UNTUK memastikan parti masing-masing menang pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) Johor pada 27 Mac ini nanti, seramai 63 calon yang ditampilkan berusia 40 tahun, dan lapan orang di bawah 30 tahun.
Yang termuda ada dua orang berusia 26 tahun, ditampilkan oleh Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Barisan Nasional (BN) dari MCA.
Muhammad Airel Zabridin ialah taruhan Pejuang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, dan Kelly Chye Pei Yee mewakili Barisan Nasional (BN) dari MCA di DUN Mengkibol.
Calon-calon muda lainnya mewakili Pejuang yang berusia 27 tahun di Sungai Balang, Parit Raja, Puteri Wangsa, dan seorang berusia 28 tahun di DUN Larkin.
Parti KeAdilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan Omar Mokhtar A Manap, 29, di DUN Johor Lama, manakala Parti Bangsa Malaysia (PBM) menampilkan Muhamad Hanis Asmui Md Salleh, 27 di DUN Maharani.
Antara 63 calon yang berusia 40 tahun termasuklah seorang calon Bebas, Mohd Azwan Abd Rahman di DUN Kempas, manakala yang lainnya ditampilkan oleh BN (14 orang), PN (13), PH (10), MUDA (7), PKR (4), PBM (2) dan Warisan (1).
Pemerhati politik melihat keadaan itu sebagai usaha untuk meremajakan politik di negeri Johor khususnya, dan untuk membayangkan pola politik Malaysia pada keseluruhannya.
Peremajaan politik itu bolehlah diambil kira dari aspek cara berkempen oleh beberapa buah parti politik yang bertanding.
Sebagai contoh, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi DUN Bukit Kepong, Afizah Zulkifli, 31, melihat situasi politik negara dipenuhi dengan apa yang beliau sifatkan sebagai diisi oleh golongan ‘elit politik’.
Bagi beliau, yang merupakan graduan Sarjana Sains Alam Bina (Pengurusan Bencana), keadaan ini mengakibatkan Malaysia semakin terkebelakang dan tiada perubahan dalam pembuatan polisi.
Beliau, yang merupakan pegawai khas kepada MP Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, berharap para pengundi membawa perubahan dalam sistem demokrasi Negara.
Beliau mengingatkan rakyat bahawa ‘elit politik’ ada duit yang banyak, tetapi rakyat ada kuasa mengundi.
Rakyat mampu mengajar pemimpin yang merasakan mereka boleh membeli undi, merasakan rakyat boleh digula-gulakan, boleh ditipu, dicandukan dengan wang, dengan retorik agama dan kaum.
Afiqah akan bertanding melawan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (PN), Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad (BN), dan Md Taib Md Suhut, mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Pada PRU-14, Sahruddin selaku Setiausaha Bersatu Johor, memenangi kawasan yang sama atas tiket PH, mengalahkan Mohd Noor Taib (BN) dan Muhamad Nur Iqbal Abd Razak (PAS).
Bagi Afiqah, usia bukan ukuran tetapi siapa yang mampu melawan arus dan status quo, justeru, beliau bertekad membawa perubahan di kawasan tersebut.
Fokusnya adalah merapatkan jurang bandar dan luar bandar serta melengkapkan Johor bersedia menghadapi cabaran semasa dan akan datang memandangkan “pembangunan di negeri Johor ini sangat tertumpu kepada Johor Bahru.” Wujud kesenjangan yang ketara, menurut beliau.