SERAMAI 10,864 graduan KV seluruh negara menerima diploma pada 19 Februari lepas.
Kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional (KV) dijangka terus mencapai sasaran yang telah ditetapkan meskipun berhadapan dengan situasi penularan virus Covid-19 yang mula melanda seluruh negara pada 2020.
Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Kejurulatihan Dan Hubungan Industri, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Norhayati Abd Wahab, seramai 54,916 graduan telah bergraduasi dan berada di pasaran pekerjaan sama ada dalam industri dan menjadi usahawan sejak majlis konvokesyen KV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari tahun 2016 hingga 2020, manakala sebahagiannya pula menyambung pengajian.
“Ini bertepatan dengan matlamat Transformasi Pendidikan Vokasional yang menetapkan ‘outcome’KV KPM mestilah 70 peratus bekerja, 20 peratus menyambung pengajian dan 10 peratus menjadi usahawan.
“Walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19 pada tahun 2020, kebolehpasaran graduan KV telah mencapai angka yang memberangsangkan iaitu sebanyak 80.48 peratus berdasarkan data enam bulan selepas bergraduat.
“Justeru itu, kita menjangkakan bahawa kebolehpasaran graduan akan mencapai sasaran yang ditetapkan sebagaimana hasrat kementerian dalam memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) KPM,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Bintulu Kementerian Pendidikan Malaysia Kali ke-6 Tahun 2021, baru-baru ini.
Kata beliau, sejak awal lagi, tumpuan KPM adalah kepada pembangunan kurikulum vokasional yang dinamik dengan memberi penekanan kepada usaha untuk meningkatkan akses dan ekuiti pembelajaran yang sama rata kepada semua pelajar dengan mengambil kira kemampuan dan potensi diri mereka.
“Usaha ini termasuk memperluas pengalaman pelajar KV kepada interaksi formal dan informal melalui pembelajaran sebenar di bilik-bilik kuliah dan bengkel.
“Kita juga telah menyahut saranan Menteri Kanan Pendidikan dan KPM agar sistem pendidikan masa kini dapat memenuhi aspek keseronokan dan kebahagiaan belajar, nilai-nilai kasih sayang dan saling menghormati,” jelasnya.
Selain itu, beliau memberitahu, kerjasama strategik antara KV dengan pelbagai pihak khususnya industri semakin meningkat yang mana terdapat lebih 1,000 Memorandum Persefahaman (MoU), Nota Kerjasama dan Nota Niat telah ditandatangani antara kolej-kolej vokasional dan industri atau agensi berkepentingan setakat ini.
“Pengiktirafan dan kerjasama industri ini telah menunjukkan agenda akademik KV adalah setanding dan mampu bersaing dengan institusi pendidikan yang lain di Malaysia.
“Saya percaya untuk merealisasikan martabat destinasi anak bangsa ke mercu jaya bukanlah perkara yang mudah. Jalannya penuh ranjau dan duri. Tahniah saya ucapkan kepada warga KV kerana telah menjayakan kelangsungan pendidikan anak bangsa demi kelestarian hari esok,” ujar Norhayati.
Tambahnya lagi,graduan keluaran KV mampu membina masa depan yang lebih gemilang dan membawa nama KV apabila mereka mula memasuki pasaran pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara.
“Saya menyeru kepada seluruh warga KV untuk teruskan usaha membawa KV KPM menjadi yang terkehadapan dalam meniti arus Revolusi Industri 4.0 dan meniti arus pemodenan global pendidikan masa kini .
“Sehingga kini, komitmen kementerian telah menunjukkan kemampuan pihak KPM menampung lebih kurang 80,000 orang pelajar dalam bidang kemahiran bagi sistem pendidikan vokasional.
“Usaha ini menunjukkan tanda-tanda awal kejayaan memartabatkan pendididikan TVET dan sekaligus membekalkan negara dengan sumber modal insan yang berpotensi dalam bidang ekonomi, sosial dan politik,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa keyakinan sikap dan kemahiran spesifik dalam bidang kemahiran serta kemampuan bersaing terutamanya bagi mengisi jawatan di sektor swasta dan industri-industri perlu dipertingkat.
“Graduan juga harus meningkatkan nilai jati diri dan keberanian untuk meninjau peluang-peluang pekerjaan di semua sektor yang menawarkan gaji yang lebih lumayan. Ini adalah antara usaha untuk membina generasi Malaysia yang terdiri daripada bangsa Malaysia yang mampu memiliki pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi.
“Namun begitu, para graduan hendaklah ingat bahawa persaingan di luar adalah sangat hebat terutamanya pada zaman dunia tanpa sempadan ini. Pengetahuan, dan kemahiran yang diperolehi tidak akan berguna jika kita tidak mempu menunjukkan disiplin diri yang tinggi ketika bekerja,” ujarnya lagi.
Melihat dunia realiti, beliau menyeru para graduan untuk berdikari dalam menyelesaikan masalah diri dan organisasi tempat bekerja, mempunyai perwatakan yang kuat dan berperibadi mulia, serta berupaya menghadapi apa jua situasi dan rintangan.
“Sebagai generasi masa hadapan di sebuah negara merdeka, para graduan harus sedar bahawa tanggungjawab mengurus pembangunan negara dan menentukan arah kecemerlangan negara yang tercinta ini terletak di bahu mereka,” nasihat Norhayati kepada para graduan yang hadir.
Oleh CAROLYNE UTIH