DATO Sri Fatimah semasa merasmikan Seminar Perkongsian Awam: Era Transformasi Digital Kesedaran Terhadap Literasi Digital Dan Keterangkuman Bersama Bagi Golongan OKU Penglihatan.
Tiada yang ingin dilahirkan tanpa mampu melihat tetapi jika takdir sudah sedemikian, semuanya harus diterima dengan reda. Namun kekurangan itu bukanlah halangan untuk menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain.
Tambahan lagi, pada zaman serba moden ini, pelbagai aplikasi dan kemudahan sudah disediakan bagi memudahkan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan untuk berinteraksi atau menjalani kehidupan bermasyarakat.
Justeru sekarang ini bukanlah perkara baharu jika OKU penglihatan boleh menggunakan telefon untuk menghantar dan menerima mesej, bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi tanpa bantuan orang lain, mengetahui perkembangan dunia sekeliling dan dunia luar serta berbagai lagi.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kebanyakan golongan OKU penglihatan mempunyai tahap pendidikan tinggi dalam pelbagai bidang. Di dalam ketidakupayaan itu, ramai OKU penglihatan yang mampu menyerlah di dalam banyak bidang, malah keupayaan mereka kadang-kadang lebih daripada orang normal yang lain.
“Dengan teknologi, OKU sekarang mendapat kemahiran terutama sekali kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) Tiga langkah pertama ini penting untuk memperkasakan OKU kerana melaluinya mereka memperolehi kemahiran,” kata beliau.
Di Sarawak, setakat 28 Februari 2022, terdapat seramai 4,828 OKU penglihatan yang direkodkan, daripada 42,225 OKU yang berdaftar secara keseluruhan.
Namun kata beliau, masalah penglihatan itu menyebabkan mereka berhadapan kekangan seperti kesukaran mendapat pekerjaan setaraf kelayakan, halangan sistem/aplikasi untuk akses maklumat/kemudahan, kekangan komunikasi, terdedah kepada scammer dan hacker, halangan persekitaran/fasiliti serta persepsi masyarakat terhadap keupayaan OKU penglihatan.
Justeru usaha untuk memperkasakan OKU penglihatan atau OKU lain secara keseluruhan, perlulah dipertingkatkan. Satu daripada aspek yang perlu diberi penekanan adalalah kemahiran dan latihan pendidikan agar OKU boleh menjana pendapatan sendiri dan berdikari.
Oleh yang demikian, OKU perlu mempunyai akses kepada pendidikan dengan mudah seperti sekolah khas atau sekolah integrasi. Malah sokongan masyarakat juga memainkan peranan penting untuk memastikan OKU mampu menguasai ilmu dan kemahiran dengan mudah.
“Saya tidak pasti sekarang ini masih wujud atau tidak sukarelawan yang membantu OKU di universiti. Semasa saya di universiti, ada sukarelawan yang membantu OKU penglihatan dengan membaca buku –buku atau jurnal yang disarankan oleh pensyarah,” kata beliau.
Selain akses kepada pendidikan, Fatimah juga berkata OKU juga harus mempunyai akses mudah dari segi pergerakan, pengangkutan, sosio ekononomi, kesihatan, perbankan, perkhidmatan sosial dan banyak lagi.
Menyedari masalah yang dihadapi oleh OKU penglihatan ini, Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak (SSB) Cawangan Kuching, kolaboratif bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan Pustaka Negeri Sarawak baru-baru ini telah mengorak langkah menganjurkan Seminar Perkongsian Awam: Era Transformasi Digital; Kesedaran Terhadap Literasi Digital Dan Keterangkuman Bersama, Bagi Golongan OKU Penglihatan.
Matlamat utamanya adalah untuk memupuk kesedaran dan mewujudkan hubungan secara inklusif di antara golongan OKU penglihatan serta masyarakat awam, terutamanya bakal majikan-majikan dari pelbagai sektor serta meningkatkan kesedaran awam terhadap usaha-usaha SSB dan rakan-rakan strategik dalam pembangunan kapasiti bagi golongan OKU penglihatan di Sarawak.,
Selain itu, ia juga diharap dapat mengubah persepsi masyarakat awam terhadap golongan OKU penglihatan agar golongan ini tidak dilihat sebagai golongan yang kurang berkeupayaan sebaliknya mempunyai pelbagai keupayaan, khususnya dalam bidang kemahiran dan ilmu pengetahuan digital serta menggalakkan pihak kerajaan mengadakan polisi-polisi yang boleh membantu majikan-majikan pelbagai sektor untuk menyediakan kesaksamaan peluang dari segi kebolehpasaran golongan OKU penglihatan, sekaligus meningkatkan peluang pekerjaan golongan ini; supaya faedah ekonomi negeri dapat dikongsi Bersama.
Oleh HAINI DARANI