ANTARA ahli kelab Bounce Luxury Malaysia di Sarawak yang sering menyertai pameran kenderaan automotif di sekitar Sarawak.
GARA-GARA didorong minat dan kepuasan, seseorang sanggup melakukan pelbagai ubah suai terhadap kenderaan kesayangannya. Mereka ini juga sanggup berhabis duit agar gaya idaman menjadi kenyataan.
Namun biasanya kita lihat lelaki yang akan lakukan ubah suai kereta bukan perempuan. Tapi kata orang, hobi itu milik semua orang justeru tak hairanlah jika sekarang ini wanita juga mampu untuk mempunyai hobi sebegitu.
INSPIRASI KAWAN-KAWAN
Bertugas sebagai pembantu di salah sebuah taman didikan kanak-kanak (TADIKA) di Kuching, Refidah Mohamad, 27, berkata, hobinya itu bermula sekitar dua tahun lepas inspirasi daripada kawan-kawannya.
Malah, sejak membeli kereta pertama, tumpuan Refidah adalah meningkatkan prestasi badan kereta selain mencantikkan kenderaan sesuai keinginannya untuk keselesaan, pengendalian dan kepuasan yang lebih baik.
“Bagi saya, hobi sebegini adalah salah satu ‘hobi sihat’ kerana pelbagai manfaat dapat diperoleh misalnya mendapat kenalan baharu, mempelajari kemahiran pengubahsuaian kenderaan, mempelajari cara penjagaan kenderaan dan sebagainya daripada rakan-rakan,” katanya kepada Utusan Sarawak.
HOBI TIDAK MERUGIKAN
Mengulas lanjut, Refidah berkata hobi tersebut tidak merugikan bagi peminat ubahsuai kenderaan kerana apabila beberapa barangan kenderaan dijual semula, ia masih berharga terutama bagi peminat hobi yang sama.
Menghabiskan lebih RM19,000 kos pengubahsuaian kenderaannya, dia turut menyertai sebuah kelab kereta iaitu Bounce Luxury Malaysia.
Bounce Luxury Malaysia merupakan sebuah kumpulan gaya hidup automotif dan komuniti bukan organisasi yang berpusat di Kuching, bertujuan berkongsi minat dan pengetahuan terhadap tranformasi kenderaan dalam kalangan anggotanya.
“Kelab tersebut pada asalnya merupakan kelab kereta yang ditubuhkan dari Thailand dan dibawa ke Filipin sebelum melebarkan sayapnya ke Malaysia,” katanya.
UBAH SUAI BUKAN PERSAINGAN
Sementara itu Refidah berkata, pengubahsuaian bukan mengenai persaingan atau siapa yang mempunyai bahagian yang paling mahal dan sebagainya namun, ia adalah kepuasan dan keinginan masing-masing.
Menyifatkan kenderaannya seperti sebuah kanvas kosong yang menunggu untuk diwarnai dan dengan gaya tersendiri, dia percaya kaum Hawa boleh melakukan modifikasi sendiri sebagaimana yang dilakukan oleh orang lelaki.
“Ramai yang bagi komen positif dan sokong malah ada yang memberi dorongan suruh mekap lagi. Sudah tentu rasa terharu, rasa suka bila ada orang sokong apa yang kita buat.
“Sebenarnya boleh je perempuan nak mekap kereta sendiri, barang sendiri automatik jadi rajin nak jaga dan nak mekap. Jadi kepada sesiapa yang nak buat, teruskan dan yakin diri,” katanya.
Oleh SYAMIMI HUSNA