SEMOGA MEMANFAATKAN… Datuk Dr Malcom Mussen (tiga, kiri) menyerahkan cek replika bagi program
Usahawan Teknikal Vokasional (USTEV) kepada Sylvia Lyn Thomas (dua, kanan) serta disaksikan oleh John Ilus
(tiga, kanan) dan tetamu yang lain.
SERIAN: Kira-kira RM210 juta bantuan kewangan telah diluluskan kepada lebih 46,400 usahawan tempatan termasuk penjaja dan peniaga kecil menerusi pelbagai inisiatif di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) diwakili 98.5 peratus daripada komuniti perniagaan di Sarawak dan sudah dianggap sebagai nadi pertumbuhan ekonomi negeri.
“Sejumlah RM5.685 bilion telah diperuntukkan Kerajaan Sarawak melalui Pakej BKSS dari BKSS 1.0 hingga BKSS 8.0 untuk meringankan bebanan rakyat terkesan dengan PKP, termasuklah golongan usahawan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcom Mussen Lamoh untuk Perniagaan Jom Regista, semalam.
Awang Tengah berkata, bantuan itu termasuk Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) – dengan jumlah bantuan RM31.08 juta kepada 417 usahawan Bumiputera, Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dengan jumlah bantuan RM49.5 juta kepada 1,689 usahawan B40, mikro dan kecil, Program Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) dengan jumlah bantuan RM7.8 juta kepada 857 usahawan belia dan berkemahiran teknikal & vokasional.
“Bagi terus membantu PKS tempatan yang terkesan dari segi aliran tunai akibat pandemik Covid-19, kerajaan Sarawak turut menyediakan inisiatif Subsidi Kadar Faedah untuk Special Relief Fund (SRF), Targeted Relief and Recovery Facility (TRRF), Penjana Tourism Financing (PTF).
“MINTRED telah meluluskan subsidi berjumlah RM77 juta sebelum 31 Januari 2022 bagi pelaksanaan inisiatif tersebut. Inisiatif ini telah memberi manfaat kepada 3,346 orang PKS Sarawak,” katanya.
Mengulas lanjut Awang tengah berkata, Kerajaan Negeri juga membantu PKS dan usahawan Sarawak dari sektor pelancongan yang sangat terkesan berikutan Covid-19.
“Setakat ini di bawah BKSS 6.0, lebih 1,000 PKS dan usahawan pelancongan telah dibantu dengan nilai bantuan RM1.29 juta.
“Bagi tahun 2022, setakat Mac, di bawah BKSS 8.0, seramai 38,570 penjaja dan peniaga kecil di bawah PBT telah dibantu dengan nilai bantuan RM38.57 juta.
“Insiatif ini bagi memastikan perniagaan mereka terus beroperasi dan meringan bebanan golongan penjaja dan peniaga kecil,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Program Go Digital Sarawak 2022 dengan jumlah bantuan RM5 juta mensasarkan 500 usahawan untuk pembelian peralatan dan keperluan digital seperti perkakasan.
“Program ini dilaksanakan oleh Kementerian saya dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).
“Setakat ini, Kementerian saya dan SDEC dalam proses pemilihan 500 usahawan yang layak untuk menyertai program ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, bagi menggalakkan lagi usahawan Sarawak supaya bergerak kearah digital entrepreneurship, semasa bulan Ramadan tahun 2020 dan 2021.
Katanya, seramai 250 usahawan telah berdaftar dengan Pavilion Produk Sarawak (SPP) Kuala Lumpur dengan jumlah produk sebanyak 500 lebih produk.
“Kementerian telah menyediakan platform online bagi para usahawan mempromosi dan menjual produk mereka melalui Facebook Bazaar Rakyat Online Sarawakku Sayang (BROSS). Melalui BROSS, seramai 10,000 usahawan dari seluruh Sarawak telah terlibat dan telah berjaya mencatat nilai jualan sebanyak RM100 juta.
“Di samping itu, kementerian saya menyediakan kemudahan seperti Sarawak Product Pavilion (SPP) di Kuala Lumpur sebagai hub untuk mempromosi, mempamer, mengedar dan menjual produk ke Semenanjung Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memastikan produk dan perkhidmatan usahawan Sarawak mendapat liputan dan promosi melalui media massa, kementerian bekerjasama dengan TV Sarawak dan Media Prima.
“Kementerian akan terus aktif dalam memastikan penyertaan usahawan tempatan dalam ekspodi peringkat nasional ataupun antarabangsa.
“Bagi suku pertama 2022, Kementerian saya telah menyertai Hari Kraf Kebangsaan di Kuala Lumpur dan Ekspo Usahawan Wanita Antarabangsa Malaysia di Sabah,” katanya lagi.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah ADUN Bukit Semuja John Ilus dan Pegawai Daerah Serian Lim Hock Meng.
Oleh JEAKQLEYN YACHO