UNGKAPAN kerja berpasukan teramat lazim diperkatakan, khususnya apabila melibata penyelesaian sesuatu tugasan oleh sekumpulan manusia di bawah sesuatu entiti atau institusi. Kerja berpasukan berupa usaha kolaboratif untuk mencapai matlamat bersama atau menyelesaikan apa-apa juga tugasan secara berkesan dan efisien. Konsep ini diterapkan dalam kerangka satu pasukan, iaitu kumpulan individu yang saling bergantung untuk melaksanakan sesuatu tugasan ke arah pencapaian suatu matlamat atau misi.
Antara ciri utama sebuah pasukan termasuklah matlamat bersama, saling bergantung, kesepaduan dan kestabilan, keupayaan menangani tugasan masing-masing serta proses dalaman, serta mampu beroperasi dalam sistem sosial yang lebih besar. Kriteria asas bagi menjalin kerjasama berpasukan adalah saiz kumpulan yang bersesuaian. Konteks ini amat penting dan saiz kumpulan berbeza-beza, bergantung pada matlamat yang ditetapkan. Sesuatu pasukan atau kumpulan sekurang-kurangnya mengandungi dua orang ahli, dan mampu mencecah sehingga seratus ke atas bilangan.
Sesebuah kumpulan harus mampu melakukan penyeimbangan sumber untuk menjadi produktif, di samping memastikan penetapan bidang tugas setiap ahli agar kejelasan peranan masing-masing mampu difahami. Kerja berpasukan amat penting bagi memastikan, bukan sahaja misi atau matlamat yang disasarkan dapat dizahirkan dengan jayanya, malah mewujudkan suatu iklim kerja yang selesa, harmoni, mesra di samping memupuk semangat kesetiakawanan yang erat.
Memahami nilai atau kepentingan kerja berpasukan mampu membantu bahagian sumber manusia menyarankan beberapa cadangan yang membabitkan isu dasar, daripada latihan, pembangunan hinggalah budaya di tempat kerja. Hal sedemikian amat penting bagi menjamin kejayaan sesebuah organisasi. Antara kepentingan atau manfaat yang diperoleh melalui penerapan budaya kerja berpasukan termasuklah kefisienan pelaksanaan tugasan, pemantauan kendiri, membentuk sikap inovatif, perkongsian ilmu pengetahuan atau kemahiran, menggalakkan persaingan sihat serta mempererat kesetiakawanan dalam pasukan.
Teras utama revolusi perindustrian, yang berupa asas perindustrian era moden, adalah pembahagian tenaga kerja atau division of labour. Dalam erti kata lain, pembentukan pasukan untuk mengendalikan tugasan khusus berdasarkan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu. Bagi membolehkan sesuatu kerja yang sukar menjadi lebih mudah, aspek kerjasama secara berpasukan dalam pelaksanaan tugasan bagi mempercepat proses penyiapan atau pencapaian hasil, berupa langkah yang wajar. Di samping hal sedemikian itu, budaya sedemikian membolehkan pembinaan, peningkatan serta pengembangan kemahiran. Ekoran daripada itu, menghasilkan kerja yang lebih efisien, meningkatkan produktiviti serta keuntungan, mengurangkan kos di samping pelbagai manfaat lain.
Dalam pelaksanaan kerja secara bersendirian, tidak dapat disangsikan bahawa seseorang mempunyai autonomi mutlak. Namun, sekira berlakunya kelewatan atau ketidakefisienan semasa melaksanakan tugasan, tidak wujud aspek pemantauan secara berkesan. Dalam konteks kerangka kerja berpasukan, aspek pemantauan mampu dilakukan dalam situasi setiap ahli bertanggungjawab untuk menasihati, mendorong serta membantu rakan sekerja lain yang “bermasalah”, tanpa memerlukan campur tangan pihak pengurusan atau atasan.
Dalam pendepanan sesuatu masalah atau kerumitan, pada kelazimannya, akan “lahir” pelbagai kaedah penyelesaiannya. Dengan adanya ramai ahli, sudah pasti akan banyak cadangan diutarakan, lantas membuka ruang yang lebih luas untuk memilih kaedah yang pragmatik dan berkesan. Secara tidak langsung, hal sedemikian membuka ruang serta peluang bagi setiap ahli untuk berfikir secara kreatif dan inovatif. Hal yang sedemikian turut mewujudkan proses pembelajaran dalam kalangan ahli pasukan, suatu aspek penjimatan kos, bagi pihak pengurusan sudah tentunya, dari segi penganjuran bengkel atau kursus pemantapan kemahiran.
Pencapaian kejayaan dalam sesuatu tugasan bergantung pada prestasi dan usaha bersama dan nikmat kejayaan berkenaan dikecapi bersama. Pun demikian juga halnya andai berlakunya kegagalan. Kebertanggungjawaban terletak kepada bahu setiap daripada kalangan ahli. Kesedaran akan hakikat sedemikian akan mewujudkan jalinan kerjasama yang erat dalam kalangan ahli pasukan. Akan terbentuk suatu sistem komunikasi yang berkesan, jalinan kerjasama serta sokongan yang padu, serta semangat esprit de corps yang lebih padu.
Berlandaskan hal yang dinyatakan, pembudayaan kerjasama berpasukan amat wajar diterapkan dalam apa-apa juga ranah mahupun bidang yang diceburi. Budaya yang bukan sahaja mampu menghasilkan suatu pencapaian yang membanggakan, akan tetapi menjalinkan satu kerjasama padu yang berupa elemen atau nilai tambah penting bagi sesebuah organisasi mahupun pertubuhan, sama ada dalam sektor awam, swasta mahupun badan-badan bukan kerajaab. Namun, persoalan yang sering menghantui fikiran adalah sejauh manakah budaya sedemikian mampu diterapkan sepenuhnya tanpa wujudnya sikap prejudis atau penyelitan elemen negatif?
Melihat akan manfaat yang mampu dihadirkan oleh budaya kerja berpasukan, amalan berkenaan sememangnya menjadi hasrat mana-mana juga pihak pengurusan bagi membuahkan suatu hasil yang berkualiti, khususnya dalam konteks peningkatan produktiviti yang akan membawa kepada penjanaan keuntungan yang berlipat ganda. Secara luaran atau teorinya, cetakan biru kerja berpasukan membentangkan kaedah atau tatacara praktikal yang mampu untuk dilaksanakan. Namun demikian, melihat akan aspek kemanusiaan, tidak dapat disingkirkan hakikat penerapannya tidak pasti dapat dilaksanakan secara berkesan. Akan terbit sedikit sebanyak masalah yang, jika tanpa pemantauan serta campur tangan pihak pengurusan, akan menggagalkan penzahirannya. Perkara utama yang perlu diambil perhatian khusus dalam proses pemantauan dan campur tangan ini adalah, pihak pengurusan wajar bersikap telus, profesional dan tidak prejudis.
Aspek kemanusiaan, tidak dapat tidak, adalah berupa penyumbang primer kepada kegagalan penerapan budaya kerja berpasukan. Latar belakang yang berbeza sudah pastinya menghadirkan pola pemikiran serta perlakuan yang berlainan. Unsur positif dan negatif berselirat dalam tenunan peribadi, lantas menghadirkan pelbagai persepsi dan reaksi. Jarang-jarang sekali akan wujud keselarasan dan persamaan total. Hakikat sedemikian lumrah dalam pendepanan tabii manusia.
Cabaran utama dalam kerangka kerja berpasukan adalah penyingkiran nilai negativiti. Untuk menemukan satu persamaan yang mampu memadankan susun suai gambar (jigsaw puzzle) bagi menghasilkan imej pasukan yang “cantik dan menarik” menuntut pendekatan yang teliti serta berhemah. Ciri yang acap kali menjadi permasalahan adalah dari segi penentuan “ketua” untuk menakhodai atau menerajui kumpulan berkenaan. Dimaklumi bahawa dalam situasi atau kedudukan yang melibatkan “pewakilan kuasa”, sering berlaku “pengaburan mata taakul dan rasional”. Kuasa sering ditakrifkan sebagai hak mutlak yang “mentransformasikan” penanggungjawabnya menjadi individu bersikap autokratik dan authoritarian. Tidak akan wujud “ruang berteduh” bagi nilai budi bicara. Apa-apa yang ditentukan adalah bersifat muktamad. Hakikat sedemikian ini memang berlaku dan tidak dapat dinafikan.
Situasi berkenaan akan menjadi lebih buruk seandainya wujud individu lain dalam kumpulan yang cuba “menangguk di air keruh”. Tambah parah lagi sekiranya pihak pengurusan seakan-akan “merestui” sama ada apa-apa keputusan yang dicapai, mahupun tindakan yang diambil oleh “ketua” berkenaan tanpa menilai serta memberikan pertimbangan wajar berlandaskan semangat “keterbukaan”. Jarang-jarang sekali terkesan usaha penimbangtaraan adil dengan mendengar pendapat daripada pelbagai pihak sebelum penilaian dibuat dan keputusan diambil. Kesan ketara daripada rentetan peristiwa ini sudah pastinya kerapuhan semangat kerja berpasukan yang akan membawa kepada situasi “huru-hara” dan akhirnya, kegagalan pencapaian matlamat yang disasarkan.
Natijah daripada apa-apa yang diutarakan, kerja berpasukan sememangnya amalan budaya kerja yang muluk sekiranya dilaksanakan secara berhemah, adil, berbudi bicara serta terbuka minda. Sebaliknya, jika wujud nilai negativiti, waima sekecil mana sekalipun, budaya sedemikian berupa elemen surealistik dalam kerangka pengurusan sesebuah entiti.
Lindungi diri, lindung bangsa, lindungi negara!