OBSES tanam cili. Itu telah mengangkat nama pemilik Kina Karar Agrofarm iaitu Kansar Karar menjadi penerima Anugerah Ketua Menteri Bagi Tokoh Usahawan Wanita Sarawak 2020.
Kansar berkecimpung dalam bidang pertanian pada 2013 yang mana pada mulanya menanam tembikai batu.
Oleh kerana minat dan melihat tanaman cili membawa lebih keuntungan, dia akhirnya mengambil keputusan untuk mengusahakan tanaman cili secara fertigasi pada 2015.
“Cili amat diperlukan dalam kita menjalani kehidupan seharian. Jadi, tidak hairanlah tanaman cili membawa lebih keuntungan.
“Pada mulanya, saya hanya mempunyai 2, 000 polibeg (beg semaian) dan kini, ladang saya mempunyai lebih 3, 000 polibeg cili fertigasi,” katanya.
Di ladang ini juga, terdapat bilik untuk memproses cili. Cili jeruk dan sos cili ini akan dijual ke pasar raya berdekatan.
“Tanam cili sangat mudah. Kalau tanam buah-buahan lain, banyak proses yang perlu dilakukan. Benih cili di ladang saya adalah dari Jepun.
“Setiap hari, sebanyak lima hingga 10 kilogram (kg) cili yang berjaya dituai,” ujarnya.
Jelasnya, untuk sebulan, sebanyak tiga hingga empat kali cili jeruk dan sos cili akan diproses di ladang berkenaan.
“Sebanyak 10, 000 botol cili jeruk dan sos cili pelbagai perisa akan diproses dalam masa sebulan.
“Antara perisa cili yang kami proses ialah serbuk cili padi, sos cili hijau, sos cili merah, sos cili padi hijau, sos cili padi merah, sos pencicah cili padi perisa lada hitam dan sos pencicah cili padi perisa lada putih.
“Sos cili yang kami hasilkan adalah 90 peratus dari cili sebenar dan hanya 10 peratus tambahan bahan-bahan lain. Ini yang menjadikan sos cili keluaran ladang kami berbeza dari ladang lain,” tambahnya.
Ditanya apakah jenis baja yang digunakan olehnya untuk menjamin kualiti cili, dia memberitahu bahawa pertanian moden miliknya menggunakan teknologi rumah hijau dan tidak menggunakan sebarang racun serangga.
“Baja yang saya pakai ialah baja keluaran ladang saya sendiri iaitu Kina Karar Fertilizer. Kesemua cili ini hanya mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk membesar,” katanya.
Berkongsi mengenai cabaran tanaman cili fertigasi ini katanya, ia memerlukan penjagaan teliti dan ilmu pengetahuan tentang sistem penanam itu sendiri.
Oleh NUR AIN OTSMAN