HASRAT untuk Merpati Team muncul sebagai juara ‘trible’ (tiga kali berturut-turut) tidak kesampaian apabila kepada Datus United dengan jaringan 4-5 melalui penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2, petang kelmarin.
Pemain gantian Datus United, Akmal Nerawi muncul wira pasukannya apabilamenjaringkan gol pada minit ke-89, selepas pasukan mereka seakan-akan menghampiti kekalahan sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Sebelum itu, pemain sayap Datus United, Syafiq Rosbi membuka tirai jaringan pada minit ke-15, sebelum penyerang Merpati Team, Mohd Adif Salim meledak dua gol bagi pasukannya pada minit ke-65 dan 75.
Pengurus Pasukan Datus United, Awang Putrayusrie Awang Redzuan menyifatkan kejayaan pasukannya merangkul gelaran juara Liga Sri Aman bagi merebut Piala Datuk Francis Harden Hollis ini adalah berkat usaha keras pemain serta bermain dalam satu pasukan.
“Pasukan kita telah mencipta sejarah tersendiri untuk menjuarai saingan Liga Sri Aman, lebih-lebih lagi dapat ‘merebahkan’ juara dua kali berturut-turut pada aksi final semalam.
“Saingan yang begitu hebat yang diberikan oleh pasukan-pasukan terutamanya penyandang juara itu yang seakan-akan tidak mahu mengalah, dan akhirnya kami dinobatkan sebagai juara baharu bagi musim ini,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih Datus United, Sufian Ibrahim berkata impian dan harapan yang direalisasikan untuk menjadi juara telah tercapai.
“Alhamdulillah, misi untuk skuad Datus United pada musim depan adalah mempertahankan kejuaraan ini dan kita akan melengkapkan lagi skuad ini dengan lebih kuat,” tegasnya.
Kejayaan itu membolehkan Datus United membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan beserta pingat.
Manakala Merpati Team yang muncul sebagai naib juara menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 termasuk piala dan pingat.
Sementara itu, tempat ketiga milik Englant FC sekali gus menerima wang tunai RM2,000, piala dan pingat, selepas berjaya menumpaskan PC United ditempat keempat dengan hadiah wang tunai RM1,000, piala dan pingat.
Bagi anugerah pemain terbaik, penyerang Merpati Team, Mohd Adif Salim dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir, sementara penyerang profilik Datus United, Paul Sambang muncul sebagai penjaring terbanyak dengan meledak 10 gol.
Sementara itu, PC United dipilih sebagai pasukan terbaik dan pasukan Englant FC dipilih sebagai pasukan Fair Play.
Majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang telah disempurnaakan oleh Presiden Persatuan Bola sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Datuk Francis Harden Hollis.
Hadir sama Timbalan Presiden FASA Abdillah Majid, Naib Presiden Persatuan Bola sepak Sarawak (FAS) Razak Salleh serta barisan exco kedua-dua badan induk berkenaan.