KEWUJUDAN GRS-BN mengiktiraf bahawa hakikatkewujudan BN dalam satu gabungan lain dan tidak dalam GRS, namun kerajaan negeri yang ada pada hari ini ialah GRS dan juga BN, dan hal sedemikian ini sudah dipersetujui bersama memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan ditubuhkan pada PRN Sabah yang lepas, sebagaimana ditegaskan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor baru-baru ini.
BARU-baru ini Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengumumkan bahawa parti pembangkang di Sarawak dan Sabah sedang berunding dengan parti pembangkang untuk Perikatan menubuhkan satu pakatan yang diberi nama Perikatan Borneo. Matlamat Perikatan Borneo adalah untuk menjadi kuasa ketiga dalam arena politik Persekutuan.
Sudah tentu kuasa pertama ialah blok parti yang sedang memerintah negara, iaitu Perikatan Nasional yang terdiri daripada Bersatu, Pas, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), selain parti STAR, SAPP dan Gerakan. Kuasa kedua pula ialah blok Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Amanah. Selain itu, terdapat pelbagai parti politik seperti parti Muda, Pejuang, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kuasa Rakyat, Parti Putra, Parti Warisan dan pelbagai parti serpihan dan baharu.
Matlamat menjadi kuasa ketiga ini bermakna usaha untuk merapatkan hubungan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak yang dilihat mampu mengukuhkan kedudukan parti, strategi dan perluasan pengaruh masing-masing dalam konteks besar. Dalam konteks jangka panjang, perikatan ini mahu menjadi gerakan kuasa yang besar dan mahu memberikan impak besar kewujudan mereka. Sudah tentu impak yang menjadi sasaran mereka adalah menjadi kuasa penentu, khususnya untuk menentukan kedudukan dalam jawatan tertinggi negara, iaitu jawatan Perdana Menteri.
Wadah berpolitik
Sebagaimana dalam pergelutan selepas Langkah Sheraton apabila berlakunya calon Perdana Menteri, Tun Mahathir pernah mencadangkan Shafie Apdal menjadi calon Perdana Menteri dan menolak Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR sebagai Perdana Menteri. Cadangan ini menimbulkan ketidakpuasan PKR. Berdasarkan situasi ini, sudah tentu dengan adanya Perikatan Borneo, cadangan Shafie Apdal untuk memegang jawatan tertinggi tersebut semakin kuat kerana seolah-olah mewakili keseluruhan suara Borneo, meskipun GPS pasti tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana pastinya mereka tidak mahu ketinggalan dalam persaingan tersebut sekiranya persaingan jawatan berkenaan dilihat terbuka.
Tambahan pula, GPS dilihat gabungan yang lebih stabil dan mempunyai jumlah kerusi yang jauh lebih besar daripada PSB dan Warisan setakat ini. Namun, GPS dilihat lebih mementingkan dan berfokus pada pengukuhan ekonomi pembangunan setempat daripada perebutan jawatan tersebut. Tambahan pula, GPS dilihat mesra dengan mana-mana parti di Semenanjung Malaysia asalkan kepentingan Sarawak terus diberikan perhatian dan peruntukan pembangunan semakin dipertingkatkan.
Persediaan menghadapi PRU
Presiden PSB menyatakan perlunya Perikatan Borneo adalah untuk memastikan terdapat persiapan yang mencukupi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Terdapat pelbagai pihak kini menjangka PRU akan diadakan sebelum tempoh penggal tamat. Lagipun, bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila pembubaran Parlimen dilakukan sebelum tempoh akhir. Sentimen yang ada sekarang pula dilihat kurang menentu apabila terdapat suasana yang agak dingin dalam Perikatan Nasional, khususnya antara parti PAS, Bersatu dengan Barisan Nasional yang sering bersaing dari segi pengaruh dan mengekalkan kedudukan. Maka, kemungkinan PRU diadakan lebih awal bukanlah suatu yang andaian yang tidak mempunyai asas yang kuat.
Apabila ikatan hubungan politik Sabah dan Sarawak diperkukuh, maka nama Perikatan Borneo akan memberikan persepsi bahawa ini adalah hubungan yang lebih besar antara Sabah dan Sarawak, walaupun tidak semua parti politik di Sabah dan Sarawak menyertainya. Ia lebih kepada strategi untuk menarik sokongan rakyat di kedua-dua negeri tersebut agar menyokong parti yang bakal bernaung di bawah blok Perikatan Nasional. Ia juga dilihat akan mampu memperjuangkann kedudukan dalam konteks isu-isu melibatkan Persekutuan. Maknanya, perbincangan isu-isu yang berbangkit dalam Sabah dan Sarawak akan dilihat sebagai suara yang dikongsi bersama aspirasi rakyat.
Kebimbangan Kewujudan GRS-BN
Sebenarnya apa-apa yang berlaku ini boleh dikaitkan dengan perkembangan semasa, khususnya dalam landskap politik negeri Sabah. Hal ini kerana, baru-baru ini Kerajaan Negeri Sabah kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) yang memancarkan saling mengiktiraf antara satu sama lain, khususnya apabila bekerjasama dalam kedua-dua gabungan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada September 2020.
Kewujudan GRS-BN mengiktiraf bahawa hakikat kewujudan BN dalam satu gabungan lain dan tidak dalam GRS, namun kerajaan negeri yang ada pada hari ini ialah GRS dan juga BN, dan hal sedemikian ini sudah dipersetujui bersama memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan ditubuhkan pada PRN Sabah yang lepas, sebagaimana ditegaskan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor baru-baru ini.
Situasi ini menunjukkan bahawa ikatan parti-parti membentuk Kerajaan Negeri Sabah semakin kukuh walaupun sebelum ini hubungan Bersatu dan UMNO dilihat dingin di Sabah. Sudah pasti pemulihan hubungan tersebut dilihat sebagai ancaman oleh parti-parti pembangkang, khususnya parti yang berasaskan parti tempatan, khususnya parti Warisan dan sekiranya tidak ada membuat apa-apa tindakan untuk menggerakkan sentimen sokongan, maka parti Warisan akan tenggelam dalam radar politik di Sabah. Lebih-lebih lagi, terdapat beberapa wakil rakyat Warisan telah keluar parti kerana mengakui parti tersebut sudah hilang hala tuju dan jika hal sedemikian ini berterusan, maka Warisan akan terus pudar dalam arus politik Sabah dan prestasi ini akan mempengaruhi dan boleh menjejaskan cita-cita parti Warisan untuk menjadi parti parti yang berkembang di peringkat nasional dan bertapak di Semenanjung Malaysia.