MOHD Al-Jufferi Jamari
JAGUH silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari tidak mahu memikirkan pingat di Sukan SEA Vietnam 2021, sebaliknya memberi tumpuan untuk layak ke pentas final berikutan pertukaran dari Kelas Putra E (65-70kg) ke Kelas Putra F (70-75kg).
Mohd Al-Jufferi berkata pertukaran kelas tersebut disebabkan kecederaan lutut yang pernah dialaminya sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya sudah sihat sepenuhnya namun tetap perlu berhati-hati kerana kecederaan yang dialami ini adalah kecederaan jangka panjang. Untuk selarikan kekuatan dan kelajuan Kelas F ini lain kerana saya sudah terbiasa di Kelas E yang lebih kepada laju dan kekuatan. Kelas F lebih kepada berat dan kelajuannya sedikit lambat.
“Baru-baru ini di Singapura (Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara) ia agak susah (bertanding di dalam Kelas F), saya perlu memikirkan cara untuk ke final dahulu, belum lagi untuk pingat emas,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran Akademi Silat Olahraga Semboyan Warrior di sini semalam.
Sukan SEA Vietnam 2021 yang ditangguhkan sebelum ini berikutan pandemik COVID-19 dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.
Ditanya mengenai persediaannya menjelang Sukan SEA, Mohd Al-Jufferi berkata beliau bersama jaguh silat lain akan berangkat ke Langkawi, Kedah pada 29 Mac ini bagi menjalani sesi latihan selama dua minggu sebelum mengikuti gelembung sukan di bawah Majlis Sukan Negara bermula 19 April hingga temasya itu berakhir.
Mengulas mengenai penubuhan Akademi Silat Olahraga Semboyan Warrior, beliau berkata akademi yang ditubuhkan bersama Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) itu akan mula beroperasi 1 April ini.
Menurut Mohd Al-Jufferi, akademi yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh beliau menerima banyak pendaftaran pelajar namun setakat ini seramai 20 peserta telah sah menjadi pelajar.
“Di akademi ini kami telah menetapkan beberapa modul sukatan pelajaran yang dibahagikan kepada lima peringkat dan mereka yang berprestasi tinggi akan dibantu untuk bertanding di peringkat kebangsaan atau yang lebih tinggi,” katanya.
Mohd Al-Jufferi sebelum ini memenangi empat pingat emas pada Sukan SEA bermula edisi 2011 di Indonesia, Myanmar (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017), bagaimanapun edisi 2019 di Filipina beliau tidak menyertai temasya berkenaan.
Atlet itu juga pernah meraih pingat emas di Kejohanan Dunia pada 2012, 2015 dan 2016.-Bernama