SEKILAS pandang bahasa dan siasah berupa dua bidang yang tidak terkesan akan pertautannya. Bahasa berupa wahana penting yang dikaitkan dengan budaya berkomunikasi, di samping penyampaian ilmu. Manakala siasah lebih digandingkan dengan pentadbiran serta pengurusan yang melibatkan soal pemerintahan. Malah, dalam konteks perencanaan dasar negara, soal bahasa jarang-jarang sekali diberikan keutamaan, walaupun dalam Perlembagaan Persekutuan yang berupa dokumen perundangan tertinggi negara, termaktub akan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Setelah sekian lama mencapai kemerdekaan yang menyaksikan pembentukan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan yang menggabungkan Semenanjung Tanah Melayu, Singapura (yang kemudiannya keluar daripada Persekutuan), Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu semakin dipinggir dan disisihkan. Ibarat ‘melukut di tepi gantang’, bahasa yang menjadi asas primer dalam penyatuan bangsa, dilihat tidak ‘menguntungkan’ dan ketiadaannya tidak pula ‘merugikan’, lantas menidakkan keterangkumannya dalam apa-apa juga agenda utama,. Terdapat agenda lain yang lebih berperanan besar dalam pembangunan, pemasyhuran serta penganjakan status negara. Lantaran, bahasa Melayu hanya diletakkan sebagai elemen ‘penghias’ pada kanvas pemaparan lukisan warna kemerdekaan negara.
Apabila hal sedemikian diperkatakan secara terbuka, tidak ramai yang sudi menyantuninya dengan melihat kepentingan bahasa dalam pembentukan jati diri, di samping pengukuhan serta pengutuhan semangat kebangsaan. Persepsi yang lazim terbit tidak lari daripada laras pandang yang dihalatujukan pada sikap nostalgik serta purist yang tidak menguntungkan dalam konteks perkembangan dunia era ini. Era yang dikatakan bersandarkan kepada kemajuan dari segi fizikal dan material serta bergantung pada perencanaan ekonomi yang berdaya saing. Demikian juga halnya dari segi aspek pengilmuan dalam bidang-bidang khusus seperti sains dan teknologi, kejuruteraan, digital dan seumpamanya.
Di samping hal yang sedemikian, interaksi serta jalinan persefahaman antara negara berupa satu formula yang membawa impak besar dari segi pemeteraian kerjasama dan kemasukan pelabur asing. Hal yang mampu menjana dan meningkatkan kedudukan ekonomi negara. Lantaran hal sedemikian itu, bahasa, dalam konteks jalinan diplomasi, dilaraskan kepada ‘pematuhan’ norma komunikasi antarabangsa, dan dalam konteks sedemikian, penggunaan bahasa yang difahami pada peringkat global. Oleh sebab tuntutan itu, ahli korporat, ahli perniagaan dan malah politikus, berlumba-lumba untuk mentasdikkan keperluan menguasai bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa. Situasi sedemikian dikatakan sebagai wajar kerana ingin ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi’ dengan rakan-rakan lain dalam bidang yang diceburi. Ketidakupayaan menguasai bahasa utama dunia ditafsirkan sebagai faktor penghambat bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi, khususnya, dan pembangunan negara secara amnya.
Berlandaskan hujahan sedemikian, dasar ke arah pemantapan penguasaan bahasa utama dunia (dalam konteks wacana ini bahasa Inggeris) dalam kalangan generasi baharu, dirangka dan dilaksanakan. Untuk mencapai tujuan sedemikian itu, bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran teras seperti matematik, sains dan teknologi. Keputusan drastik yang diambil tanpa mengambil kira akan aspek kebersediaan penerimaannya dalam kalangan tenaga pengajar dan juga pelajar. Hal yang kemudiannya ternyata menimbulkan masalah, bukan sahaja dari segi penyampaian ilmunya, akan tetapi melibatkan aspek penerimaan dan kefahaman tentang apa-apa pengetahuan yang disampaikan.
Namun, hal yang berkenaan dilihat sebagai cegukan atau hiccups, yang dalam jangka masa panjang, mampu diatasi. Untuk menutup kelemahan yang ‘terlahir’ daripada pelaksanaan yang tergesa-gesa ini, data tentang pencapaian memberangsangkan pelajar dalam mata pelajaran berkenaan semasa peperiksaan utama, diwara-warakan sebagai pembuktian bahawa dasar yang dilaksanakan tersebut telah mencapai matlamatnya. Namun, data demikian hanya bersifat superfisial dalam erti kata, data yang dibentangkan terlaras pada keputusan sekolah-sekolah berprestij di pusat-pusat bandar utama yang serba lengkap kemudahan pengajaran dan pembelajarannya. Akan tetapi situasi yang berlaku di kawasan-kawasan pedalaman menunjukkan keputusan yang sebaliknya. Kawasan yang pelajarnya telah sebati lidahnya menuturkan bahasa ibunda, akan tetapi yang agak sukar ‘dilentur’ untuk menuturkan bahasa-bahasa yang asing lain, khususnya dari luar negara.
Benar pelajar ini diajarkan mata pelajar bahasa Inggeris, namun, hal sedemikian bersifat asas. Pengajaran yang lebih menjurus pada sisi pandang pembentukan ayat-ayat persis dari segi komunikasi seharian. Namun, dalam konteks laras bahasa ilmu yang bersifat teknikal, mekanikal dan saintifik, sudah pasti aspek sedemikian tidak diberikan penekanan. Hal yang sedikit sebanyak ‘mengganggu’ kelancaran dan keberkesanan proses pengilmuan. Namun, aspek berkenaan disangkal sekeras-kerasnya dan tidak diterima sebagai alasan yang munasabah. Pada fasa akhirnya, kumpulan tenaga pengajar atau guru yang dijadikan ‘kambing hitam’ untuk ditudingkan jari lentik, sebagai penyebab kurang berkesannya dasar yang dilaksanakan.
Andai dilihat secara logik, pemantapan penguasaan apa-apa juga bahasa bergantung pada keberkesanan kaedah pengajaran mata pelajaran bahasa itu sendiri, dan dalam konteks ini, bahasa Inggeris. Walaupun disedari hakikat berkenaan, akan tetapi hal sedemikian seakan-akan tidak diberikan perhatian utama dari segi penggubalan modul baharu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Lantaran isu berkenaan terus menerawang, tanpa ada kepastian tentang hala tuju sahih yang akan disasarkan. Hal yang agak menyedihkan, bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara pula ‘terpalit’ dan dikaitkan dalam arena perdebatan kegagalan generasi baharu menguasai bahasa Inggeris. Sedangkan, jika dibuat kajian dan bancian yang terperinci, nasib bahasa Melayu itu sendiri, pun turut ‘terumbang-ambing’ dalam sebuah negara yang memaktubkannya sebagai bahasa rasminya.
Kemandirian bahasa Melayu yang menjadi asas dalam pembentukan sebuah negara bangsa semakin tergugat. Ketergugatan yang wajar dikhuatiri serta dilihat sebagai ancaman yang mampu merobohkan benteng penyatuan, perpaduan, keharmonian dan kesepakatan yang telah sekian lama terjalin. Agenda siasah dalaman negara, tidak boleh tidak, melihat (walaupun separuh mata terbuka) dan menyenaraikan isu pemartabatan dan pemasyarakatan bahasa Melayu sebagai salah satu agenda dalam perencanaan dan pembentangan dasar-dasar negara. Persoalan tentang kepentingan bahasa, sama ada bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris, harus diberikan penimbangtaraan yang seadil-adilnya dalam konteks penyantunannya agar tidak timbul polemik berpanjangan antara pencinta kedua-dua bahasa. Dalam mencari penyelesaian apa-apa juga perkara atau isu, pendekatan yang berlandaskan budi bicara amat dituntut bagi mencapai satu keputusan yang disenangi dan disepakati.
Hakikatnya bahasa dan siasah bertaut rapat dalam konteks penyampaian maklumat tentang dasar yang dibentangkan oleh kerajaan. Kefahaman dalam persempadanan nasional yang mampu menghadirkan sokongan rakyat. Sokongan yang meneguhkan kedudukan kerajaan yang memerintah. Keteguhan yang membolehkan apa-apa juga perencanaan, sama ada yang bersifat nasional atau global, mampu diterjemahkan. Melihat dari sisi gagasan aspirasi Keluarga Malaysia yang dihasratkan, tidak wajar unsur yang telah mendarah daging dikesampingkan secara total agar mampu diserap unsur luaran yang masih belum pasti pembudayaannya dapat terapkan untuk membina keutuhan entiti kekeluargaan berkenaan. Tuntasnya, bahasa dan siasah saling bertautan dalam pemastian kemadirian masing-masing.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!