SHEILA ZAIDI
KUCHING: Kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020 nanti.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, keputusan ini selaras dengan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
“Untuk sektor ekonomi yang dibenarkan dibuka pada 12 Mei kelak, garis panduan yang disediakan akan terus diguna pakai sehingga 9 Jun nanti.
“Pihak sekretariat telah mengarahkan semua Residen untuk mempertingkatkan serta memperkukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan semua sektor ekonomi yang dibuka pada 12 Mei nanti” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, susulan lanjutan tempoh PKPB ini, mesyuarat Pasukan Pemantauan Pematuhan PKPB akan diadakan di bahagian masing-masing.
“Pasukan pemantauan ini akan diketuai oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dianggotai semua agensi penguatkuasaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Negara (RELA),” jelasnya lagi.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah membendung wabak Covid-19.
“Usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya. Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini.
“Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini,” katanya dipetik berkata dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan semalam.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan PKPB bermula 4 hingga 12 Mei bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka secara terkawal dan berhati-hati.
Beliau berkata, ini bermakna semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan ketika tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun.