PENDUDUK New Zealand bakal menikmati tambang pengangkutan awam yang lebih murah.• Foto AFP
WELLINGTON: New Zealand mengurangkan separuh tambang pengangkutan awam bagi meringankan beban penduduknya akibat kenaikan harga petrol yang mendadak.
Lapor AFP, harga bahan api melambung tinggi berikutan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.
Perdana Menteri, Jacinda Ardern mengumumkan negara itu akan memotong tambang pengangkutan awam sebanyak 50 peratus ketika kerajaan bertungkus-lumus cuba mengurangkan kenaikan mendadak dalam kos sara hidup.
Kerajaan juga memotong duti eksais petrol dan cukai pengguna jalan raya sebanyak 25c (70 sen) seliter.
“Dalam jangka panjang, kami perlu membina daya tahan lebih besar dalam sistem pengangkutan agar kurang terdedah kepada lonjakan harga petrol.
“Namun, buat masa ini, dengan mengurangkan separuh kos pengangkutan awam, ia akan membantu rakyat menawarkan alternatif untuk mengisi tangki petrol kereta mereka,” kata Ardern.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Grant Robertson berkata, perubahan itu akan berkuatkuasa selama tiga bulan dan kemudian disemak semula.
“Krisis tenaga global meruncing dalam tempoh yang sangat cepat.
“Kita tidak boleh mengawal konflik di Ukraine mahupun harga bahan api yang turun naik secara berterusan.
“Namun, kita boleh mengambil langkah untuk mengurangkan kesan itu terhadap rakyat New Zealand,” ujarnya.
Harga petrol di New Zealand kini melebihi AS$2 (RM8.41) seliter dan meningkat secara mendadak sejak beberapa minggu kebelakangan ini.-AFP