KUCHING: Muzium Budaya Borneo (BCM) yang baharu dilancarkan mampu menjadi pusat menimba ilmu dalam usaha memahami kekayaan sejarah, budaya dan alam semula jadi di kepulauan itu.
Tinjauan Utusan Sarawak di Muzium Budaya Borneo (BCM) jelas menunjukkan para pengunjung berpuas hati dan terpegun dengan Muzium ikonik serba baharu itu yang mempamerkan lebih seribu artifak mewakili budaya dan sejarah Sarawak yang menakjubkan.
Seorang pengunjung, Hana berkata, terpegun dengan keunikan yang ada di dalam muzium. Banyak yang boleh dipelajari di Muzium Budaya Borneo ini mengenai sejarah di Borneo terutamanya di Sarawak.
Pelancong dari Sabah Roy Ryner bersama ahli keluarganya berkata, kami sangat berpuas hati dan berasa sangat bertuah berkesempatan untuk melawati Muzium Budaya Borneo ini.
“Terlalu banyak yang boleh anak-anak pelajari ketika melawati Muzium ini mengenai sejarah yang ada di negeri Sarawak. Jadikan muzium ini salah satu destinasi wajib sekiranya berkunjung di Sarawak.”
Seorang pengunjung, Hael berkata, muzium yang dinantikan oleh orang ramai akhirnya kini boleh dilawati. Terlalu banyak sejarah Sarawak dan barang-barang artifak yang boleh didapati di Muzium ini. Saya bangga menjadi anak Sarawak dengan adanya muzium ikonik seperti ini.
Lain pula dengan, Siti Zainon, beliau berkata, dengan adanya pertunjukkan 3D, tayangan video yang boleh menarik perhatian para pengunjung untuk lebih memahami sesebuah cerita atau karya tersebur.
“Setiap barang-barang sejarah atau artifak yang ada di Sarawak dipamerkan dengan perincian maksud pada setiap barang yang dipamerkan. Tahniah Muzium Sarawak dan kami bangga menjadi anak Sarawak,” katanya.
Muzium Budaya Borneo mempunyai tiga galeri kekal yang terletak di Aras 3,4 dan 5. Setiap aras menampilkan jalan cerita yang tersendiri dan mempamerkan koleksi asli muzium.
Antaranya ialah, Galeri Kanak-Kanak, Seni dan Kreatif, Galeri Keharmonian Alam dan Manusia, Galeri Peredaran Masa dan Galeri Objek Idaman.
Pembinaan BCM bermula pada 2014 dan kos projek itu sebanyak RM323 juta dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Muzium Budaya Borneo (BCM) mempunyai 6,000 meter persegi ruang pameran di atas tiga tingkat
Terdahulu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebagai sebuah repositori bertaraf dunia, muzium itu juga mampu menarik ahli akademik dan penyelidik dari institusi tempatan mahupun antarabangsa.
Muzium Budaya Borneo itu telah dibuka kepada umum pada 9 Mac (semalam).
Waktu operasi Isnin hingga Jumaat pada 9.00 pagi hingga 4.45 petang manakala Sabtu, Ahad dan Cuti Umum pada jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang.
Oleh AZREEN KERIA