GAMBAR kenangan pelajar yang terlibat menjayakan KK Kuching Students Open Day.
Kolej Komuniti Kuching Students Open Day merupakan sebuah platform yang dapat digunakan untuk menyerlahkan bakat serta potensi pelajar-pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian (SFP) sebagai pereka fesyen muda tempatan.
Menurut Timbalan Pengarah Akademik, Kolej Komuniti Kuching (KKKg) Mervin Gumba anak Sigai, program tersebut dijalankan dengan kerjasama Tiara Management dan CityOne Megamall untuk membantu pelajar meningkatkan keyakinan diri dalam menjalankan kolaborasi bersama pihak industri.
Beliau berkata “bermula 14 Mac yang lepas pelbagai aktiviti telah dijalankan di ruang legar CityOne Megamall ini iaitu pameran program pengajian yang ditawarkan di KKKg iaitu Sijil Fesyen dan Pakaian dan Sijil Teknologi Senibina, pendaftaran pelajar baru dan kursus-kursus pendek”.
Mervin turut menambah, “antara kursus pendek yang telah dan sedang berlangsung adalah kursus menghias biskut dan brownies, penghasilan pelbagai aksesori, mewarna batik, dan sebagainya. Kursus pendek ini terbuka kepada semua pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dengan kos yang amat berpatutan.”
Pada hari ini merupakan kemuncak acara bagi program yang telah dijalankan selama hampir seminggu iaitu Persembahan Fesyen (Fashion Show) untuk mempersembahkan hasil rekaan para pelajar SFP di pentas peragaan.
Beliau turut berkata “sebanyak 13 rekaan yang diperagakan adalah terdiri dari koleksi hasil kerja pelajar SFP. Penghasilan rekaan ini juga merupakan manifestasi terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilalui oleh pelajar selama 3 semester pengajian hasil bimbingan oleh pensyarah dalam bidang fesyen dan pakaian, sekaligus berjaya dipersembahkan di pentas peragaan”.
Mervin juga melahirkan rasa bangga dan terharu dengan kejayaan para pelajar KKKg untuk membuktikan keupayaan diri dalam merealisasikan serta menjayakan acara ini. Oleh kerana itu, pereka fesyen tempatan yang terkenal iaitu Neng Kho dijemput untuk bersama menyaksikan acara kemuncak ini bagi menyuntik semangat dan inspirasi kepada pelajar agar mereka berusaha bersungguh-sungguh menjadi pereka fesyen tempatan yang berjaya sekaligus menaikkan industri fesyen di negeri ini.
Selain itu, menurut Pengarah Program, Laila Najwa binti Yahaya, ”penglibatan pelajar secara langsung dalam menguruskan acara dapat memberikan pendedahan kepada pelajar merasai sendiri pengalaman melaksanakan program di luar kolej”.
”Pendedahan sebegini amat penting bagi memenuhi salah satu aspek dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu Bekerjasama dengan Ibubapa, Komuniti dan Sektor Swasta Secara Meluas di mana mereka perlu berkomunikasi dan berkolaborasi dengan agensi luar. Selain itu, program KK Kuching Students Open Day juga merupakan salah satu ruang untuk memperkenalkan peluang pengajian sepenuh masa dan pembelajaran sepanjang hayat yang ditawarkan oleh KKKg kepada masyarakat umum khususnya di Sarawak,” katanya.
Turut hadir, Pereka Fesyen, Neng Kho Razali, Ketua Program Sijil Fesyen dan Pakaian, Encik Nur Hakim bin Raifli, Ketua Program Sijil Teknologi Senibina Puan Esuryati binti Kamarudin dan Pegawai Pembangunan Pelajar, Puan Elfy Fariza binti Sharkawi.