BERTEMU kembali dalam siri kali ini. Seperti biasa akan diketengahkan beberapa perkataan yang diguna pakai dalam komunikasi seharian, sama ada rasmi mahupun sebaliknya, yang sering menimbulkan kekeliruan dan salah tafsiran dalam kalangan pengguna. Untuk siri ini diketengahkan tiga perkataan, iaitu wadah, wahana dan wacana.
Perkataan wadah sering diguna pakai namun, masih ramai yang keliru akan maksud sebenarnya perkataan berkenaan, misalnya ruangan Wadan Bahasa dan Sastera yang disiarkan dalam akhbar ini setiap hari Khamis. Wadah, menurut Kamus Dewan edisi keempat, membawa dua maksud. Pertamanya, bermaksud ‘bekas (tempat) mengisi atau diisi sesuatu’ dalam bahasa Jawa. Tafsiran keduanya, ‘alat, asas, medan, saluran (untuk melakukan atau menyampaikan sesuatu)’. Untuk tujuan makalah ini, berdasarkan contoh yang diberikan, penggunaannya dilaraskan kepada maksud yang kedua, iaitu medan atau saluran. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut;
Matlamat seminar berkenaan adalah sebagai wadah atau medan untuk para pengkaji dan pemikir bertukar-tukar pandangan serta penemuan dalam kaji selidik yang dilakukan.
Perkatan wahana ditakrifkan sebagai ‘saluran atau perantaraan (yang memungkinkan sesuatu dilakukan, disampaikan atau dicapai)’. Walaupun terdapat kata ‘saluran’ dalam takrifan bagi kedua-duan perkataan wadah dan wahana, akan tetapi maksud kedua-duanya berbeza. Kata wahana dalam bahasa Inggerisnya bersinonim dengan perkatan tools, manakala kata wadah pula bersinonim dengan media atau medium. Lantaran jelas terdapat perbezaan dari aspek pemaknaannya.
Sebagai contoh penggunaannya, perhatikan ayat yang berikut;
Media penyiaran seharusnya menjadi wahana komunikasi ilmu dan sekali gus, komunikasi budaya yang berkesan.
Bagi menjelaskan lagi perbezaan maksud kedua-duanya, perhatikan pula contoh ayat yang berikut;
Majalah berkenaan berupa wahana yang menyediakan wadah untuk para pengkarya tanah air menyiarkan hasil tulisan mereka dalam bentuk sajak, cerpen dan ulasan karya.
Manakala perkataan terkhir yang diketengahkan dalam siri kali ini ialah, wacana. Pengguna bahasa sering terkeliru akan penggunaan perkataan ini dengan perkataan wahana. Andai dibuat rujukan terhadap Kamus Dewan edisi keempat, entri perkataan wacana dirakamkan untuk membawa tiga maksud, iaitu, pertamanya ‘keseluruhan tutur yang merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan, percakapan’. Maksud keduanya dirakamkan sebagai ‘perbincangan atau pertukaran idea secara lisan’, manakala takrifan ketiganya adalah ‘kesatuan fikiran yang utuh, sama ada dalam abentuk lisan (seperti pidato, khutbah) atau tulisan (seperti surat, artikel, novel, cerpen)’. Tuntasnya, wacana berupa idea atau pemikiran yang disampaikan sama ada dalam bentuk lisan, mahupun tulisan. Daripada kata ini, terbit kata mewacanakan yang membawa pengertian ‘menjadikan sesuatu sebagai wacana’. Sebagai contoh, ketiga-tiga perkataan ini dalam ayat boleh digunakan dalam satu ayat seperti yang berikut bagi memperlihatkan perbezaan maksudnya.
Jurnal berkenaan berupa wahana yang menyediakan ruang bagi para pengkaji untuk menyiarkan wacana ilmiah yang mereka hasilkan.
Demikian penjelasan ringkas tiga patah perkataan yang diketengahkan pada siri kali ini. Semoga penjelasan berkenaan dapat memberikan pencerahan tentang maksud serta kaedah penggunaannya dalam sesebuah ayat.
Bahasa Nadi Bangsa.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!