CATAT PRESTASI SUKU TAHUNAN TERBAIK… Hasil meningkat 60 peratus kepada RM23.02 bilion, disokong
oleh penggunaan loji yang tinggi sebanyak 93 peratus meskipun beberapa aktiviti pemulihan dan penyenggaraan
yang dijalankan sepanjang tahun. Pendapatan asas sesaham (EPS) berada pada 92 sen berbanding 20 sen
pada tahun sebelumya.
KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) mencatatkan prestasi kewangan terbaiknya dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021) apabila keuntungan bersihnya melonjak kepada RM7.34 bilion daripada RM1.63 bilion pada 2020 dipacu oleh kenaikan harga petrokimia sepanjang tahun itu.
Hasil meningkat 60 peratus kepada RM23.02 bilion, disokong oleh penggunaan loji yang tinggi sebanyak 93 peratus meskipun beberapa aktiviti pemulihan dan penyenggaraan yang dijalankan sepanjang tahun.
Pendapatan asas sesaham (EPS) berada pada 92 sen berbanding 20 sen pada tahun sebelumya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi suku keempat Tahun Kewangan 2021, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM2.06 bilion berbanding RM466.0 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil naik kepada RM6.98 bilion daripada RM3.84 bilion.
PetChem dalam satu kenyataan semalam berkata, ini merupakan prestasi suku tahunan terbaik sejak penubuhannya dan penyenaraian di Bursa Malaysia pada 2010.
EPS asas berada pada 23 sen bagi suku tersebut berbanding tujuh sen pada suku yang sama tahun sebelumnya .
Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 23 sen sesaham biasa berjumlah RM1.84 bilion (2020: dividen interim kedua sebanyak 7 sen sesaham biasa berjumlah RM560 juta) yang akan dibayar pada 25 Mac 2022.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, prestasi Tahun Kewangan 2021 yang memberangsangkan itu adalah hasil daripada inisiatif cemerlang dalam operasi dan komersil yang diusahakan oleh pasukannya.
“Meskipun ketidaktentuan pasaran, kami dapat merebut peluang, mencapai sasaran pengeluaran dan jualan kami, dan yang paling penting, menyediakan kepada pelanggan kami produk dan penyelesaian yang inovatif, tepat pada masa,” katanya.
Mohd Yusri berkata, pengeluar kimia bersepadu utama negara dan salah satu daripada yang terbesar di Asia Tenggara itu bermula dengan prestasi baik tahun ini.
Mengenai prospek pasaran jangka terdekat, beliau berkata harga produk dijangka kekal kukuh disokong oleh harga minyak mentah dan gas asli yang tinggi di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berlaku sekarang dan kelewatan peningkatan pengeluaran oleh OPEC.
“Kami menjangkakan pembetulan pasaran akan berlaku perlahan-lahan sebaik sahaja permintaan diimbangi dengan bekalan daripada kapasiti baharu di rantau Asia Pasifik, yang dijadualkan bermula pada 2022.
“Bagi pertumbuhan jangka panjang, kami baru-baru ini mengumumkan pembinaan loji melamine di Gurun, Kedah. Loji ini disasarkan memulakan operasi pada 2024, sejajar dengan strategi kami untuk menambah nilai kepada molekul sedia ada kami,” katanya.
Beliau menambah dalam usaha syarikat meneruskan agenda pertumbuhannya, Petronas Chemicals meningkatkan komitmen untuk mewujudkan impak positif kepada aspek Ekonomi, Alam Sekitar dan Sosial (EES).
Petronas Chemicals telah memuktamadkan pelan tindakan Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) yang menetapkan matlamat dan landasan pengurangan karbon, bermula dengan pengurangan 20 peratus menjelang 2030 ke arah menjadi sifar bersih menjelang 2050.
Pada tengah hari semalam, saham Petronas Chemicals turun 0.54 peratus kepada RM9.18 dengan 3.47 juta saham bertukar tangan. – Bernama