(“Bangsa yang ingin kita bangunkan ini, menyusun semula batu bata keyakinan diri, setelah sekian lama berkecai di gurun kealpaan, menganyam semula tali-temali nilai dan jati diri, setelah kehilangan rupa dan bentuk di laman penjajahan, mendirikan semula tiang-tiang iman dan takwa, setelah berabad terpenjara jasad dan akal mindanya, terperangkap rohani dan jasmani di lembah kejahilan, perlu mempelajari semula cita-cita dan merangka gagasan tinggi, perlu mentafsir semula khazanah ilmu dari taman besar dunia, perlu membaca dan memahami semula makna setiap sabda para nabi, perlu menghayati kembali setiap kalimah dan wahyu suci Ilahi.
Bangsa yang ingin kita bangunkan semula ini, biarlah jangan diukur kerana mimpi-mimpi yang mengasyikkan, biar jangan disanjung kerana kehebatan janji-janji manis yang melemaskan, biar jangan diteladani kerana kecemerlangan budaya hibur yang melalaikan.
Kita perlu bangunkan semula bangsa ini, bertapakkan keinsafan akan makna tanggungjawab peribadi kepada pencipta, berasaskan kesedaran akan maksud keimanan dan takwa yang suci, bertunjangkan kefahaman akan erti pengabdian mutlak kepada Ilahi, berpaksikan penghayatan akan tuntutan amanah kekhalifahan yang diberi, berfokuskan pembinaan peradaban yang tinggi, mengutamakan kesejahteraan hidup bermasyarakat yang berbudi.”)
TANJONG Lobang School Miri yang dibina di sebuah kawasan tanah tinggi yang menghadap Laut China Selatan memberi warganya peluang untuk menikmati keindahan lembayung senja hampir setiap hari. Bagi saya, inilah potret alam yang sangat indah, serba menakjubkan dan amat simbolik. Senja menandakan titik berakhirnya perjalanan matahari dengan segala bentuk cahaya kesibukannya, dan mengisyaratkan ketibaan malam dengan segala keajaiban dan mistrinya.
Di sini kami dapat melihat sendiri secara simbolik pemandangan alam yang menandakan berlakunya transisi fasa dalam perjalanan hidup seseorang. Pada waktu itu kami dapat menyaksi dengan nyata peralihan kuasa daripada sang matahari kepada bulan purnama. Keberadaan kami dalam persekitaran alami yang indah itu dan dinilaitambahkan dengan suasana kepimpinan dan pendidikan yang mesra pelajar, meskipun berlatarbelakangkan landskap sosial yang serba sederhana, memberi kami pengalaman yang serba menginsafi akan kekurangan diri dan kebesaran Pencipta. Rasa insaf dan rasa keberuntungan yang dibingkaikan oleh rasa syukur merupakan pengalaman yang cukup mendewasakan.
Peluang pendidikan yang diterima di sini membolehkan kami melihat dan menghayati lembayung senja ini dari pelbagai sudut – keindahan dan misterinya. Kami juga tercabar untuk mentafsir fenomena alam ini dari persepktif pendidikan dan proses pematangan diri. Sesuatu keadaan, suasana atau pengalaman yang mudah membawa kita ke zon selesa wajar disedari boleh juga berubah dan berakhir bila sampai waktunya, kecuali bila ada usaha secara sedar diambil untuk membolehkan kesinambungan berlaku secara harmonis dengan diri dan alam sekeliling. Demikian juga halnya dengan sekolah berkesan atau sekolah berprestasi tinggi. Ia tidak mungkin kekal cemerlang sekiranya tidak ada atau kurangnya usaha-usaha penambahbaikan strategik dilakukan bagi membolehkan institusi itu berkembang secara berterusan.
Inti pati penting di sebalik konsep organisasi pembelajaran adalah bahawa ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu adalah diperlukan untuk menjana idea-idea baharu bagi memudahkan proses penyesuaian diri atau usaha menyumbang secara bermakna dalam persekitaran dan iklim pendidikan yang sangat kompleks dan tidak menentu. Dalam pada itu, wajar difahami bahawa gagasan baharu yang diilhamkan oleh pemikir dan pengamal pendidikan berdasarkan pengalaman masing-masing mempunyai risikonya yang tersendiri, dan dalam pelaksanaannya menuntut kreativiti dalam kalangan mereka yang terlibat, sama ada pembimbing atau mereka yang dibimbing.
Dalam dunia pendidikan, mentransformasi sesebuah institusi berkesan kepada sebuah organisasi pembelajaran yang mapan boleh membantu kelestarian pembangunan budaya keilmuan. Organisasi yang secara proaktif mengambil langkah untuk mendidik, membimbing dan membentuk setiap warganya secara berterusan dan sistematik berpotensi untuk kekal relevan dan berkecekapan untuk menyesuaikan diri dengan teknologi dan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang baharu yang cepat berubah.
Budaya pembelajaran berterusan ini memungkinkan nilai-nilai murni dan budaya kerja produktif bercambah, dan lebih mudah diperkukuhkan apabila budaya mengiktiraf dan menghargai kecemerlangan, semangat kebersamaan dan saling membantu, dan jiwa juang yang berani mencabar sesama rakan untuk membawa kelainan, pembaharuan, dan keluar dari kebiasaan, dijadikan budaya dan norma seharian.
Alma mater saya, Tanjong Lobang School Miri mampu berkembang sebagai sebuah learning organization kerana tekal dengan komitmen untuk membawa perubahan baharu yang bermanfaat untuk kelangsungan institusi dan warganya. Seperti juga pentingnya usaha ke arah continuous school improvement, proses pembelajaran organisasi yang biasanya dikaitkan dengan usaha untuk memperbaiki dirinya dari masa ke semasa melalui pemerolehan ilmu dan pengalaman baharu, dan kemudiannya menggunakan pengalaman tersebut untuk menjana ilmu pengetahuan, adalah kritikal untuk kelangsungan nilai, etos dan budaya kecemerlangan. Ilmu pengetahuan yang dicipta, dijana, didokumentasi dan dikongsikan oleh warganya melalui transformasi sekolah berpandukan konsep learning organization adalah penting kerana ianya akan mengukuhkan lagi institusi secara keseluruhan.
Apa yang kami amati dan rasai sebagai perubahan positif daripada pewujudan dan pengamalan budaya pembelajaran ini antaranya adalah peningkatan: semangat dan keghairahan untuk menerokai disiplin ilmu yang baharu; keseronokan belajar secara berkumpulan; kepuasan bersaing secara sihat dalam saling mencabar keupayaan dan kekuatan intelek sesama rakan; dan kesediaan untuk membuat penyesuaian terhadap pendekatan dan kaedah perolehan ilmu berdasarkan persekitaran sosialbudaya dan kemudahan yang kerap berubah.
Di sinilah letaknya kekuatan dan keistemewaan Tanjong Lobang School Miri, dan kami yang berpeluang mengikuti pendidikan menengah di bawah kepimpinan dan pengurusan yang cemerlang dan tenaga pengajar yang profesional, benar-benar bernasib baik. Sekolah yang berwatak ini memberi kami keyakinan diri yang tinggi bahawa setiap usaha keilmuan dan setiap aktiviti kemasyarakatan yang kami ceburi merupakan pelaburan keinsanan yang akan memberi pulangan jangka panjang yang bernilai.
Saya melihat betapa benarnya hakikat bahawa kewujudan budaya pembelajaran dalam kalangan tenaga pendidik sekolah turut meresap ke dalam amalan pembelajaran seharian kami. Nilai-nilai seperti semangat sepasukan, rasa kekitaan, kebertanggungjawaban bersama dan jiwa kebersamaan telah memberi manfaat kepada kami sebagai individu, pasukan, dan sekolah secara keseluruhan. Menyaksi sendiri perkara ini berlaku, dan kami sebagai sebahagian penting daripada proses pembudayaan ilmu itu, memang terkesan. Ia turut mempengaruhi pandangan dan pemikiran kami tentang makna pendidikan dan peranan penting sekolah sebagai institusi sosial dalam pembentukan peribadi, jati diri dan watak kami.
Sekiranya setelah 52 tahun meninggalkan Tanjong Lobang School Miri sebagai pelajar, dan saya masih sampai sekarang ingat wajah-wajah pelaku utama yang berperanan penting menanam rasa cinta kepada ilmu dan dunia keilmuan dalam kalangan kami anak-anak luar bandar, pasti sekali mereka adalah insan pendidik yang wajar didendangkan, dan institusi pendidikan ini layak disebut-sebut sebagai contoh institusi sosial yang berkesan.
Pengetua kami, Mr. Robert Nicholl bukan sahaja membawa guru untuk berkongsi aspirasinya tetapi turut melibatkan Lembaga Pengawas Sekolah untuk menterjemahkannya ke dalam bentuk visi dan misi sekolah. Malah pandangan Lembaga Pengawas Sekolah turut diambil kira dalam menetapkan keutamaan untuk bertindak, dan menjadi kebiasaan bagi kami untuk mendengar penerangan tentang aspirasi tersebut dalam perhimpunan mingguan sekolah. Dalam perhimpunan ini jugalah beliau menjelaskan tentang konteks visi dan misi sekolah digubal, dan kewajaran melaksanakan peraturan atau tindakan yang telah dipersetujui bersama.
Dalam merangka semua ini beliau mengamalkan pendekatan yang berbentuk menyeluruh dan bersepadu, di mana setiap perkara atau komponen dalam sesuatu sistem itu diambil kira dan dianalisis sebagai entiti yang saling mempengaruhi dan saling melengkapi. Beliau juga mengutamakan kerjasama dan kolaborasi antara yang memberi dan menerima dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru dan pelajar saling membantu dan berinteraksi secara bermakna untuk menjadikan proses itu satu pengalaman keilmuan yang boleh mendorong minat serta kecenderungan meningkatkan aras professional diri secara berterusan.
Mengimbau kembali pengalaman alam persekolahan di alma mater saya di Miri itu, saya terfikir tentang takrif yang diberi oleh Peter M. Senge dalam bukunya “The Fifth Discipline” (1990) mengenai learning organization. Beliau mentakrifkan organisasi pembelajaran sebagai usaha sekumpulan individu untuk belajar dan meningkatkan kecekapan diri bagi tujuan mengupayakan mereka mencipta sesuatu yang mereka ingini. Dalam buku itu beliau menyebut ciri-ciri organisasi pembelajaran dalam bentuk lima disiplin berikut: shared vision, system thinking, team learning, personal mastery, dan mental models.
Menariknya, semua ini telah berlaku di Tanjong Lobang School Miri setengah abad yang lalu, dan saya adalah antara kumpulan yang beruntung kerana menjadi pemanfaatnya.