak pernah dikerjakan selama ini bagi sebilangan orang.
Semua itu akan jadi kenangan.
Bagaimana pula kisah ‘koala dan orang utan? Hanya masa akan menentukan untuk kembali bercantum. Sabar itu indah. InsyaAllah.