PERASMIAN Citrawarna Keluarga Malaysia di Tebingan Sungai Kuching pada Sabtu, 26 Februari 2022, oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia, sudah pastinya meninta catatan kenangan yang manis dalam diari kegiatan pelancongan Sarawak, khususnya. Kegiatan yang bertemakan ‘Temasya Kepelbagaian Budaya’ menyajikan keindahan dan keunikan seni budaya masyarakat di Bumi Kenyalang khususnya, dan Malaysia amnya.
Dalam iklim kepelbagaian komposisi kaum, Malaysia berupa antara negara yang memiliki seni budaya sememangnya kaya serta unik. Setiap daripada kalangan bangsa, etnik serta subetnik yang terdapat dalam landskap kehidupannya mempunyai seni budaya tersendiri yang memaparkan gaya hidup, pemikiran serta nilai kearifan masing-masing. Aspek yang berupa nilai tambah yang mampu menjana keberhasilan dari segi pendapatan, bukan sahaja kepada masyarakatnya, akan tetapi kepada kerajaan secara umumnya.
Setelah sekian lama ‘terkurung’ daripada tatapan masyarakat setempat akibat pandemik Covid-19, keunikan dan keindahan sedemikian telah disaji dan dipertontonkan lewat persembahan yang berwarna-warni, bertenaga serta tidak kurang kemeriahannya. Suatu komitmen serta jalinan kerjasama yang jelas terpancar di pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dalam kerangka menghidupkan dan menyemarakkan semula industri pelancongan negara.
Temasya empat hari yang diisi dengan pelbagai kegiatan dalam bentuk pameran, persembahan, jualan serta pertandingan bersandarkan matlamat untuk menonjolkan keunikan seni budaya Sarawak kepada para pengunjung serta pelancong, di samping menyerlahkan unsur harmoni dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak. Suatu aspek yang mencitrakan semangat Keluarga Malaysia yang tulen dan sebenarnya. Malah, paparan yang menjadi elemen kekuatan yang memastikan pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus utuh.
Namun, sebalik penterjemahan kesepaduan dan kesepakatan yang terpancar lewat temasya yang berlangsung di Bumi Kenyalang, tercitra warna-warni yang berbeza di tanah seberang, khususnya di Johor yang bakal mendepani pilihan raya umum dalam masa terdekat. Warna-warni yang dilakar penuh seni keindahan di sini, berubah corak pada kanvas siasah sebuah negeri yang penuh dihormati (takzim). Tempelan warna-warni polemik peribadi serta kepartian yang mencitrakan kerakusan untuk berkuasa, di samping memastikan kerelevanan keberadaan parti terjamin bagi penerusan agenda masing-masing.
Polemik demi polemik disajikan dalam warna ‘garang’ yang ditularkan lewat media massa dan media sosial. Perbahasan klise yang kebanyakannya dihalatujukan kepada pencarian kelemahan dan kesilapan individu-individu yang kemudiannya dikaitkan dengan parti yang sama ada diterajui atau diwakili. Kerancakan dan kenanaran golongan berkenaan dalam proses penzahiran hasrat masing-masing semakin menjadi-jadi sehingga terterapnya budaya ‘pengasasinatan karakter’ demi untuk menjatuhkan reputasi, maruah serta air muka seseorang. Hal yang menyedihkan, perlakuan sedemikian tercetus dalam kalangan individu-individu yang berprofil tinggi yang suatu masa dahulu dipandang tinggi serta disanjungi masyarakat umum. Malah, terdapat dalam kalangan mereka yang menggagaskan aspirasi kebersamaan, keharmonian, kesejahteraan, kedamaian serta aspek saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Namun, kini segala apa yang pernah digagaskan seakan-akan omongan kosong sebagai pemanis mulut untuk memancing kepercayaan rakyat.
Demikian pencitraan warna-warni Keluarga Malaysia yang terpapar kini. Satunya berlandaskan matlamat penyatuan lewat seni budaya, manakala satunya pencitraan naluri yang digoncang desakan untuk berkuasa. Warna manakah yang akan anda pilih? Tepuk dada, tanya naluri.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!