S E R ANGAN… Gambar menunjukkan asap tebal selepas beberapa letupan yang menggegarkan Kiev, Ukraine pada awal Rabu lalu. • Foto AFP
OTTAWA: Seramai 97 kanak-kanak Ukraine meninggal dunia sejak permulaan pencerobohan Rusia, kata Presiden Volodymyr Zelensky dalam ucapannya di Parlimen Kanada, merayu sekali lagi agar sekutu memperluaskan sokongan mereka untuk Kiev pada Selasa lalu.
Dalam ucapan video itu, pemimpin Ukraine itu menuduh tentera Rusia memusnahkan segala-galanya: kompleks peringatan, sekolah, hospital, kompleks perumahan.
“Mereka sudah membunuh 97 kanak-kanak Ukraine.
“Kami tidak meminta banyak. Kami meminta keadilan, untuk sokongan sebenar yang akan membantu kami untuk menang, untuk mempertahankan (diri kami), untuk menyelamatkan nyawa,” katanya yang menerima tepukan gemuruh daripada penggubal undang-undang.
Sebelum ini, Perdana Menteri Justin Trudeau mengumumkan sekatan terhadap 15 lagi pegawai Rusia, termasuk pegawai elit kerajaan dan tentera yang terlibat dalam perang itu.
Tindakan itu menjadikan jumlah individu dan entiti Belarus, Rusia dan Ukraine yang disekat oleh Ottawa sejak permulaan perang bulan lalu kepada hampir 500 orang.
“Pengabaian terang-terangan Vladimir Putin terhadap kehidupan manusia tidak boleh diterima,” kata pemimpin Kanada itu sambil memuji Zelensky sebagai inspirasi.
“Demokrasi di seluruh dunia bertuah kerana mempunyai anda sebagai juara kami,” katanya sambil berikrar bahawa Ukraine boleh bergantung pada sokongan Kanada yang tidak berbelah bahagi dan teguh.
Zelensky berterima kasih kepada Kanada atas sekatan serta peralatan ketenteraan dan bantuan kemanusiaan.
‘Tetapi, malangnya ini tidak menamatkan perang. Kita semua perlu melakukan lebih banyak lagi untuk menghentikan Rusia, untuk melindungi Ukraine.” ujar Zelensky. -AFP