KENANGAN… Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Datu Len Talif Salleh,
Zolkipli Mohamad Aton dan yang lain merakamkan gambar pada Majlis Persidangan Pemuliharaan Malaysia
2022 di hotel terkemuka di Kuching, semalam. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Sarawak akan membangunkan Rangka Tindakan Sarawak yang mampan untuk membimbing semua agensi kerajaan, perniagaan dan komuniti dalam mencapai matlamat kemampanan yang diingini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelan tindakan itu akan menangani kebimbangan berkaitan pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber asli serta mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Penilaian Global 2019 mengenai Biodiversiti dan Perkhidmatan Ekosistem, ia telah mengesahkan bahawa pelbagai spesies dan ekosistem di seluruh dunia mengalami kemerosotan pesat dan 25 peratus flora dan fauna menghadapi kepupusan.
“Ini bagi saya, adalah satu panggilan untuk kita semua untuk memastikan kita mesti menjaga alam sekitar kita untuk generasi kita sekarang dan akan datang.
“Oleh itu, dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030, Kelestarian Alam Sekitar dimasukkan sebagai salah satu daripada tiga tonggak utama yang selaras dengan visi, strategi, inisiatif, projek dan dasar negeri yang akan memacu Sarawak ke arah matlamat 2030 dalam memastikan keadaan bersih dan persekitaran yang sihat untuk semua dengan mempunyai dasar dalam pengurusan hutan lestari serta penggunaan teknologi dan inovasi baharu bagi menyokong komitmen Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus pada 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Persidangan Pemuliharaan Malaysia 2022 di Hotel Imperial, semalam.
Abang Johari yang juga Menteri Asli, Sumber dan Kelestarian Alam Sekitar seterusnya berkata, Sarawak merancang untuk mengutamakan kelestarian alam sekitar dan menyelaraskan laluan pembangunannya dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Selain itu, Kerajaan Sarawak akan meneruskan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dengan menggunakan pendekatan yang bertanggungjawab ke arah pembangunan sumber aslinya.
“Sarawak juga akan membangunkan pelan induk pembangunan Bandar Pintar yang akan mempertimbangkan kelestarian alam sekitar yang berkaitan dengan pembandaran.
“Malah, Pelan Induk Bandar Pintar Kuching telah pun dibangunkan dengan mobiliti rendah karbon dan infrastruktur bandar pintar sedang dipertimbangkan untuk ibu kota,” katanya.
Tambahnya lagi, Kerajaan Sarawak berikrar dengan komitmennya dalam memastikan kelestarian alam sekitar akan menjadi sebahagian daripada teras utama inisiatif pembangunan Sarawak untuk memastikan persekitaran yang bersih dan sihat untuk semasa dan generasi akan datang.
“‘Di bawah PCDS 2030 sasaran kita adalah untuk memastikan penerusan amalan mesra alam seperti usaha penghijauan dan penguatkuasaan rangka kerja pengawalseliaan yang lebih baik untuk meningkatkan usaha pemuliharaan alam sekitar.
“Hari ini, anda mempunyai kata-kata saya bahawa Sarawak komited ke arah pemeliharaan enam juta hektar tanah sebagai hutan kekal dan satu juta hektar sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA).
“Untuk lebih meyakinkan anda, bahawa negeri ini serius dalam komitmennya untuk menggalakkan kelestarian alam sekitar, kita telah membentuk kementerian baharu di bawah Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak yang diumumkan pada 30 Disember 2021 semasa pelancaran barisan Kabinet Baharu Sarawak,” katanya.
Mengenai persidangan tersebut, Abang Johari mengalu-alukan delegari dari semennjung Malaysia dan sabah dalam persidangan tersebut dan berharap ia akan dapat memberikan input kepada penggubal dasar.
“Saya berharap bahawa dengan input yang kita dapat dalam persidangan ini kelak ia dapat menghasilkan pendekatan yang baru dan juga pendekatan yang sesuai dengan tuntutan dunia untuk kita mengimbangi pembangunan dan juga cara hidup kita yang harus berkisar kepada tuntutan alam sekeliling
“Saya dengan ini memberi sokongan kepada apa juga aktiviti yang boleh mengimbangi kedua-dua masalah yang dihadapi oleh dunia sekarang.
“Kepada semua saintis perwakilan serta pembentang kertas kerja pada hari ini, anda adalah golongan yang boleh memberi input saintifik kepada penggubal dasar supaya kita mempunyai pendekatan yang betul dari segi penggunaan tanah, pembangunan ekonomi serta apa yang penting untuk menjamin masa depan generasi kita, itulah kunci mengapa kita mesti mengadakan persidangan ini,” katanya lagi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO