MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Sambutan Hari Penjara Ke-232 di Maktab Penjara Kajang semalam. Turut serta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ahmad Dahlan Abdul Aziz (kiri) dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhamad (kanan).
• Foto BERNAMA
KAJANG: Seramai 10,000 banduan yang layak akan menjalani program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni, sebagai usaha mengekang kesesakan dalam penjara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, menerusi program tersebut, dijangkakan 80 peratus daripada banduan berkenaan akan ditempatkan dalam industri sekali gus dapat mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing
“Saya amat yakin sasaran itu akan dapat dicapai berdasarkan pencapaian melebihi 7,000 banduan menjalani Pemulihan Dalam Komuniti pada tahun lepas.
“Melalui program ini juga, kerajaan mampu menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta setahun,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-232 di Maktab Penjara Kajang di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhammad.
Menurut Hamzah, program yang memberi peluang kepada banduan untuk berada dalam komuniti itu, didapati berjaya dengan 99.63 peratus daripada mereka tidak lagi mengulangi kesilapan atau kembali semula ke penjara.
Sementara itu, mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perintah Kehadiran Wajib (Pindaan) 2021 yang dijadual untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat, beliau berkata RUU tersebut jika diluluskan akan membolehkan mahkamah memerintahkan hukuman alternatif pemenjaraan dengan mengambil kira kesalahan pesalah.
“Pesalah bukan sahaja boleh dipulihkan melalui kerjasama kerajaan dan komuniti, malah mampu untuk meneruskan kehidupan dan pada masa sama menjalani hukuman dalam komuniti yang akan diselia oleh pegawai Jabatan Penjara.
“Berdasarkan statistik, seramai 6,744 pesalah menjalani Perintah Kehadiran Wajib dengan kadar pematuhan melebihi 96 peratus sejak 2010 sehingga kini,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah berkata kerajaan akan terus meningkatkan keupayaan sumber manusia Jabatan Penjara bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan dapat dilaksana dengan berkesan, serta memperluaskan Pejabat Parol Daerah kepada 100 berbanding 52 pada masa ini.
“Sebanyak 347 pegawai dan anggota penjara perjawatan baharu telah diluluskan bagi meningkatkan keupayaan jabatan dalam melaksanakan Pemulihan Dalam Komuniti,” katanya. – Bernama