“BUSANA tradisi kain bersulam,
Warna jingga berawan larat;
Cukup berpolitik siang dan malam,
Fokuskan menjaga kepentingan rakyat.”
Demikian serangkap pantun yang mengakhiri titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu. Titah yang menyirat akan kecaknaan serta keprihatinan baginda terhadap aspek menjaga kepentingan rakyat yang bernaung di bawah payungan baginda. Sebagai Ketua Negara, wajar hal yang sedemikian menjadi fokus primer, namun, dari segi pemastian penzahirannya, terletak di bawah bidang kuasa kabinet yang dibentuk dan dipimpin oleh Ketua Kerajaan yang memerintah.
Peringatan sedemikian sudah pastinya baginda titahkan bukan berlandaskan input yang tidak sahih, akan tetapi pemerhatian akan setiap perkembangan yang berlaku dalam negara pada masa kini, khususnya yang melibatkan iklim politik yang semakin ‘berkocak’. Situasi sedemikian pun dimaklumi umum, dengan perkembangan penyaluran maklumat terkini lewat media massa dan sosial yang begitu pantas. Untuk menyalahkan media akan kewajaran senario sedemikian disiarkan hari demi hari kurang adil kerana berita yang sedemikianlah yang memancing khalayak pembaca bagi ‘melariskan’ penerbitan mereka. Semakin tinggi nilai sensasi dan provokasinya, semakin ramai yang terpaut untuk menyantuninya.
Namun, andai ditafsir secara mendalam akan inti pati titah berkenaan, hala tujunya bukan dilaraskan kepada ahli politik atau ‘politikus’ semata-mata. Walaupun frasa ‘menjaga kepentingan rakyat’ dilihat secara ekstrinsiknya berupa tugas yang dipertanggungjawabkan kepada para pemimpin, akan tetapi secara intrinsiknya, mencakupi setiap daripada kalangan masyarakat. Konteks ‘menjaga’ merangkumi cakupan yang amat luas, pun demikian juga bagi istilah ‘kepentingan’. Lantaran itu, apa-apa yang ditekankan baginda wajar diambil perhatian oleh semua pihak secara serius. Sikap lepas tangan, di samping menyifatkan ‘teguran’ sedemikian dikhususkan kepada para ahli politik atau wakil rakyat yang sememangnya dimaklumi ‘gemar’ berpolitik, tidak sewajarnya dibudayakan kerana setiap daripada kalangan kita pun, sama ada disedari, mahupun sebaliknya, tidak lari daripada unsur politik dalam iklim yang berbeza. Memetik maksim Aristotle, ‘man is by nature a political animal’, dan Aristophanes, ‘under every stone lurks a politician’.
Di samping isu berkenaan, baginda turut membayangkan kerisauan terhadap isu rasuah. Isu yang bukan sahaja berlaku dalam kalangan individu berprofil tinggi dan mempunyai kedudukan terhormat, malah dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta, perniagaan dan dalam kalangan masyarakat umum. Amalan yang seakan-akan menjadi suatu budaya dalam konteks pemenuhan atau penzahiran matlamat yang direncanakan. Amalan yang mencalarkan nilai integriti dan ketelusan yang membawa kepada ketirisan dalam aspek kerahsiaan agenda tertentu. Situasi yang mengganggu gugat segala perancangan serta pelaksanaan dasar ke arah pembangunan negara secara fizikal dan kerohanian. Tidak hairanlah sekiranya hal yang sedemikian mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong.
Malah baginda tidak lupa akan kepentingan wilayah Sabah dan Sarawak apabila turut menyentuh tentang penekanan terhadap pembangunan infrastruktur kedua-dua wilayah. Hal yang sudah pastinya berputik lanjutan daripada perkenan baginda terhadap Akta A1642 baru-baru ini yang mengembalikan status kedua-dua wilayah sebagai komponen utama dalam pembentukan Persekutuan Malaysia. Di samping itu, turut disentuh akan keperluan mengerakkan proses pemulihan ekonomi bagi memudahkan urusan rakyat membina semula kehidupan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Malah, baginda turut menekan akan kepentingan untuk rakyat mendapatkan suntikan dos vaksin penggalak bagi mengekang penularan Covid-19, bagi membolehkan negara beralih ke fasa endemik.
Apa-apa yang dititahkan sewajarnya diberikan perhatian dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang bersidang, khususnya, dan rakyat jelata, umumnya. Tidak ada maknanya, andai rangkap pantun yang baginda utarakan disambut tepukan gemuruh, akan tetapi tidak dihayati dan diamalkan semasa bersidang! Harapan kita agar semangat Keluarga Malaysia dapat dispaparkan kepada rakyat dalam apa-apa juga isu yang dibincang dan didebatkan.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!