SEMANGAT … Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon bergambar bersama skuad kendaliannya sebelum berlepas ke Singapura bagi menyertai siri persahabatan Tiga Negara FAS 2022 semalam. Skuad Harimau Malaya akan memulakan saingan Siri Tiga-Negara FAS menentang Filipina pada Rabu dan skuad tuan rumah (26 Mac) pada aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1. Pasukan bimbingan Pan Gon akan menamatkan siri perlawanan persahabatan di Singapura yang juga persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun, dengan bertemu kelab tempatan Albirex Niigata FC pada 28 Mac ini. • Foto BERNAMA
MENGHADAPI tugasan pertama di bawah barisan kejurulatihan baharu, skuad Harimau Malaya akan dinilai secara menyeluruh dalam perlawanan persahabatan menentang Filipina dan Singapura dalam Siri Tiga-Negara FAS 2022, bermula hari ini.
Ketua jurulatih Kim Pan Gon berkata pihaknya bukan sahaja mahu menganalisis sejauh mana pemain telah menyesuaikan diri dengan strategi taktikal, tetapi fokus juga diberikan kepada aspek kerjasama berpasukan, pelaksanaan strategi permainan dan mengembalikan keyakinan mereka selepas kekalahan dalam Kejuaraan Piala AFF 2020 hujung tahun lepas.
“Kami tidak sabar menunggu hasilnya, penilaian ini sangat berguna untuk saya, terutama mengenai pemain. Setakat ini ketika latihan selama lapan hari lalu mereka sangat bagus, kami mahu melihat bagaimana mereka menterjemahkan (latihan ini) dalam perlawanan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sebelum berlepas ke Singapura.
Pasukan negara akan memulakan perlawanan Siri Tiga-Negara FAS bertemu Filipina esok (23 Mac) dan tuan rumah pada Sabtu (26 Mac) di Stadium Nasional Singapura, selain akan bermain menentang kelab tempatan Albirex Niigata FC pada 28 Mac, sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 Jun ini.
Pan Gon, yang gembira dan berpuas hati dengan komitmen dan penerimaan anak buahnya terhadap barisan kejurulatihan baharu selepas menerima maklum balas mereka, yakin skuad itu akan memberi aksi yang mantap di Singapura.
Bagaimanapun, warga Korea Selatan berumur 52 tahun itu, memohon semua pihak agar bersabar dengan proses yang masih berjalan dan tidak mengharapkan hasil serta merta, memandangkan para pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan strategi taktikal dan permainan yang baharu.
“Latihan dan permainan sebenar sangat berbeza. Saya dapat lihat kualiti mereka tetapi kita perlu bersabar, pemain bukan mesin, mereka manusia. Mereka juga perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan maklumat baharu,” katanya dan menambah akan membimbing para pemain dengan sabar dan menghabiskan lebih banyak masa dengan mereka.
Beliau turut memilih empat kapten iaitu penjaga gol Mohd Farizal Marlias, pemain pertahanan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, pemain tengah Safiq Rahim dan penyerang Muhammad Syafiq Ahmad.
“Kami cuba untuk memilih kapten yang berpengalaman, dalam pertengahan umur, malah dari posisi berbeza. Semalam saya telah bermesyuarat bersama mereka, saya hargai prestasi mereka dan mereka menunjukkan kepimpinan yang baik, tetapi kapten untuk (perlawanan) esok akan dipilih berdasarkan siapa yang akan diturunkan dan yang bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata persatuan itu akan mengumumkan keputusannya terhadap pemain pertahanan Sabah FC Mohd Rizal Mohd Ghazali, yang gagal melaporkan diri di kem latihan pusat skuad kebangsaan pada 14 Mac lepas, selain menasihati pemain lain yang mempunyai sebarang masalah supaya berbincang dengan pihak pengurusan.
Mohd Rizal berdepan tindakan penggantungan bermain dalam liga domestik selain denda RM25,000, kerana menolak panggilan skuad kebangsaan. – Bernama