ACAP kali ungkapan ini terngiang di telinga, terutamanya dalam usaha penerapan budaya berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat. Sepenuhnya, peribahasa lama ini berbunyi, “orang berbudi, kita berbahasa; orang memberi, kita merasa”. Andai dibuat rujukan, peribahasa berkenaan, antara lainnya, membawa pengertian, “kebaikan yang dihulurkan kepada kita haruslah dibalas kebaikan juga” atau secara tuntasnya apa-apa juga pemberian atau perbuatan baik yang dihulurkan seseorang sewajarnya dibalas balik, sama ada dengan pemberian mahupun perbuatan baik juga.
Dalam budaya masyarakat majmuk era kini, landskap kemasyarakatan atau kehidupan bermasyarakat tidak lagi dikelompokkan mengikut ras atau bangsa, budaya serta agama. Kebanyakan taman perumahan, sama ada yang membangun secara horizontal atau melebar, mahupun secara vertikal atau menaik, komposisi penghuninya memperlihatkan kepelbagaian dari segi kaum. Amalan “pecah dan perintah” seperti yang diamalkan oleh penjajah dalam konteks pengasingan penempatan berdasarkan kaum, jarang-jarang lagi terkesan, khususnya di bandar-bandar raya serta kota-kota metropolitan dan megapolitan.
Situasi kehidupan sebegini sudah tentunya menuntut kesefahaman, di samping penaakulan mendalam tentang konsep “memberi dan menerima” atau give and take. Andai dilihat secara luarannya, konsep berkenaan difahami, akan tetapi dari segi kedalamannya, masih agak goyah dan bersifat superfisial. Amalan yang bukan sekadar terpakai dalam konteks kemasyarakatan, akan tetapi turut menerjah ke ruang lingkup profesion dan siasah. Dengan erti kata lain, cara hidup secara holistiknya. Hal sedemikianlah yang jarang-jarang terpancar.
Lantas apabila dilontarkan peribahasa berkenaan, kecenderungannya menjurus pada “pemberian” dalam bentuk material atau sesuatu yang nampak. Misalnya, jiran yang menghulurkan pemberian seperti makanan atau buah-buahan, akan dibalas dengan pemberian yang serupa, tetapi berbeza dari segi cara penyediaannya atau resipinya mahupun jenisnya. Benarkah sedemikian tafsiran yang tersirat? Atau wujudkah “pemberian” dalam bentuk yang tidak nampak, seperti pertolongan, perkhidmatan dan sebagainya? Adakah bentuk sebegini dianggap sebagai tanggungjawab sosial yang tidak “mengabsahkannya” untuk dikategorikan sebagai sesuatu perbuatan atau tindakan “berbahasa” seperti yang dinyatakan dalam peribahasa berkenaan?
Untuk melihat dengan lebih mendalam hal sedemikian memerlukan perungkaian maksud tersurat dan tersirat peribahasa tersebut. Perungkaian yang menuntut penaakulan pengertian konsep “berbudi” dan “berbahasa”, di samping “memberi” dan “merasa” (merasai). Andai dirujuk Kamus Dewan edisi keempat kata “berbudi” membawa maksud “berakal, bijaksana; berkelakuan baik, sopan; dan baik hati, pemurah” manakala “berbahasa” pula ditakrifkan sebagai “mempunyai bahasa, memakai (menggunakan) bahasa, bercakap dalam sesuatu bahasa; dan mempunyai budi bahasa yang baik, berbudi bahasa”.
Dalam konteks peribahasa ini berbudi lebih merujuk kepada takrifan “berkelakuan baik, sopan, baik hati dan pemurah” bagi istilah “berbahasa” manakala bagi istilah “berbudi” lebih mengkhusus kepada maksud “mempunyai budi bahasa yanga baik atau berbudi bahasa”. Lantaran hal sedmikian itu, secara tuntasnya, apabila seseorang itu berkelakuan baik, bersopan, baik hati dan pemurah terhadap kita, sikap berbudi bahasa harus turut ditampilkan sebagai penterjemahan kesantunan dalam konteks hubungan dua hala.
Bagi istilah “memberi” lebih menjurus kepada perbuatan “menyampaikan sesuatu kepada seseorang (untuk disimpan, digunakan atau untuk sesuatu keperluan)” manakala “merasa” (merasai) pula menjurus kepada maksud “mengecapi atau menikmati”. Lantaran dalam konteks ini, apabila seseorang “menyampaikan atau menyerahkan” sesuatu sebagai pemberian, kita akan dapat menikmati atau mengecapi suatu nikmat kepuasan daripada pemberian berkenaan.
Melihat secara luaran, memang bertepatan akan contoh seperti yang dinyatakan pada awal makalah ini. Namun, jika dilihat secara lebih meluas, bentuk “pemberian” sebenarnya tidak terhad kepada sesuatu yang berbentuk material atau boleh dilihat semata-mata, akan tetapi lebih luas daripada itu. Pemberian yang berbentuk bantuan, sokongan, nasihat, perkhidmatan, yang sama ada menerbitkan rasa kepuasan, ketenangan, mahupun memudahkan atau menyelesaikan apa-apa juga urusan atau masalah. Oleh hal yang sedemikian, apa-apa bentuk “pemberian” secara ikhlas, sukarela serta tidak mengharapkan apa-apa balasan, wajar “disambut” atau “diterima” setidak-tidaknya dengan ucapan “terima kasih”. Usah pula, air susu dibalas dengan air tuba.