SEDIA UNTUK DIMASAK… Belangkas betina yang telah dipotong dan dibersihkan ada dijual di pasar basah.
BELANGKAS adalah haiwan purba yang telah wujud di dunia sejak lebih 450 juta tahun lalu.
Terdapat empat spesies belangkas yang masih wujud di dunia pada masa kini iaitu dari spesies ‘Carsinoscorpius Rotundicauda’, ‘Limulus Polyphemus’, ‘Tachypleus Gigas’ dan ‘Tachypleus Tridentatus’.
Biasanya belangkas ditangkap menggunakan pukat yang dipasang di pesisiran pantai berpasir.
Haiwan laut ini mula mula bergerak ke pesisir pantai apabila air laut mula pasang dan pada masa itulah belangkas akan terperangkap di pukat yang telah dipasang.
Sering kali belangkas yang terperangkap di pukat adalah sepasang iaitu jantan dan betina.
Sebab itulah kita sering mendengar perumpamaan dalam kalangan masyarakat sejak dulu iaitu ‘macam belangkas’ untuk pasangan suami isteri atau kekasih yang bergerak bersama-sama ke mana sahaja.
Uniknya, belangkas merupakan haiwan laut berdarah biru dan mendapat permintaan tinggi dari penggemar makanan eksotik di negara kita.
Belangkas betina sentiasa menjadi rebutan penggemar makanan eksotik belangkas kerana mempunyai saiz yang besar, mengandungi telur dan lebih banyak isi.
Selalunya, telur belangkas menjadi pilihan utama penggemar makanan eksotik kerana rasanya yang lebih sedap.
Belangkas boleh dimasak mengikut kehendak tukang masak dan penggemar makanan eksotik, namun perlu diketahui bahawa tidak semua bahagiannya boleh dimakan kerana mengandungi toksin.
Oleh itu, mereka yang membeli sendiri belangkas yang masih hidup di pasaran perlu mengetahui bahagian belangkas yang mempunyai toksin dan perlu dibuang sebelum memasaknya.
Toksin dalam belangkas ini boleh mengakibatkan pening jika termakannya.
Maka, belangkas perlu disiang dengan teknik yang betul.
Antara menu masakan eksotik belangkas yang terdapat di negara kita termasuklah belangkas masak lemak cili api, kari belangkas, belangkas rebus halia serai, belangkas bakar, dan asam pedas belangkas.
Sebelum memasak belangkas, ia perlu direndam dalam air beras dan dibasuh bersih-bersih untuk menghilangkan bau hanyir.
Potong belangkas di bahagian tengah dan kemudian tarik kakinya keluar.
Ia bertujuan untuk mencuci belangkas secara dalaman dari bahagian perutnya sebelum sesuai untuk dimasak.
Langkah seterusnya buang najis dan toksin yang terdapat di bahagian tengah perut belangkas.
Jika was-was untuk menyiang sendiri belangkas, untuk keselamatan lebih baik membeli belangkas yang telah dipotong dan disiang di pasar basah.
Harga belangkas di pasaran adalah dalam lingkungan RM10 seekor dan berharga RM10 sepasang sekiranya tiba musim belangkas.
Langkah terakhir sebelum memasak mengikut pelbagai variasi masakan belangkas, ia perlu direbus dahulu.
Kali ini penulis berkongsi resepi belangkas yang diperoleh dari sumber internet dan ia amat ringkas serta senang untuk dimasak.
Bahan-bahannya ialah 500 gram atau seekor belangkas yang telah dibersihkan dan dipotong 6, 20 biji cili api, sebiji bawang besar, dua ulas bawang putih dan bawang merah, dua batang serai (dititik), sedikit asam keping atau asam jawa, serbuk kunyit dan 100ml santan pekat (tambah dengan air) atau satu kotak santan segera yang dijual dikedai runcit.
Langkah pertama, tumbuk cili api, bawang merah, bawang putih sampai hancur dan titikan serai.
Langkah kedua, masukkan semua bahan yang telah ditumbuk ke dalam periuk bersama-sama dengan santan dan juga belangkas.
Kemudian masukkan asam keping, garam dan serbuk kunyit ikut rasa.
Langkah ketiga ialah kacau selalu jangan sampai pecah minyak, sehingga belangkas masak dan kemudian tutupkan api.
Hidang bersama nasi yang masih panas dan selamat mencuba masakan eksotik belangkas.
Oleh EARL ANEK