SEJAK kekalahan Barisan Nasional (BN) di peringkat nasional, terdapat suara-suara untuk membina Sarawak yang lebih berkecuali, berdaulat dan memanfaatkan hak-hak Sarawak untuk menghasilkan Sarawak yang lebih kompetitif dari segi ekonomi. Pelbagai aliran pemikiran, gerakan, gesaan untuk memastikan Sarawak lebih baik dari segi pengurusan ekonomi, lebih-lebih lagi untuk memastikan ekonomi Sarawak lebih efisien dan berkembang maju.
Antara gesaan dari suara-suara dari rakyat bawahan termasuklah mahukan Sarawak mengukuhkan ekonomi dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan rakyat Sarawak. Gerakan Sarawak untuk Sarawak (S4S) pada tahun 2018 misalnya, pernah menyeru Peranan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) memperluaskan peranan bank tersebut bagi membolehkan rakyat Sarawak membuka akaun di bank tersebut dan menuntut agar bank bukan milik tempatan yang beroperasi di Sarawak, di samping keperluan mempunyai 30 peratus pemilikan oleh rakyat Sarawak. Pada masa sama, gerakan tersebut mahukan penubuhan Dana Khazanah Berdaulat Sarawak sejak lima tahun dahulu.
Terdapat juga gesaan agar menggunakan Ordinan Minyak dan Perlombongan (OMO) 1958 untuk memastikan sumber Sarawak tidak terlepas ke pihak luar Sarawak begitu kuat. Malah, ketika itu dikatakan sekitar 850,000 tong minyak “dibawa” keluar dari Sarawak, berjumlah AS$51,000,000 sehari (berdasarkan AS$60 setong). Hakikat inilah memberikan rasional bahawa Sarawak sebenarnya mempunyai sumber yang sangat mencukupi bagi membangunkan Sarawak dan dapat memastikan setiap rakyat Sarawak dapat menikmati kekayaan sumber minyak dan gas dan dimanfaatkan oleh semua. Apabila nikmatnya dapat dirasakan, maka ia memastikan kemudahan pendidikan peringkat rendah dan tinggi dapat diberikan bantuan dan perhatian lebih baik, serta penjagaan kesihatan yang lebih sempurna.
Keperluan penerokaan sumber
Di sinilah fokus kepada hak Sarawak dalam konteks penguasaan sumber khazanah negeri amat penting bagi memastikan perancangan ekonomi yang lebih baik. Empat tahun yang lalu juga, See Chee How selaku wakil rakyat Batu Lintang ketika itu, mengalu-alukan inisiatif Sarawak memulakan projek Petchem Methanol Sarawak di Tanjung Kidurong, Bintulu yang menjangkakan Bintulu akan menjadi kota atau pusat hiliran industri petrokimia yang lebih berintegrasi dan kompleks. Langkah Sarawak itu akan menerokai kekayaan sumber untuk memanfaatkan dan meningkatkan pendapatan ekonomi Sarawak. Di situlah beliau juga mencadangkan agar Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan pembentukan Dana Kedaulatan Sarawak untuk kerangka yang lebih besar dan bersistematik.
Oleh sebab itu, ketika pilihan raya negeri Sarawak, Parti Sarawak Bersatu (PSB) turut mengemukakan dalam manisfestonya perlunya penubuhan Dana Berdaulat Sarawak untuk memperoleh pendapatan yang lebih besar. Dengan adanya Dana Berdaulat ini akan dapat mengumpul rizab Sarawak sehingga RM100 bilion. Dalam PRN Sarawak juga, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari turut mengemukakan idea penubuhan Dana Berdaulat ala Dana Norway bagi memastikan sumber ekonomi Sarawak lebih baik pada masa akan datang.
Idea lama terhambat
Dengan kata lain, idea penubuhan Dana Berdaulat Sarawak ini bukanlah suatu idea yang asing dalam kalangan rakyat Sarawak. Idea ini terlalu lama sudah dibincangkan oleh anak-anak Sarawak, terutamanya yang telah terlibat dalam sektor petroleum dan gas sejak sebelum pembentukan Malaysia lagi. Namun, idea ini semacam hilang daripada radar perbincangan selepas pembentukan Petronas pada tahun 1974. Namun, selepas 1980-an ke atas, idea ini mulai muncul kembali, namun, idea ini dianggap idea-idea pinggiran serta tidak mendapat perhatian daripada arus perdana. Hal ini kerana, ketika itu politik pusat atau persekutuan sangat kuat di bawah kuasa Tun Dr Mahathir. Sesiapa menyentuh isu mengenai hak-hak negeri dianggap melakukan tindakan di luar konvensi dan dianggap ekstrem. Silap percaturan, boleh mengakibatkan dimasukkan ke dalam penjara di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). Ketika itu zaman pemerintahan Mahathir Mohamad yang memimpin selama 22 tahun yang dimaklumi sering memanfaatkan undang-undang ISA untuk mengawal politik dan kekuasaan.
Selepas pemerintahan itu, Abdullah Badawi mengambil alih kepimpinan negara, era keterbukaan media dan kebebasan bersuara amatlah diraikan hingga prestasi teruk pertama kali BN era Pak Lah berpunca daripada keterbukaan media. Era keterbukaan media ini diteruskan lagi pada zaman Najib Tun Razak dan ketika itulah undang-undang yang dianggap menyekat kebebasan dan hak asasi manusia dimansuhkan. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang boleh menahan tanpa bicara dimansuhkan semasa zaman pemerintahan Najib Tun Razak. Ketika era inilah rakyat semakin berani bersuara, mengkritik dan mengambil tempat serta kedudukan. Kesan daripada kebebasan media dan suara tanpa terkawal inilah antara punca utama kekalahan BN yang ketika itu tidak bersedia bertarung ideologi dan naratif di media sosial.
Keterbukaan Najib Tun Razak
Namun, hikmah daripada kekalahan BN di peringkat pusat telah membuka suara yang telah lama terbungkam dalam konteks Sarawak. Sebelum kekalahan BN, iaitu apabila prestasi pilihan raya umum 2008, jelas menunjukkan prestasi BN semakin menurun dan ini menyebabkan Pak Lah digesa oleh pimpinan parti UMNO agar berundur dari jawatan Perdana Menteri. Gesaan kuat daripada Tan Sri Muhyiddin dan disokong oleh Mahathir ini hasil daripada konflik dalaman dan perebutan serta percaturan kuasa dalaman UMNO sendiri. Tun Mahathir mengambil peluang untuk menaikkan Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri kerana beliau amat terhutang budi dengan Tun Abdul Razak yang telah berperanan meletakkan asas yang baik dan memberikan laluan yang besar dalam politik, membolehkannya pada akhir persaingan politik, lebih mempunyai peluang untuk menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Maka, Najib Tun Razak telah mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan mewarisi BN yang semakin lemah. Justeru, beliau memberikan perhatian kepada Sabah dan Sarawak. Tidak pernah Perdana Menteri melawat ke Sarawak lebih 60 kali, kecuali Najib Tun Razak. Ketika itulah banyak pembangunan yang beliau bawa. Antara yang rakyat Sarawak tidak lupa termasuklah membawa projek infrastruktur Pan-Borneo ke Sarawak. Walaupun ketika kempen politik, nama Najib Razak banyak dikritik hebat, namun, di Sarawak nama Najib Razak tetap terpahat sebagai membawa perubahan besar kepada infrastruktur Sarawak.
Malah, pada ketika zaman Najib yang membawa kepada pemberian autonomi secara pentadbiran yang dilakukan secara peringkat demi peringkat. Sudah tentu, Adenan Satem yang ketika itu menjadi Ketua Menteri Sarawak, melihat hal sedemikian sebagai satu peluang terbaik untuk membuat pelbagai tuntutan kepada Kerajaan Pusat, salah satunya mengenai isu hak Sarawak seperti pengambilan guru Sarawak yang terdiri 90 peratus anak tempatan untuk berkhidmat di Sarawak. Kesemua ini membawa kepada semangat kebangkitan politik etnonasionalisme di Sarawak.
Kekalahan BN pula memberikan peluang BN Sarawak menjenamakan semula parti tempatan mereka sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS). Di sinilah sejarah politik berasaskan keperluan tempatan diberikan perhatian dan dijadikan sumber utama kekuatan politik GPS. Maka, Dana Kedaulatan Sarawak adalah antara sumber yang boleh meyakinkan rakyat Sarawak bahawa GPS benar-benar memperjuangkan keperluan dan hak rakyat Sarawak.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)