RASMI… (dari kiri) Michael Tiang, Janet Chua dan Robert Lau melakukan simbolik perasmian bahagian pertama projek lukisan mural pada dinding belakang bangunan Kelab Rekreasi Raminway, baru-baru ini.
Siapa sangka bangunan lama yang kelihatan suram dan kurang menarik mampu berubah wajah setelah diberikan nafas baharu.
Penghasilan lukisan mural bersaiz gergasi ternyata mampu menambahkan seri bangunan-banguna lama yang sebelum ini kelihatan kusam.
Kebanyakan ruang kosong pada sisi bangunan terutamanya bangunan lama mampu diceriakan dengan lukisan mural pelbagai warna, konsep dan tema ini.
Selain memperindahkan panorama, lukisan mural pada bangunan lama ini boleh diperkasakan dengan keindahan agar mampu menarik orang ramai merakam gambar kenangan berlatarbelakangkan karya seni terbabit.
Dalam masa yang sama, penghasilan karya lukisan mural ini juga dilihat mampu mengetengahkan hasil seni kreatif anak tempatan.
Menyedari potensi lukisan mural ini, satu ruang terbuka di belakang bangunan lama di Jalan Ramin dekat sini akan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan dengan hiasan mural pada dinding belakang membabitkan tujuh blok bangunan.
Bahagian pertama projek lukisan mural iaitu pada dinding belakang bangunan Kelab Rekreasi Raminway telah siap sepenuhnya pada awal Februari lalu.
Lukisan mural pada bangunan pertama yang bertemakan hitam dan putih ini mendapat sentuhan tangan emas pelukis mural tempatan iaitu Aries Kong.
Lebih dikenali sebagai “Jagung”, jejaka berusia 31 tahun ini berkata, karya seni hitam putih itu mengambil masa selama enam hari untuk disiapkan.
Katanya, tempoh bagi menyiapkan mural berkenaan mengalami sedikit kelewatan berikutan cuaca buruk dan tidak menentu ketika itu.
“Jika cuaca kurang baik atau hujan saya terpaksa menghentikan kerja-kerja melukis dan akan disambung semula selepas hujan reda,” katanya ketika ditemui pada simbolik perasmian bahagian pertama projek lukisan mural pada dinding belakang bangunan Kelab Rekreasi Raminway, baru-baru ini.
Menyentuh mengenai tema dan konsep lukisan mural pada bangunan lama terbabit, Jagung memberitahu, beliau mendapat idea dari salah sebuah kedai yang terletak di dalam bangunan itu.
“Jika anda masuk ke dalam kedai terbabit, anda boleh lihat gaya 2D kedai, hitam dan putih.
“Jadi, saya meluaskan konsep itu ke bahagian luar bangunan supaya orang ramai dapat melihatnya. Ia seperti bangunan ‘kartun’, semuanya dalam warna hitam dan putih,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau telah dimaklumkan mengenai rancangan untuk menghasilkan lukisan mural untuk bangunan lain di kawasan yang sama tetapi dengan konsep berbeza.
“Saya menganggap ia sebagai satu penghargaan bagi saya untuk menghasilkan lebih banyak karya,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang berkata, beliau tertarik dengan idea dan visi Presiden Kelab Rekreasi Raminway Richard Lee Ning untuk memberi nafas baru bagi bangunan lama di kawasan Jalan Ramin di sini.
Katanya, dengan penghasilan hiasan mural pada dinding bangunan ini, ia mampu mewujudkan satu lagi tarikan baharu di Sibu untuk pelancong atau tempat anak muda untuk berkumpul.
“Projek ini dalam masa yang sama dapat memulihara seni bina asal bangunan tersebut tanpa perlu merobohkan dinding bangunan atau mengalihkan sebarang batu bata.
“Ini adalah tujuan utama kita iaitu untuk mentransformasi kawasan ini dengan pelbagai reka bentuk mural dari anak seni tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, untuk bahagian pertama projek mural ini, katanya, beliau bersama Ahli Dewan Negara (Senator) Robert Lau Hui Yew dan seorang lagi rakan kongsi iaitu Pristine House & Harta- Maintenance Sdn Bhd bersetuju untuk menjadi penaja utama.
Katanya, bahagian pertama mural dari keseluruhan projek yang menelan kos RM40,000 itu adalah gambaran awal kepada keseluruhan projek yang dijangka siap dalam tahun ini.
“Untuk bahagian lain mungkin kita akan menjemput pelukis-pelukis lain, jadi kita akan mempunyai lukisan mural dari pelbagai reka bentuk dan gaya.
“Saya juga akan memohon dana dari Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak bagi bahagian projek mural yang membabitkan blok-blok bangunan selebihnya,” jelasnya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD